Ahad, 22 Januari 2012
ISU KEBUDAYAAN : Pelbagai kejutan diramal warnai Tahun Naga
Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
Usah jadikan sambutan Tahun Baru Cina medan tambah jumlah nahas
HARI ini adalah tanggal pertama Tahun Naga Air, yang disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Malah, di negara ini, sambutan Tahun Baru Cina menjadi perayaan kedua terbesar selepas Aidilfitri dengan cuti rasmi dua hari, menyebabkan lebuh raya dan jalan Persekutuan sesak kerana warga kota tanpa mengira kaum pulang ke kampung atau keluar bercuti. Kebetulan cuti Tahun Baru Cina kali ini bersambung dengan hujung minggu, maka berlakulah kesesakan dan jumlah kemalangan yang lebih daripada kebiasaan.
Naga ialah haiwan kelima dan satu-satunya binatang dongengan daripada 12 haiwan dalam zodiak Cina. Bagi masyarakat Cina, Tahun Naga ialah tahun bertuah kerana haiwan itu menjadi lambang kejayaan dan kebahagiaan. Setiap kali kedatangan Tahun Naga juga mencetuskan fenomena kelahiran bayi lebih tinggi, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina. Ini kerana kepercayaan bayi Tahun Naga kononnya bakal memiliki keberanian dan kebijaksanaan selain mempunyai ciri positif – keusahawanan, artistik, inovatif, berkuasa, bertuah, bersemangat dan intuitif, walaupun bersifat angkuh, tidak berhati perut dan cepat marah.
Walaupun Tahun Naga sering dikaitkan dengan tuah, kedatangan Tahun Naga Air disambut dengan kebimbangan oleh masyarakat Cina dan pakar Feng Shui. Ini kerana energi kehidupan naga air menurut kepercayaan Feng Shui, sentiasa mencetuskan perubahan besar sama ada berunsurkan positif atau sebaliknya.
Menurut kebanyakan pakar Feng Shui, Tahun Naga Air 2012 (berdasarkan perhitungan mereka bermula pada 4 Februari) bakal membawa banyak perubahan kerana berlaku pertembungan antara unsur air dengan unsur bumi. Selain meramalkan berlaku bencana alam besar, ekonomi dunia yang tidak menentu, Tahun Naga Air juga diramalkan menyaksikan beberapa perubahan dalam bidang politik di seluruh dunia.
Kali terakhir Tahun Naga Air muncul ialah pada 27 Januari 1952 hingga 13 Februari 1953. Antara peristiwa besar dicatat pada tempoh itu ialah Ratu Elizabeth II ditabalkan dan bersemayam hingga kini; drama Mousetrap yang diadaptasi daripada karya Agatha Christie dibuka di London dan memecah rekod sebagai produksi drama terpanjang dalam sejarah. Tahun Naga Air pada 1952 juga menyaksikan penciptaan dua senjata pemusnah terbesar dalam sejarah – bom hidrogen dan pesawat pengebom B-52 yang kemudian digunakan dalam Perang Vietnam.
Di Malaysia, beberapa pakar Feng Shui tempatan meramalkan sektor hartanah dijangka lebih memihak golongan pembeli kerana harganya yang dianggap keterlaluan sekarang, agak lebih stabil tahun ini, manakala keadaan ekonomi negara walaupun agak perlahan, tidaklah seburuk negara lain. Pakar Feng Shui terkenal, Kenny Hoo daripada Good Feng Shui Geomantic Research menamakan Tahun Naga 2012 sebagai ‘Revival Year’ kerana negara bakal mencapai tahap lebih tinggi selepas mengalami pelbagai kesukaran. Beliau meramalkan berlaku pelbagai perubahan dan kejutan dalam semua bidang termasuk politik, sosioekonomi, cara berfikir, perkhidmatan dan perhubungan.
Walaupun air turut dikaitkan dengan suhu yang lebih sejuk, tiada siapa dapat meramalkan mengenai suhu politik negara pada Tahun Naga Air ini. Yang pasti, ‘gurauan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada program Turun Padang di Parlimen Wangsa Maju pagi Jumaat lalu, memanaskan lagi suhu Pilihan Raya Umum Ke-13, yang dipercayai ramai akan diadakan tahun ini. “Mudah-mudahan Tahun Naga ini tahun yang beruntung. Tahun Naga tahun baik untuk buat pilihan raya,” katanya sambil menambah sejurus selepas itu “... Ataupun tahun depan.”
Apa pun ramalan mengenai Tahun Naga Air dan sama ada kita mempercayai atau tidak, harapan sempena Tahun Baru Cina ini ialah agar rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dapat terus hidup dengan semangat muhibah serta mengecapi nikmat keamanan, kemakmuran dan kestabilan. Gong Xi Fa Cai.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan