Jumaat, 20 Januari 2012
ISU PENDIDIKAN : Pendidikan jadi perisai paling berkesan
Oleh Khaled Nordin
bhnews@bharian.com.my
Dasar sederhana Malaysia menerusi modal insan berilmu mampu atasi ekstremisme
GAGASAN kesederhanaan dan penubuhan Institut Wasatiyyah seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini jelas menggambarkan komitmen dan iltizam Malaysia meletakkan kesederhanaan sebagai asas pemikiran dan pembangunan modal insan yang tepat untuk negara juga dunia. Kesederhanaan mendorong pemikiran manusia menolak perbuatan melampau atau ekstremisme, sebaliknya mempromosi keseimbangan yang mengutamakan kesejahteraan bersama.
Perbuatan melampau sering dikaitkan dengan tahap ilmu seseorang yang rendah, menjadikan emosi dan semangat keterlaluan sebagai asas bertindak terhadap sesuatu perkara. Maka timbullah implikasi tidak baik yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan mengancam keselamatan awam juga negara.
Oleh kerana itu, Malaysia meletakkan pendidikan sebagai agenda utama negara bukan saja untuk melahirkan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan negara, tetapi mengupayakan pemikiran rakyat agar rasional, seimbang dan berpijak di bumi nyata. Pendek kata, mereka yang tahu dan mahu meletakkan keutamaan membangunkan masyarakat serta negara dan bukan memusnahkannya.
Kita sangat bertuah kerana sejak merdeka, kerajaan sememangnya amat komited terhadap pendidikan rakyat. Memang tidak dinafikan, bidang pendidikan mendapat peruntukan besar setiap tahun, misalnya untuk tahun ini, sebanyak RM50.1 bilion disediakan. Daripada jumlah itu, RM37.2 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, manakala RM12.9 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Lebih penting, matlamat dan tujuan pendidikan mendasari peruntukan besar ini, dan ia tidak lain dan tidak bukan, selari dengan gagasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’ Kerajaan mahu membangun dan memaksimumkan potensi setiap rakyat, yang mana pendidikan perlu dinikmati semua yang berkelayakan tanpa mengira kaum, agama mahupun status sosial. Ia juga usaha murni menterjemah pendemokrasian pendidikan di negara ini apabila rakyat bebas menguasai ilmu dan kemahiran.
Bagi tujuan pendemokrasian pendidikan ini juga, tiga pendekatan diambil kerajaan. Pertama, menyediakan akses kepada pengajian tinggi mencukupi. Untuk sesi akademik 2012/2013, dianggar sebanyak 190,000 tempat disediakan bagi program pengajian sama ada di peringkat ijazah pertama, diploma dan sijil di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ini tidak termasuk kira-kira 310,000 tempat yang akan disediakan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sama ada bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej swasta.
Bagi menambah akses pada masa depan, 121 kursus baru diluluskan dan akan diperkenalkan mulai tahun ini dan 2013. Daripada jumlah itu, 44 kursus ditawarkan di peringkat ijazah pertama yang kebanyakannya menjurus kepada Bidang Ekonomi Utama Nasional atau NKEA seperti kejuruteraan teknologi dan sains kesihatan.
Kedua, akses saja tidak memadai. Oleh itu, kerajaan juga menyediakan subsidi bagi mereka yang menyambung pengajian di peringkat tinggi. Selain peringkat ijazah pertama, mereka yang menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah, iaitu sarjana dan PhD turut diberikan biasiswa melalui program MyMaster (RM10,000 setahun) dan MyPhD (RM20,000 setahun). Untuk 2012, kementerian menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk 8,000 tempat MyMaster manakala RM50 juta untuk 1,000 pembiayaan MhPhD dan 100 bagi PhD Industri.
Ketiga, selain akses dan subsidi, pembiayaan berbentuk pinjaman turut disediakan untuk mengurangkan beban rakyat. Sejak diperkenalkan pada 1997, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan pinjaman RM42.9 bilion untuk kira-kira 1.9 juta pemohon.
Pendekatan dan inisiatif ini jelas menggambarkan bagaimana pendidikan amat mudah dinikmati seluruh rakyat.
Jika di beberapa negara lain masih berlaku halangan mendapatkan pendidikan sama ada disebabkan faktor gender, sosial dan tahap ekonomi, Malaysia meneraju dengan meletakkan asas pendemokrasian pendidikan yang kukuh.
Sudah pastinya pelaburan besar yang lakukan kerajaan dalam bidang pendidikan dapat menyumbang kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan negara. Pendidikan asas kepada kebajikan dan kesejahteraan. Melalui pendidikanlah, ia mengupayakan masyarakat keluar daripada kemiskinan, bersedia menghadapi kehidupan dan melayakkan mereka mengambil peluang demi kemajuan masa depan.
Dalam konteks ini, pendidikan diharap menjana modal insan dan modal intelektual atau bakat yang akan mendukung pelan transformasi negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.
Kita percaya dengan pelbagai bidang pengajian ditawarkan IPT, sama ada berbentuk akademik mahupun kemahiran, ia akan dapat menyediakan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Apatah lagi, dalam era ekonomi bersumberkan kreativiti dan inovasi, modal insan sebegini menjadi pemacu dan tonggak utama kepada keperluan dan masa depan negara.
Lebih jauh daripada itu, kita mesti menerima hakikat pendidikan bukan saja membawa kemakmuran dan kemewahan ekonomi negara semata-mata, tetapi ia adalah tunjang kepada pertahanan dan keselamatan negara. Seperti ungkapan Education is our first line of defense, pendidikan tidak lagi memenuhi keperluan konvensionalnya saja, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan negara.
Negara yang kuat, kukuh dan selamat, tidak lagi bergantung kepada kekuatan tradisional semata-mata, tetapi kini amat berkait rapat dengan faktor pendidikan yang menyediakan modal insan berilmu dan berpengetahuan tinggi.
Mereka ini bukan saja akan menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi apa yang lebih penting, menerbitkan pemikiran tepat, solidariti tinggi dan meletakkan keutamaan kepada negara dan bukan diri sendiri.
Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan