Khamis, 10 Mac 2011

ISU SOSIAL : Membasmi kemiskinan belia

Kemiskinan berkait rapat dengan status sosial. Orang kaya walaupun tidak bermoral biasanya lebih dihormati dari yang miskin.

Dalam konteks lebih luas segala yang kurang daripada piawai adalah miskin. Jika seseorang miskin minda bermakna ia kurang berilmu, miskin hati bermakna kurang budi pekerti dan miskin badan bermakna kurang kesihatan.

Dalam bahasa mudah kemiskinan adalah kekurangan dalam keperluan hidup, kerap disinonimkan dengan kekurangan makanan, pakaian dan perlindungan.

Berbincang tentang isu kemiskinan bukanlah perkara baru. Pendeta Za’ba pada 1923 pernah menulis berkaitan dengan kemiskinan menerusi rencana Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan Orang Melayu. Za’aba merumuskan kemiskinan orang Melayu adalah kerana mereka miskin hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan.

Memperbaiki ilmu pengetahuan adalah jalan keluar untuk membasmi kemiskinan. Pada 1957, Prof Ungku Aziz ada menulis rencana bertajuk Zahir dan Batin Ekonomi Melayu membincangkan tentang punca kemiskinan di kampung iaitu hasil usaha yang kecil, penindasan dan tiada pembelaan.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 juga bermatlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Prof Muhammad Yunus penerima hadiah Nobel pada 2006 adalah individu yang bertanggungjawab menubuhkan Bank Grameen dalam usaha membasmi kemiskinan di Bangladesh menerusi pinjaman kredit mikro.

Mengapakah pentingnya membasmi kemiskinan dan adakah kemiskinan itu boleh dihapuskan? Kestabilan dan kerukunan hidup bermasyarakat diukur daripada keharmonian hidup, kurangnya jenayah dan pertembungan sosial antara kelompok kaya dan miskin. Oleh sebab itu menjadi tanggungjawab kelompok kaya untuk membantu yang miskin dan pihak yang miskin mesti terus berusaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

Rasulullah SAW bersabda agar menjauhi kemiskinan kerana ia boleh membawa kekufuran. Benjamin Franklin mencetuskan bahawa kemiskinan akan mengambil semua semangat dan kekuatan yang dimiliki oleh seseorang. Oleh itu berusahalah supaya tidak menjadi miskin.

Isu kemiskinan tidak mengenal usia. Fokus yang harus tidak dipinggirkan ialah kemiskinan dalam kalangan golongan belia. Kira-kira 43 peratus atau hampir 12 juta penduduk di negara ini adalah golongan belia. Walaupun mereka ditakrif berumur dari 15 hingga 39 tahun, namun belia yang berusia 25 tahun ke atas biasanya sudah berkahwin dan mula menjadi ketua isi rumah. Ia mungkin seawal usia remaja apabila dalam kes-kes tertentu bapa mereka meninggal dunia dan beban tanggungjawab berpindah kepada belia-belia.

Penyelesaian isu kemiskinan merupakan sesuatu yang kompleks kerana punca seseorang menjadi miskin adalah berbeza dalam kalangan setiap individu. Antara faktor yang menyebabkan kemiskinan ialah kematian ketua keluarga, keadaan ekonomi semasa, kehilangan pekerjaan serta sikap dan mentaliti individu. Faktor ini adalah berbeza di antara satu sama lain dan penyelesaian juga berbeza.

Ini tidak termasuk pendekatan yang berbeza antara miskin bandar dan luar bandar. Walau bagaimanapun secara umumnya kemiskinan belia berkaitan rapat dengan isu pendidikan, peluang pekerjaan dan perumahan.

Keberkesanan program membasmi kemiskinan biasanya diukur dari jumlah pendapatan keluarga melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK). Di Malaysia PGK ialah sebanyak RM720. Jumlah ini boleh diperdebatkan kerana di kawasan bandar pendapatan keluarga di bawah RM2,000 juga boleh dikategorikan sebagai ‘miskin’.

Membasmi kemiskinan adalah bertitik tolak daripada usaha meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban isi rumah. Sehubungan dengan itu aspek pendidikan adalah sangat penting. Pendidikan sama ada bersifat formal atau tidak, akademik atau kemahiran merupakan pengetahuan yang mesti dimiliki oleh belia. Peluang meningkatkan tahap pendidikan mesti direbut oleh belia. Pujian wajar diberikan kepada kerajaan kerana menawarkan kursus melalui institusi seperti Giat Mara, Kolej Komuniti dan Institut Kemahiran Belia.

Belia-belia mesti mempunyai kemahiran mengenal potensi diri. Potensi inilah yang diterjemahkan dalam bentuk pengeluaran produk atau memberi perkhidmatan dan boleh disesuaikan dengan kehendak pasaran pekerjaan. Potensi yang disesuaikan dengan kehendak pasaran akan menjadikan usaha tersebut mendapat imbuhan kewangan. Wang membeli makanan, pakaian dan perlindungan. Oleh itu peluang pekerjaan tidak hanya semata-mata mengharapkan pihak kerajaan dan swasta, tetapi pada masa sama dicipta oleh belia-belia ini.

Perumahan menjadi isu dalam kalangan belia, tidak kira di kawasan bandar dan luar bandar. Bukan menjadi rahsia lagi apabila pasangan muda yang baru berkahwin tinggal bersama ibu bapa mereka kerana ketidakmampuan memiliki rumah. Masalah bertambah rumit dari sudut sosial apabila lebih dari dua kelamin tinggal di dalam sebuah rumah. Ini ditambah lagi dengan masalah ketiadaan peluang kerja di bandar dan mereka pulang ke kampung membawa keluarga tinggal bersama ibu bapa.

Menerusi Bajet 2011, Perdana Menteri telah memperkenalkan inisiatif kerajaan terhadap Projek Bantuan Perumahan Bandar, Program Perumahan Rakyat dan Projek Bantuan Sewa Rumah. Inisiatif sebanyak RM568 juta mestilah dimaklumkan secara menyeluruh dan belia-belia serta pasangan muda perlu mendapat kuota yang khusus.

Membasmi kemiskinan memerlukan tindakan yang menyeluruh antara pemerintah, golongan kaya dan miskin. Golongan miskin mesti bersedia untuk berubah minda dan tindakan, golongan kaya berperanan memberi bantuan dan pertolongan apabila melihat individu miskin, manakala pemerintah juga mesti menyediakan iklim kehidupan harmoni dan menggerakkan inisiatif untuk membasmi kemiskinan.

Ahli falsafah British, George Bernard Shaw menulis, kemiskinan adalah jenayah yang paling dahsyat, segala kejahatan yang ada, berkumpul dalam kemiskinan. Jom marilah kita berubah keluar dari belenggu kemiskinan!

* Penulis ialah Naib Presiden MAYC Kebangsaan

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : 1Malaysia tidak menghapuskan identiti kaum

SEBAGAI sebuah negara berbilang kaum dan agama, kerajaan berusaha memantapkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Pelbagai kegiatan berkaitan dengan pembentukan bangsa atau negara dilaksanakan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Para pemimpin pelbagai kaum dan agama berganding bahu membentuk satu negara berwawasan dan aman. Hasil persefahaman, gabungan idea dan aktiviti, akhirnya gagasan 1Malaysia menjadi slogan perjuangan kerajaan.

Gagasan 1Malaysia berdasarkan keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan agama. Ia bukan satu perancangan untuk menghapuskan identiti kaum dan agama. Rakyat Malaysia sepatutnya memahami usaha kerajaan membentuk satu bangsa Malaysia berdasarkan pembentukan warga negara yang menganut pelbagai budaya dan agama, bukan bercirikan integrasi bangsa dan agama.

Kerajaan ingin memperkukuhkan polisi dan dasar di mana setiap keperluan asas dan infrastruktur untuk masyarakat dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat bandar atau luar bandar. Pelbagai kementerian ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan setiap perancangan dan program dapat dilaksanakan secara progresif dan proaktif.

Kerajaan Malaysia lebih menumpukan perhatian kepada pembentukan bangsa bercirikan identiti budaya dan agama yang pelbagai. Ini merupakan salah satu ciri tamadun yang dibina oleh umat Islam ketika berada dalam era tamadun yang gemilang. Dalam sebuah empayar Islam, masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai budaya dan tradisi hidup dengan aman bersama masyarakat bukan Islam yang amat berbeza agama dan budaya.

Kerajaan Malaysia tidak berhasrat untuk mengintegrasikan budaya dan agama setiap kaum dalam negara ini menjadi satu agama atau budaya warga negara Malaysia. Tindakan begini bertentangan dengan fitrah ajaran Islam dan ciri tamadun dalam Islam. Urusan berkaitan dengan rumah ibadah dan hal-hal keagamaan adalah urusan peribadi setiap kaum. Kerajaan hanya menumpukan perhatian kepada perpaduan kaum.

Setiap kementerian yang ditubuhkan mempunyai peranan dan fungsi tertentu. Oleh itu, setiap individu yang diberi kuasa untuk mengeluarkan peruntukan dan merancang aktiviti bagi kepentingan masyarakat perlu memahami bidang kuasa masing-masing supaya sikap dan tindak tanduk mereka tidak bertentangan dengan dasar dan objektif kementerian.

Setiap individu yang memegang teraju kepimpinan negara sepatutnya memahami gagasan 1Malaysia secara menyeluruh supaya kegiatan dan tindakan mereka tidak menjejaskan prinsip dan definasi konsep tersebut. Mereka merupakan orang yang mencerminkan dasar dan polisi negara. Kejahilan dalam memahami konsep 1Malaysia menjadi faktor utama menyebabkan individu tertentu sering bertindak bertentangan dengan pengertian konsep tersebut. Perkara ini berlaku akibat terlalu ghairah untuk mendapat sokongan masyarakat tertentu dan pujian daripada pucuk pimpinan negara sehingga terlupa asas dan hukum-hakam Islam berhubung dengan akidah Islam.

Gagasan 1Malaysia yang dilaungkan oleh pucuk pimpinan negara mempunyai batas dan kriteria tertentu yang mana ia tidak akan menjejaskan akidah dan keyakinan umat Islam terhadap kesucian agama Islam. Perkara ini sepatutnya difahami para pemimpin supaya tindak tanduk mereka tidak menghakis keyakinan rakyat dan umat Islam bahawa gagasan 1Malaysia hanya menumpukan perhatian kepada aspek pembentukan negara.

Perkara berkaitan dengan keadilan dan kesaksamaan dalam menikmati kekayaan negara dan pembinaan tamadun yang unik dan pelbagai merupakan ciri tamadun Islam yang dikenali sebagaiunity in diversity.

Jika gagasan 1Malaysia dianggap sebagai satu usaha untuk mengintegrasikan kaum dan agama dalam perspektif yang liberal, maka usaha tersebut tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana setiap agama mempunyai batas dan aspek toleransi tertentu. Agama Islam amat prihatin dalam aspek keteguhan akidah Tauhid dan toleransi terhadap agama lain.

Hak-hak yang diperuntukkan kepada umat Islam oleh kerajaan perlu disalurkan kepada umat Islam untuk menyemarakkan agama Islam, bukan menggunakan peruntukan tersebut bagi kepentingan politik individu tertentu sehingga terkeluar daripada batas akidah Islam. Bidang kuasa yang diberikan oleh kerajaan kepada institusi yang menerajui hal ehwal umat Islam sepatutnya tidak disalahgunakan bagi kepentingan politik kerana ia merupakan satu amanah yang berat bagi menyemarakkan syiar Islam.

Malaysia merupakan negara Islam yang menuju ke arah tamadun Islam di rantau Asia. Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan peruntukan bagi menaikkan syiar dan dakwah Islam tanpa mengenepikan kebebasan beragama kepada masyarakat bukan Islam. Kekuatan dan keteguhan agama Islam bergantung kepada usaha dan kegigihan institusi agama Islam dan masyarakat Islam.

Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai peruntukan dan kemudahan kepada institusi agama Islam dan umat Islam. Justeru berusaha dan proaktif menyemarakkan agama Islam bukan hanya menggunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan politik sehingga tidak menghiraukan batas akidah dan syariah Islam.

Dr. Saodah Abd Rahman,

Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : 162,180 Pekerjaan Belum Diisi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 162,180 pekerjaan kosong masih belum diisi daripada jumlah keseluruhan 193,739 pekerjaan yang didaftarkan dalam portal Jobs Malaysia sehingga bulan lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Khamis.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata daripada jumlah keseluruhan pekerjaan yang didaftarkan, hanya 31,559 penempatan pekerjaan telah dibuat dalam tempoh yang sama.

"Daripada jumlah pekerjaan yang diisi itu, sebanyak 8,477 (26.9 peratus) di peringkat pengurusan dan profesional, 2,544 (8.1 peratus) di peringkat berkemahiran, 16,168 (51.2 peratus) di peringkat separa mahir dan 4,360 (13.8 peratus) pekerja asas," katanya ketika menjawab soalan Matulidi Jusoh (BN-Dungun).

Maznah berkata walaupun jumlah kekosongan pekerjaan adalah tinggi, masih ada graduan dan bukan graduan yang tidak mendapat pekerjaan disebabkan sikap memilih pekerjaan ataupun tempat kerja itu jauh dari penempatan mereka.

"Dalam portal Jobs Malaysia, kita dapati bahawa setakat ini lebih banyak jawatan yang lebih rendah daripada jawatan untuk graduan, kita juga menggalakkan graduan sementara menunggu untuk mendapatkan pekerjaan sesuai, dapat sekiranya mereka timba pengalaman dalam jawatan rendah supaya dijadikan asas pengalaman ketika temuduga," katanya.

Beliau berkata kelemahan daripada segi kemampuan berkomunikasi, menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris serta tidak mendapat maklumat yang cukup tentang peluang pekerjaan, juga merupakan punca graduan masih tidak mendapat pekerjaan.

Maznah berkata kerajaan sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk menambah bilangan pekerjaan untuk graduan dan berkemahiran tinggi.

Sehingga kini tahap tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini adalah 38 peratus.

"Menjelang tahun 2020, kita berharap kadar ini dapat ditingkatkan kepada 40 ke 50 peratus kerana ini dapat membantu negara menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Inisiatif-inisiatif di bawah transformasi yang dibuat kerajaan akan menjana lebih daripada 3.3 juta pekerjaan menjelang 2020, dan sudah tentu jawatan-jawatan untuk graduan juga akan bertambah," katanya.

Mengenai kadar pengangguran negara terkini, Maznah berkata sehingga Disember tahun lepas, kadarnya ialah 3.2 peratus yang melibatkan 391,200 orang daripada jumlah tenaga buruh berjumlah 12,059,700 di negara ini.

"Kadar pengangguran di bawah paras 4 peratus dianggap wujud keadaan guna tenaga penuh," katanya. - BERNAMA