Khamis, 5 Januari 2012
ISU BAHASA : Merenang Gelora, 6:20
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Dua teks KOMSAS Tingkatan Tiga dirombak
DUA novel, 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim dan Merenang Gelora (Ruslan Ngah) yang menjadi teks Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) pelajar Tingkatan Tiga turut terkena tempias ‘nasib malang’ apabila kandungan kedua-duanya dipermudahkan dengan pemotongan di sana sini.
Novel 6:20 dijadikan teks KOMSAS Tingkatan Tiga di Zon Satu merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan, manakala Merenang Gelora (Zon Dua merangkumi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.
Rombakan yang dilakukan terhadap kedua-kedua teks berkenaan didedahkan ahli panel Forum Kesusasteraan Melayu Teras Pembinaan Peradaban dan Negara, Dr Naffi Mat, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.
"Saya tidak tahu mengapa Merenang Gelora dirombak hampir 80 peratus daripada kisah pengedaran dadah di sekolah menengah kepada penjualan telefon bimbit, manakala 6:20 pula diubah hampir 30 peratus," katanya pada forum sempena Himpunan Ilmuwan Sastera Melayu Malaysia.
Ruslan ketika dihubungi Sastera berhubung perkara terbabit mengesahkan dakwaan Dr Naffi dengan mengakui bahawa beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara terbabit oleh Kementerian Pelajaran dan ia dilakukan atas alasan bahawa perubahan tulisannya itu perlu dibuat bagi memudahkan kefahaman dan penerimaan pelajar.
“Saya tidak terkilan dengan rombakan yang dilakukan terhadap Merenang Gelora, sekalipun ada yang beranggapan terlalu banyak rombakan yang dilakukan. Novel saya itu memenangi sayembara Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan sasarannya ketika ia ditulis ialah pembaca umum.
“Apabila Merenang Gelora diangkat sebagai teks, khalayaknya lebih tersasar dan saya tidak keberatan ia dirombak kerana tidak menjejaskan idea asal. Mungkin kontroversi Interlok karya Sasterawan Negara (SN) Ke-8), Datuk Abdullah Hussain, antara sebab mengapa banyak teks KOMSAS mengalami perubahan atau ‘pemurnian’,” katanya.
Kandungan asal Merenang Gelora berlegar pada kisah pengedaran dadah di sekolah menengah, tetapi selepas diangkat sebagai teks KOMSAS, ia ditukar kepada penjualan telefon bimbit bagi kesesuaian dengan pelajar Tingkatan Tiga sebagai pembaca sasarnya.
Dari satu segi, Ruslan melihat ia sebagai perkara baik kerana dapat mengelakkan perkara sensitif yang mungkin boleh menjejaskan keharmonian kaum, tanpa menafikan masa generasi muda hari ini tidak dapat membaca teks yang benar berani dan hebat.
“Sistem pendidikan kita dulu menampilkan teks yang berani dan sarat pemikiran baik oleh pengarang tempatan mahupun luar negara tanpa sebarang tapisan, tetapi keadaan kini sudah berubah, ditambah pula dengan kontroversi yang melanda Interlok,” katanya.
Siti Jasmina ketika diminta mengulas rombakan kandungan asal novelnya itu berkata, beliau bersetuju dengan permintaan Kementerian Pelajaran kerana ia hanya membabitkan 20 peratus kandungan untuk disesuaikan dengan kemampuan pelajar.
“Jika rombakan sehingga 80 peratus tidak mungkin saya akan bersetuju. Jika itu yang terjadi, saya sendiri akan tarik diri. Selepas menilai rombakan yang dilakukan tidak lari daripada persoalan dan idea asal saya, maka saya bersetuju dengan pindaan yang dilakukan.
“Saya berasa lucu bila wujud perasaan ‘risau’ pihak tertentu yang mahukan novel saya diubah sedikit. Mungkin antara faktor ‘kerisauan’ itu ialah kontroversi yang menyelubungi Interlok, sedangkan jika dibaca secara teliti kesan penceritaan 6:20 tidak mungkin mencetuskan kontroversi.
Bahagian Perkembangan Kukurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, ketika dihubungi memaklumkan talian pegawai yang bertanggungjawab mengalami kerosakan talian sejak beberapa hari dan tiada nombor lain yang boleh diberikan bagi menghubungkan media kepadanya.
Bahagian Komunikasi Korporat dan Dasar Penerbitan pula memberikan pelbagai nombor pegawai yang sepatutnya dihubungi, tetapi selepas berminggu-minggu mencuba, tiada satu pun talian yang berjawab dan lebih malang apabila dijawab seperti berikut, “Oh kami tidak boleh memberi sebarang jawapan kerana kami pegawai kerajaan dan tidak mahu media menjadikan perkara ini isu hangat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan