Rabu, 6 Julai 2011

ISU BAHASA : Mengapa orang tidak fasih bahasa Inggeris diperlekeh

Oleh Rejal Arbee

Kita patut lebih malu jika tak pandai bahasa Melayu

SUNGGUH menghairankan apabila terdapat sebahagian daripada rakyat negara ini yang berterusan menghina dan memandang rendah mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

Mereka memberi gambaran seolah-olah orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mampu berfikir atau pun tidak mempunyai intelek tinggi.

Inilah kesimpulan yang boleh dibuat daripada apa yang dikatakan oleh ahli politik veteran DAP, Karpal Singh dalam Parlimen minggu lalu ketika membahas Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2011.

Beliau memang diakui berpengetahuan dalam selok-belok perundangan negara tetapi dengan angkuhnya telah mengkritik hakim kita yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

Sambil memandang rendah kebolehan hakim kita yang didakwanya tidak sebaik rakan mereka di Singapura, negara jiran kita yang amat disanjungi anggota DAP itu, hanya kerana ada antara hakim kita yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Beliau membuat tohmahan kononnya kelemahan berbahasa Inggeris adalah tidak praktikal bagi seorang hakim kerana kebanyakan, kalau pun bukan semua, laporan undang-undang masih ditulis dalam bahasa Inggeris. Sungguh menghairankan apa kena-mengena kefasihan berbahasa Inggeris dengan corak kehakiman yang dibuat. Apakah seorang hakim yang kurang mahir berbahasa Inggeris tidak boleh memberikan keputusan adil dan terbaik dalam mahkamah?

Karpal mempersoalkan hakim yang dikatakannya tidak fasih berbahasa Inggeris, bukan persoalkan keputusan hakim itu. Apa sebenarnya ada kena-mengena kepetahan berbahasa Inggeris dengan penghakiman yang dibuat? Apakah Karpal tidak sedar dia berada di Malaysia yang mana bahasa rasminya adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.

Apakah jaguh DAP itu hendak memberi gambaran bahawa orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mempunyai tahap pemikiran setanding dengan mereka yang fasih berbahasa Inggeris?

Nampaknya masih wujud segelintir rakyat negara ini yang berterusan dikongkong penjajah. Seorang pegawai dagang dari Jerman hairan kenapa orang Malaysia begitu menyanjungi bahasa Inggeris hingga memperkecilkan bahasa negara sendiri. Hal ini katanya tidak mungkin akan berlaku di Jerman kerana semua rakyatnya berbangga dengan bahasa negara sendiri walau pun mereka juga belajar bahasa Inggeris.

Beliau menganggap orang Malaysia masih terkongkong dengan mentaliti berterusan dijajah British.

Benar kita harus belajar bahasa Inggeris supaya fasih dan memahaminya dengan baik. Tetapi usaha ini tidak seharusnya dengan mengabaikan bahasa Malaysia hingga ada yang tidak menggunakannya langsung malah masih terdapat sebilangan besar rakyat yang tidak faham langsung bahasa Malaysia.

Bahkan ada antara mereka yang berterusan memandang hina bahasa rasmi negara sendiri. Ini boleh dilihat di kalangan rakan peguam pemimpin DAP itu sendiri yang hingga kini merangkak-rangkak dan kekok bertutur bahasa Malaysia dalam mahkamah.

Mereka ini kalau berhijrah ke Perancis misalnya sudah tentu terpaksa belajar bahasa Perancis kerana mereka tidak akan diterima penduduk tempatan kalau berterusan berdegil tidak mahu belajar bahasa negara berkenaan.

Kenapa ada warga kita terlalu mendewakan bahasa Inggeris hingga tergamak mengecilkan rakyat negara ini yang tidak fasih berbahasa Inggeris? Anehnya mereka sedikit pun tidak berasa malu kalau tidak faham dan tidak tahu berbahasa Malaysia.

Sebagai warga negara ini, seharusnya mereka mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan lebih yakin menggunakannya. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga pernah menyatakan kebimbangannya terhadap kemunduran penggunaan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris.

Beliau menyorot kepada perlakuan pada majlis kerajaan yang mana penghormatan kepada bahasa asing lebih diutamakan sekiranya tetamu yang hadir terdiri daripada rakyat asing, walaupun bilangannya amat kecil.

“Cuba lihat dalam majlis kerajaan, walaupun pada majlis itu ada dua tiga kerat orang bangsa asing, pihak penganjur akan mengatakan minta maaf kerana terpaksa bercakap dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hanya ada dua tiga ‘mat saleh’ tetapi kita pula nak tukar bahasa kerana nak ikut kerenah mereka.

“Adakah kerana apabila kita menggunakan bahasa Malaysia, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan,” kata Muhyiddin baru-baru ini.

Beliau juga mengakui kurangnya tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan adalah antara faktor menyebabkan bahasa Malaysia dipinggirkan.

Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri telah menyatakan hal ini, apa lagi yang hendak ditunggukan. Semua yang bertanggungjawab menentukan penggunaan bahasa Malaysia tidak diremehkan termasuk semua pihak berkuasa tempatan harus segera bertindak terhadap semua pesalah laku demikian.

Ini termasuk penganjur Festival Georgetown yang tidak menghormati langsung bahasa Malaysia dalam laman webnya, begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan MultiMedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec) yang hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam laman web mereka.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Ubah penggodam jadi pejuang siber negara

Oleh HUSIN JAZRI

PADA 14 Jun 2011, Malaysia dikejutkan oleh ancaman penggodaman daripada kumpulan antarabangsa yang memanggil diri mereka 'The Anonymous'.

Kumpulan ini amat dikenali kerana serangan-serangan siber yang berjaya dilakukan sebelum ini seperti serangan ke atas Sony Playstation dan beberapa perbankan ternama dunia.

Tidak hanya menumpukan serangan kepada sasaran yang bersifat komersial, serangan juga dilakukan oleh kumpulan yang sama terhadap negara-negara berdaulat seperti Tunisia, Mesir, Turki dan yang terbaru adalah laman web CIA serta laman web kerajaan dan Pejabat Perdana Menteri Brazil.

Kumpulan ini menamakan diri mereka 'the internet freedom fighter' (pejuang kebebasan Internet) dan akan menyerang sasaran yang terpilih terutamanya yang dilihat melaksanakan 'internet censorship' dan sekatan muat naik dan turun.

Mereka biasanya akan dibantu oleh penggodam tempatan yang menjadi penyokong setia. Kumpulan ini turut bekerjasama dengan satu lagi kumpulan yang menamakan diri mereka 'the LulzSec' yang dilihat mempunyai kemahiran penggodaman yang tinggi.

Tiada siapa yang menyangka bahawa Malaysia dipilih menjadi sasaran kumpulan ini. Namun tindakan kerajaan menyekat 10 laman file sharing yang dikenal pasti melaksanakan muat naik dan turun bahan-bahan cetak rompak yang melanggar undang- undang negara telah menarik minat mereka untuk melancarkan 'Operation Malaysia'.

Natijah daripada serangan ini, sejumlah laman web kerajaan dan swasta telah digodam. Biarpun jumlah sebenar sukar ditentukan, namun yang pasti jumlahnya agak besar seperti yang dinyatakan oleh media- media tempatan.

Pada penilaian saya, pemilihan Malaysia sebagai sasaran kumpulan ini adalah berpunca daripada maklumat tidak tepat yang disampaikan oleh kumpulan tempatan yang menjadi 'mata dan telinga' kumpulan ini. Lebih menyedihkan, walaupun ancaman serangan siber dikeluarkan oleh kumpulan ini pada 14 Jun lalu, akan tetapi yang melakukan serangan dan penggodaman kebanyakannya adalah anak tempatan sendiri.

Malah, sehingga serangan berkurangan pada 20 Jun 2011, fakta menunjukkan kumpulan 'Anonymous' luar negara tidak menyerang langsung, malah mereka lebih dikejutkan oleh perlakuan penggodam tempatan yang bagaikan berpesta untuk menggodam sistem-sistem komputer di negara ini.

Apa yang lebih menarik, peringkat umur penggodam tempatan kebanyakannya dianggarkan di bawah 25 tahun, masih muda dan baru tamat pengajian di peringkat universiti dan baru memasuki alam pekerjaan. Berbeza sikap dengan sesetengah negara lain yang mana penggodam tempatan, mereka menentang sebarang campur tangan asing, tetapi penggodam di Malaysia bersikap sebaliknya.

Mungkin juga sudah sampai masanya, kita semua mengambil iktibar daripada insiden ini. Pihak kerajaan dan swasta perlu berganding bahu memulakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam tempatan bertujuan menjadikan mereka lebih patriotik, produktif dan bersikap lebih positif.

Hasil daripada program ini, ia dapat menjadikan mereka sebahagian daripada tenaga mahir negara yang boleh membantu pembangunan dan mempertahankan negara di alam siber dalam jangka masa panjang. Adalah baik juga sekiranya diwujudkan Pasukan Simpanan Siber yang dianggotai oleh pejuang-pejuang siber negara yang boleh dilatih secara sistematik dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan tahap kepakaran mereka.

Pasukan ini boleh dijadikan elemen bantuan ketika negara diancam dan diserang di alam siber. Agensi seperti CyberSecurity Malaysia bersedia untuk melaksanakan program ini jika diberi kepercayaan dan mendapat mandat daripada kerajaan serta masyarakat.

Kerjasama kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program pemulihan dan motivasi ke atas penggodam-penggodam ini amatlah diperlukan supaya ancaman dan serangan siber ini dapat dikurangkan sebanyak mungkin kerana kesannya merugikan semua pihak.

Pada masa sama, kita juga perlu memahami bahawa kebanyakan penggodam ini datangnya dalam kalangan mereka yang bijak pandai dan berpotensi dibentuk menjadi insan yang lebih bertanggungjawab sekiranya program ini dibuat secara berkesan dan menarik minat generasi muda terutamanya Generasi-X.

Jika berjaya, program ini boleh dikembangkan ke peringkat global dan Malaysia boleh dicontohi dunia dalam memperkenalkan pendekatan pendidikan yang inovatif dalam menyelesaikan cabaran tanpa sempadan ini.

Program sebegini juga berpotensi untuk menjana lebih banyak tenaga profesional keselamatan siber yang berpendapatan tinggi yang diperlukan oleh Malaysia khususnya dan dunia tanpa sempadan amnya.

LT. KOL. (B) DATUK HUSIN JAZRI ialah Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, agensi Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/