Rabu, 25 Januari 2012
3,996 Calon Lulus STAM 2011
PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (Lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.
Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak berkata daripada jumlah itu, 326 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 mendapat Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya Maqbul.
Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lepas di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, katanya semasa mengumumkan keputusan STAM 2011 di Kementerian Pelajaran di sini, Khamis.
Daripada segi nilai Gred Purata Nasional, Na'imah berkata pencapaian keseluruhan calon menunjukkan peningkatan daripada 3.23 pada tahun 2010 kepada 3.19 pada 2011.
STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000, melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.
Mengenai prestasi mata pelajaran, Na'imah berkata enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya' dan Mutala'ah, Tafsir dan Ulumuhu serta 'Arudh dan Qafiyah mencatatkan peratusan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) berbanding tahun 2010.
Empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz Al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq, katanya.
Beliau berkata satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon yang lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.
"Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran serta teknik yang sesuai untuk pelajar. Kita akan cari mekanisme terbaik," katanya.
Na'imah berkata calon-calon yang tidak berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mana-mana mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan