Ahad, 22 Januari 2012
ISU BAHASA : Mencari idealisme penulis muda
Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
PENULIS sentiasa berevolusi mengikut zaman, justeru gaya dan subjek penulisan juga sentiasa berubah seiring dengan zaman mereka sendiri.
Ia amat ketara andai kita telusuri tema novel-novel besar mahupun novel picisan zaman pra merdeka dan pasca merdeka.
Karya-karya awal para sasterawan kebanyakannya menjadikan tema perjuangan menuntut kemerdekaan selain kritik sosial terhadap penjajah dan sebagainya. Ini jelas terakam dalam karya-karya besar Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) berjudul Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila.
Ini sesuai dengan zaman beliau yang sememangnya berhadapan dengan kebobrokan penjajah. Anak Mat Lela Gila adalah novel pertama dalam sejarah Tanah Melayu diharamkan. Awal lagi sebelum itu, dikatakan novel yang pertama dicetak di Tanah Melayu adalah karangan Syed Syeikh al-Hadi iaitu Hikayat Faridah Hanom. Syed Syeikh al-Hadi merupakan ulama yang terdedah kepada aliran kaum muda. Beliau dan beberapa lagi rakan seperjuangan banyak terpengaruh dengan Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Ia juga dilihat sesuai dalam konteks permasalahan pada zaman tersebut.
Pada peringkat itu, tema novelnya lebih kepada berunsur didaktik selain dilapik dengan kritik sosial dalam jalur keagamaan. Novel tersebut sangat laris dan memberi untung yang besar kepada Syed Syeikh sehingga beliau dapat membuka syarikat penerbitan dan percetakan beliau sendiri iaitu Jelutong Press.
Dunia kesusasteraan dan penulisan kreatif pernah dicemari dengan novel-novel lucah malah para penulis tanpa segan silu menulis serta mendakwa mereka menulis realiti zaman dengan menampilkan kisah-kisah erotik dengan mengangkat pelacur, mangsa rogol, ibu dan bapa ayam dan sebagainya.
KEBANGKITAN
Begitu juga dengan kebangkitan novel berunsur Islam seperti Ayat-Ayat Cinta di Indonesia, ia dilihat sesuai dengan masalah dan cabaran agama dan sosial di sana. Sememangnya pembikinan Ayat Ayat Cinta oleh Habiburrahman adalah suatu perancangan rapi daripada kelompok penulis Islam yang kemudian membentuk jemaah mereka sendiri dinamakan Forum Lingkaran Pena.
Ternyata dengan perancangan yang rapi selain daripada karya yang mengesankan sesuai dengan keperluan masyarakat Indonesia, ia juga memberikan tempias kepada Malaysia. Antara objektif utama adalah bagi mengimbangi dan memberi alternatif seterusnya menelan karya-karya sastera wangi (baca lendir) yang didukung oleh kelompok sasterawan Utan Kayu. Habiburrahman menulis bagi menjawab isu yang sangat relevan dengan suasana masyarakat dan fahaman agama di Indonesia.
Apa yang perlu ditulis oleh penulis muda? Apakah kewajaran idealisme bagi seorang penulis? Cukupkah sekadar berfikir asal boleh jual sahaja tanpa mengambil kira kebertanggungjawaban seorang penulis sebagai satu daripada komponen dakwah yang sangat penting?
Hakikatnya di Malaysia, kita punya masalah dan isu yang tersendiri. Semua isu ini memerlukan ulasan dan pelestarian daripada para pemikir, cendekiawan dan sasterawan sama ada dalam bentuk kertas kerja dan penulisan ilmiah mahupun dalam bentuk karya kreatif.
Kita tahu dan faham, andai sesuatu isu hanya dibincangkan dalam dewan seminar dan kertas kerja yang dibentangkan, sebaran maklumat dan ilmu itu akan terbatas. Justeru penulisan kreatif wajar dieksploitasi untuk melawan dakyah semasa selain menyebarkan kebaikan dan keindahan Islam dan ilmunya.
Sudah tiba masanya penulis muda bangkit mencabar status quo politik tanah air sebagai contoh, mengungkapkan dan menghuraikan secara indah segala penentangan, sokongan dan cadangan kepada zaman. Begitu juga perlu berani mencabar fahaman-fahaman yang semakin meliar dan cuba menghakis nilai Islam yang sudah tertegak kemas buat sekian lama di bumi Melayu. Ini termasuk isu rasuah, kepincangan ahli politik, kebebasan akademik dan AUKU sewajarnya menjadi subjek dan sumber ilham kepada para penulis muda. Bacalah Cinta Hari-Hari Rusuhan karya Faisal Tehrani. Beliau berjaya merakam dengan baik apa yang berlingkar pada zamannya sebagai mahasiswa kemudian menterjemahkan idealisme tersebut dalam karya. Sehingga kini novel itu masih terasa relevannya.
Namun hari ini kita kecewa apabila melihat penulis muda yang lesu tiada idealisme dan idea tuntas. Ini mungkin kerana mereka hanya lahir daripada kursus dan bengkel mewah dan bukannya bergelut dan bersepuh keringat sendiri.
Akhirnya kita akan sentiasa rindu akan karya-karya yang mempunyai nilai sikap meskipun sikap di penulis adalah berlawanan dengan sikap yang kita ambil. Ini kerana kita tahu pada penulisan mereka sesuatu yang istimewa dan tiada pada orang lain. Kita akan sentiasa rindukan Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, SN Shahnon Ahmad, SN A Samad Said dan beberapa lagi kerana mereka tidak hanya bersastera untuk sastera, bersastera untuk masyarakat, mereka bersastera untuk keadilan sejagat, menentang korupsi dan kezaliman, mereka bersastera adalah untuk berjuang sebagaimana yang dituntut agama.
Kerana hanya pada karya kreatif sahaja punya cerita dan bahasa yang indah, cerita yang membawa ilmu dan hikmah yang benar malah cerita yang merangkumkan isu agama, politik, sejarah dan budaya dalam sebuah buku. Hanya sebuah novel mampu melakukannya tidak pada buku lain.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan