Sabtu, 21 Januari 2012
ISU AGAMA : Orang sabar tetap dapat pertolongan Allah
Oleh Maulana Arrif
PERKATAAN Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu rangkuman salam dan aslama. Makna salam ialah selamat, sejahtera dan aman damai, manakala aslama ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah S.W.T dengan penyerahan diri yang mutlak atau total.
Maka seseorang Muslim sifatnya adalah sentiasa berserah diri kepada Allah dalam mengharungi kehidupan di dunia yang tidak kekal ini.
Kebiasaan juga Islam dihuraikan sebagai addin atau cara hidup berlandaskan peraturan dan panduan yang digariskan oleh al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W. Konsep inilah yang selalunya diberi penekanan pada zaman ini.
Seseorang dianggap Muslim apabila dia menunaikan lima rukun Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadat, menunaikan solat wajib, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan ibadat haji. Ertinya keislaman seseorang boleh dinilai atau diukur secara lahiriah berdasarkan ketaatannya menyempurnakan rukun yang lima ini.
Amat jarang kita menilai keislaman seseorang berdasarkan kriteria penyerahan dirinya kepada Allah. Sebabnya, adalah lebih sukar untuk menilai secara lahiriah penyerahan diri seseorang kepada Allah kerana ia bersifat rohaniah yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui isi hati manusia. Malaikat pun tidak tahu.
Bagaimanapun, sepandai mana seseorang manusia menyembunyikan isi hatinya, ada kala menjelma juga dalam bentuk tutur kata atau perbuatan buruk yang boleh dilihat orang lain, jika Allah mahu mendedahkannya.
Ini disebabkan dia sebenarnya tidak ‘berserah diri kepada Allah ini.’ Tanpa berserah diri kepada Allah, seseorang akan mudah hilang kesabaran dan melakukan perkara yang tidak Allah redai. Sebab itulah Allah berulang kali mengingatkan manusia supaya bersikap sabar. Terlalu banyak ayat Quran yang menyentuh soal kesabaran.
Namun tidak ramai manusia, termasuk sebilangan besar yang mengaku Muslim, mentaati perintah Allah dalam bab kesabaran ini. Di kalangan mereka termasuklah juga orang-orang yang sering membaca Quran. Bagaimanapun, disebabkan iman mereka tidak kukuh, sering juga mereka hilang kesabaran apabila berhadapan dengan situasi yang menguji keimanan mereka.
Antara berpuluh firman Allah yang mengingatkan manusia supaya bersabar ialah:
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. - Ali Imran (3): 200
Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa kesabaran itu adalah salah satu sifat utama yang mesti dimiliki oleh seseorang Muslim yang beriman. Tanpa kesabaran ertinya kita tidak beriman, hanya sekadar mengaku Islam tetapi bukan Muslim yang sejati.
KESABARAN
Punca manusia mudah hilang kesabaran adalah kerana iman mereka sangat goyah. Mereka tidak berserah diri kepada Allah kerana sifat keakuan terlalu tebal pada dirinya. Akulah yang kuat, akulah ulama, akulah yang pandai, akulah yang layak jadi pemimpin, akulah yang berkuasa dan kaya, akulah yang benar dan betul...dan pelbagai lagi sifat keakuan. Apabila sifat keakuan terlalu tebal, seseorang akan lupa siapa sebenar dirinya dan akhirnya akan melupai Allah Yang Maha Berkuasa ke atas sekelian makhluk-Nya.
Apabila manusia lupakan Tuhan, maka semakin hebatlah sifat keakuan pada dirinya. Lalu Allah menguji mereka dengan kesusahan, kelaparan, hilang kuasa, susut harta dan kekayaan dan sebagainya. Disebabkan iman yang rapuh atau langsung sifar, maka mereka tidak sabar lalu melakukan perbuatan dan tindakan yang bertentangan dengan syariat Islam.
Ada yang memaki hamun orang lain, ada yang menipu untuk melepaskan diri daripada hukum dunia, ada murtad, malah ada yang membunuh orang lain atau membunuh diri sendiri.
Di dalam Quran, Allah menceritakan beberapa kisah nabi yang diuji kesabaran mereka. Paling terkenal ialah Nabi Ayub yang menghidap penyakit sukar diubati selama berbelas tahun. Akhirnya dia bukan sahaja dipulaukan oleh masyarakat sekelilingnya, malah isterinya sendiri meninggalkannya berkelana dalam kehidupan terasing daripada manusia lain.
Nabi Ayub tidak menyalahkan sesiapa dan menerima segala apa yang menimpanya sebagai ujian daripada Allah. Berkat kesabarannya, Allah bukan sahaja menyembuhkan penyakitnya, malah si isteri kembali kepadanya dan beliau akhirnya dikurniakan dengan keluarga yang bahagia dan kekayaan yang melebihi daripada apa yang dimiliki sebelum dia jatuh sakit. Sudah tentu kehidupan yang jauh lebih baik menunggunya di akhirat.
Diceritakan juga dalam Quran kisah Nabi Yunus yang hilang kesabaran kerana tidak seorang pun di kalangan kaumnya mahu menerima ajaran yang disampaikannya. Terlalu marah, beliau mengambil keputusan meninggalkan kaumnya dan merantau ke tempat lain. Dalam perjalanan dengan kapal, dia dicampak ke dalam laut lalu ditelan ikan besar.
Di dalam perut ikan, Nabi Yunus teringat bahawa apa yang dialaminya adalah kerana dia tidak sabar menghadapi ujian Allah supaya berdakwah kepada kaumnya. Dalam sesal beliau berdoa dan meminta keampunan Allah dalam doa yang masyhur bermaksud: “Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
Allah memperkenankan doa Nabi Yunus dan mengampuninya, lalu dia dimuntahkan dari perut ikan ke darat. Dia kembali kepada kaumnya dan meneruskan usaha dakwah dengan penuh kesabaran sehingga akhirnya seluruh kaumnya menerima seruannya supaya beriman kepada Allah.
Nabi Yusuf pula memperoleh kebahagiaan dan mendapat kedudukan yang tinggi berkat kesabarannya menghadapi pelbagai ujian Allah sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa. Melalui kisah-kisah ini, Allah mahu manusia yakin bahawa mereka yang sabar akan tetap mendapat pertolongan-Nya, sama ada lambat atau cepat.
Rasulullah S.A.W dan para pengikut pada zamannya juga diperintahkan bersabar dalam menghadapi tentangan dan ancaman kaum musyrikin dan munafik untuk membunuh mereka.
Hai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang beriman untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 1,000 orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. - al Anfaal (8): 65
Pada hari ini, lihatlah berapa ramai orang Islam yang sabar. Di jalan raya, adakah mereka bersabar? Kita sepatutnya menjadi contoh kepada pemandu-pemandu bukan Islam, tetapi malangnya yang paling cepat hilang kesabaran adalah orang Islam.
Dan betapa ramai orang yang tidak sabar untuk cepat kaya. Mereka tidak berusaha dengan cara yang diredai, tetapi melakukan kesalahan rasuah, menipu dan pecah amanah. Yang paling ramai adakah orang Islam atau bukan Islam?
Juga berapa ramai ahli politik yang tidak sabar untuk berkuasa. Mereka mengadakan pelbagai cerita bohong dan memfitnah musuh-musuh politik mereka dengan pelbagai tuduhan palsu semata-mata untuk menghasut kebencian rakyat. Adakah mereka ini orang yang berserah diri kepada Allah?
Selagi umat Islam tidak benar-benar berserah diri kepada Allah mengikut konsep yang dikehendaki-Nya sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran, selagi itulah kita akan terus dibelenggu zaman kemurungan dan kelemahan. Kita hilang kekuatan kerana kesalahan kita sendiri. Dan kita tidak lagi mendapat pertolongan-Nya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan