Jumaat, 27 Januari 2012
ISU AGAMA : Persekitaran manusiawi galak kecemerlangan budaya kerja
Oleh Sharifah Haayati
bhagama@bharian.com.my
Hubungan baik kakitangan, majikan hindari tekanan
PERSEKITARAN manusiawi dengan nilai insani adalah faktor utama merangsang suasana ceria kehidupan termasuk di tempat kerja. Walaupun bekerja dalam bangunan tinggi mencakar langit, luas, disediakan segala kelengkapan dan teknologi canggih, belum menjamin keseronokan bekerja.
Tanpa persekitaran manusiawi antara rakan sekerja dan majikan yang baik, ia boleh menyebabkan pekerja berasa tertekan atau tidak bermotivasi untuk datang ke pejabat. Persekitaran manusiawi dimaksudkan yang mengamalkan nilai saling hormat menghormati, berbaik sangka dan bekerjasama.
Tiga nilai utama ditekankan Rasulullah SAW itu juga membentuk ketakwaan. Apabila nilai saling menghormati diamalkan, seseorang akan menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata kasar, kesat dan sindiran antara satu sama lain walaupun dengan pekerja bawahan.
Sifat berbaik sangka pula, akan menghindarkan pandangan negatif, fitnah dan dendam sementara sifat saling bekerjasama menghindarkan hasad dengki, mementingkan diri sendiri serta egoisme.
Semua sifat negatif ini boleh berlaku di tempat kerja sehingga mewujudkan ‘politik pejabat’ yang tidak sihat secara senyap dan budaya kerja menjejaskan kualiti.
Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu saling berdengki, bersaing dalam menawar harga untuk menjatuhkan orang lain, benci dan bermusuhan serta jangan kamu menjual barangan untuk merugikan yang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim itu saudara Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, menghina mahupun merendahkannya. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk ke dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang itu dianggap jahat sekiranya menghina saudaranya yang Muslim.” (Hadis riwayat Muslim)
Sejarah Rasulullah SAW membuktikan faktor persekitaran manusiawi bukan sekadar mampu membina kejayaan sebuah organisasi atau individu tetapi hasil menggembleng tenaga antara kaum Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk negara Madinah makmur yang diurus tadbir Rasulullah SAW dalam masyarakat berbeza puak serta kabilah.
Walaupun dengan segala kekurangan material, apabila manusia bersatu hati, saling menghormati dan bekerjasama, ia berjaya direalisasikan. Gambaran sifat kaum Ansar diceritakan kaum Muhajirin kepada Rasulullah SAW menggambarkan persekitaran manusiawi yang unggul.
Diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Anas, mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami belum pernah bertemu dengan satu kaum yang sangat pemurah, jika sedikit yang mereka ada, mereka tidak berkira. Jika banyak yang mereka ada, mereka memenuhi segala keperluan kami serta berkongsi kegembiraan mereka dengan kami, sehinggakan kami bimbang mereka akan membolot semua pahala. Nabi bersabda: Tidak, selagi kamu memuji mereka dan selagi kamu berdoa kepada Tuhan untuk mereka.”
Antara sifat mereka juga ialah saling mendoakan seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang datang sesudah mereka berkata: Wahai Tuhan kami, ampunkan kami dan saudara kami yang sudah mendahului kami dalam beriman dan jangan Engkau jadikan dalam hati kami perasaan iri hati terhadap orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani.” (Surah al-Hasyr, ayat 10)
Anas bin Malik, pembantu Rasulullah SAW juga menceritakan bagaimana beliau tidak pernah dikasari Baginda walaupun sekali selama lebih daripada 10 tahun menjadi pembantu Baginda. Baginda tidak pernah sekalipun mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya seperti menyebut ‘cis’ dan mengapa kamu tidak buat begitu? (Hadis Muttafaq ‘Alaih)
Hubungan majikan dan pekerja antara Rasulullah SAW dan Anas adalah model hubungan manusiawi yang hebat untuk dicontohi sesuai perkembangan peradaban manusia. Justeru, persekitaran manusiawi dengan nilai insani, sikap, cara bekerja boleh mempengaruhi serta membantu orang lain mencapai keselesaan dan keseronokan bekerja.
Beruntunglah jika kerana kita pekerja lain merasa gembira untuk bekerja dan bimbanglah jika berlaku sebaliknya kerana menurut sabda Rasulullah SAW memasukkan kegembiraan dalam diri seseorang itu adalah akhlak mulia.
Justeru, mengurus kerja dan organisasi juga bermaksud mengurus hubungan secara manusiawi dengan membudayakan kerja cemerlang berdasarkan amalan nilai insani.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan