Ahad, 1 Januari 2012
ISU EKONOMI : Ketidaktentuan cabaran ekonomi tahun baru
Oleh ROHAMI SHAFIE
TAHUN 2012, menurut pemenang Nobel Laureate dalam bidang ekonomi, Profesor Joseph E. Stiglitz merupakan permulaan bagi sesuatu yang baru dan berkemungkinan ia fasa yang lebih menggerunkan yang mana malapetaka ekonomi yang paling teruk bakal berlaku dalam tempoh tiga perempat abad ini. Kenyataannya, tahun 2012 adalah tahun yang penuh dengan misteri ketidaktentuan. Sukar dijangka apa akan berlaku pada tahun ini.
Meskipun pada tahun lalu, negara telah mengharungi liku-liku dengan sebaik mungkin dan pertumbuhan ekonomi tumbuh lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau ini, tahun ini cabaran yang lebih besar lagi perlu dihadapi.
Pertama, keadaan ekonomi benua Eropah dijangka memberi kesan kepada negara-negara Asia, tidak terkecuali Malaysia. Mungkin ada yang berpendapat, Malaysia akan menerima kesan yang amat minimal, namun, itu tidak bermakna kita boleh berasa selamat tanpa mengambil pendekatan bersiap-siaga.
Krisis hutang Eropah memberi pengajaran sangat berguna betapa pentingnya mengurangkan hutang isi rumah rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, perlu diingat, banyak negara Asia seperti China juga bergantung harap pada negara-negara Eropah, maka secara tidak langsung jika ekonomi China berada dalam keadaan suram kesan daripada krisis hutang Eropah, negara-negara Asia yang lain juga akan terima kesannya.
Dunia juga tidak boleh mengharapkan Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan ekonomi dunia. Mana mungkin negara yang tenat ekonomi seperti AS mampu menyelamatkan ekonomi dunia.
Cabaran kedua, faktor geopolitik dunia memberi kesan kepada ekonomi dunia. Buktinya, apabila berlaku kebangkitan rakyat di negara-negara Asia Barat, bursa-bursa saham negara lain juga terkena tempiasnya. Kestabilan politik dunia tunjang kepada ekonomi dunia. Perbalahan, persengketaan dan peperangan tidak langsung memberi kebaikan kepada ekonomi dunia. Yang nyata, iktibar daripadanya wajar menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang mana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja pada tahun ini.
Mana-mana negara sekalipun memerlukan kerajaan yang kuat untuk membangunkan ekonomi secara berterusan. Kerajaan yang lemah akan menyebabkan dasar dan polisi ekonomi sukar dilaksanakan secara efektif. Gelora politik yang tidak berkesudahan membantutkan pembangunan ekonomi. Jika ini berlaku, rakyat akan menanggung kerugian yang amat besar.
Cabaran ketiga mengekalkan momentum pertumbuhan 5-6 peratus untuk kekal di landasan yang betul menuju Wawasan 2020. Mampukah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) melonjakkan ekonomi negara dan seterusnya menjadi penampan kepada krisis hutang Eropah dan AS?
Fokus utama sudah tentu pada pelaburan langsung domestik (DDI) selain tidak boleh sesekali meminggirkan pelaburan langsung asing (FDI). Tumpuan pastinya ke arah sektor-sektor seperti hartanah, automotif, kewangan dan pelancongan selain minyak dan gas yang selama ini menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara. Keyakinan pelabur dan pengguna kunci utama pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini.
Selain krisis hutang Eropah, krisis tenaga dan makanan dunia memberi cabaran seterusnya kepada ekonomi negara. Bencana alam yang sukar diramal boleh berlaku pada bila-bila masa meningkatkan lagi kesan krisis tenaga dan makanan dunia. Antara yang perlu dipantau ialah harga minyak dan gas yang memberi kesan kepada harga barang dan tenaga elektrik.
Agenda negara untuk meningkatkan kuantiti tenaga boleh diperbaharui bakal mengurangkan tekanan harga tenaga elektrik yang akan ditanggung oleh pengguna akibat peningkatan kos penjanaannya. Tambahan lagi, krisis makanan terutamanya beras yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia juga akan menambahkan beban pengguna.
Banjir yang telah berlaku di Thailand akan meningkatkan harga beras yang diimport. Strategi terbaik beralih kepada negara-negara lain seperti Pakistan agar harga beras kekal tanpa membebankan pengguna.
Tahun ini juga daya saing menjadi cabaran utama kepada syarikat-syarikat tempatan. Dijangkakan lebih banyak pengambilalihan, penggabungan dan penyenaraian syarikat-syarikat di Bursa Malaysia. Antara yang berkemungkinan berlaku, penggabungan bank-bank tempatan.
Namun, proses penggabungan tidak semudah yang disangka. Pemilihan bank-bank untuk bergabung sesama sendiri pun satu episod yang cukup mencabar. Ini belum dikira pengekalan jenama korporat bank-bank yang akan bergabung dan proses penyelesaiannya akan memakan masa yang lama.
Sekiranya ia tidak diurus dengan baik, pengabungan akan memudaratkan urusan perniagaan bermula dari pihak atasan sehingga kepada para pekerja dan pihak luar serta para pelanggan bank tersebut.
Cabaran seterusnya pelaburan kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad yang mana pegangan kerajaan akan dikurangkan bagi menambah kecairan di pasaran. Pegangan ini wajar direbut oleh syarikat-syarikat tempatan supaya tidak terlepas kepada pihak asing. Tragedi ESSO terlepas kepada pihak asing pada tahun lalu seharusnya menjadi iktibar kepada syarikat-syarikat tempatan.
Cabaran terakhir yang tidak kurang pentingnya ialah dalam menangani penyelewengan, pecah amanah dan rasuah. Kesemua ini meningkatkan kos perniagaan yang akhirnya memudaratkan ekonomi negara.
Justeru, para pemimpin dan rakyat perlu sentiasa berganding bahu dan bersedia menghadapi cabaran-cabaran ekonomi 2012. Sebarang kelekaan boleh membawa padah kepada ekonomi negara.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan