Jumaat, 13 Januari 2012
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Wajarkah FB tempat melepak?
OLEH : BAHRAIN SAMAH
Suatu ketika dulu kompleks membeli-belah dan tempat awam menjadi lokasi tumpuan melepak remaja. Apabila wujud program Internet Relay Chat (IRC), pengguna internet dari pelbagai peringkat umur mengambil kesempatan perkembangan teknologi tersebut bukan sekadar untuk berinteraksi tetapi sebagai tempat melepak baru.
IRC telah menimbulkan kesan yang besar secara positif atau negatif terhadap hubungan sosial sama ada untuk masyarakat setempat mahupun antarabangsa.
Paling menguja apabila saluran Kampung yang dikendalikan warga Malaysia pernah dikatakan menerima bilangan chatters terbesar di dunia. Namun, perkara yang memburukkan rekod ini apabila IRC disalahgunakan sehingga mencetus jalinan hubungan cinta hingga tahap kekasih gelap, perceraian dan perzinaan.
Dengar-dengarnya fenomena yang serupa berlaku kepada segelintir pengguna jaringan media sosial Facebook (FB). FB mula menjadi kegilaan ramai remaja sejak ia dilancarkan pada 2004.
Sepertimana IRC, FB bukan sahaja digunakan golongan remaja, malah merangkumi pengguna kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Walaupun terdapat khidmat jaringan sosial lain, namun FB merupakan khidmat jaringan sosial terbesar di dalam dunia. Terdapat kira-kira 800 juta pengguna aktif direkodkan sehingga Julai 2004.
Lepak alam maya
Melepak dalam bahasa mudah ialah duduk tanpa melakukan perkara yang berfaedah.
Kewujudan khidmat jaringan sosial seperti FB menyediakan pilihan baru kepada golongan remaja untuk melepak. Seseorang yang melepak menggunakan FB kadangkala lebih lama daripada melepak di tempat awam.
Sembang dengan rakan FB yang tidak tentu hujung pangkal bukan mengambil masa sejam dua malah berbelas-belas jam sehari! Apakah bahan sembang golongan kaki lepak FB ini?
Antara lain ialah perkembangan semasa yang menarik perhatian rakan sembang. Mereka bersembang antara lain mengenai muzik, penyanyi dan fesyen. Kepada yang memang memiliki daya tarikan tertentu mungkin dari segi jantina, rupa atau gaya bahasa biasanya mudah dikerumuni rakan sembang. Sekali buat posting, berpuluh-puluh orang tekan butang like. Berpuluh-puluh orang juga memberi komen hanya dalam beberapa minit.
Beberapa kesan negatif hasil penggunaan media sosial berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan Larry D Rosen dari California State University, Dominguez Hill. Kajian yang dibentangkan American Psychological Association di konvensyen tahunan ke 119 mendapati penggunaan FB berpotensi membentuk narcissism pada remaja belasan tahun.
Narcissism ialah istilah psikologi yang merujuk kepada karakter yang memerlukan perhatian dan diminati secara berlebih-lebihan. Remaja awal dua puluhan yang sering menggunakan FB pula menunjukkan tanda beberapa masalah psikologi seperti perangai antisosial, peningkatan mood secara keterlaluan dan berkelakuan agresif.
Keseronokan dunia
Kajian sama juga mendapati penggunaan jaringan media sosial juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan kanak-kanak dan remaja belasan tahun. Mereka mudah mengalami keresahan, kemurungan dan masalah psikologi lain. Mereka juga terdedah kepada masalah kesihatan pada masa jangka panjang.
Selain keburukan tersebut, FB juga didapati menyebabkan seseorang hilang fokus. Keadaan ini secara negatif akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran. Beberapa kajian mendapati pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi yang menjenguk FB sekurang-kurangnya setiap lima belas minit sekali mencapai gred yang rendah.
Kajian Dr Larry R Rosen mendapati beberapa kebaikan penggunaan jaringan media sosial. Ia berupaya menjadikan seseorang secara virtual mengambil tahu terhadap diri rakan atas talian. Ia juga membantu seseorang yang pemalu atau suka memencilkan diri belajar berinteraksi. Jaringan sosial media juga dapat membantu pelajar berinteraksi untuk meningkatkan pemahaman dalam bidang pendidikan.
Saya ingatkan diri saya dan pengguna khidmat jaringan sosial tersebut menyedari bahawa sesungguhnya masa adalah kurniaan ALLAH yang amat bermakna kepada sesiapa yang benar-benar memanfaatkannya.
Masa tidak akan berundur malah sentiasa bergerak ke hadapan. Umur seseorang diukur menggunakan masa. Mereka yang menggunakan masa untuk perkara bermanfaat akan beruntung di dunia dan akhirat.
Manakala mereka yang mensia-siakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah akan hanya mengecap keseronokan di dunia tetapi mereka akan rugi di akhirat.
Dilahirkan untuk diuji
ALLAH melahirkan setiap anak Adam ke dunia untuk menjalani ujian-NYA seperti firman-NYA yang bermaksud, “(ALLAH) Yang menjadikan mati dan hidup, agar DIA menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan DIA MAHA PERKASA lagi MAHA PENGAMPUN.” (Surah Al-Mulk: 2).
Sebagai hamba-NYA, sepatutnya merasa sangat kerdil di hadapan Rabb yang MAHA PERKASA. Namun seseorang yang mengaku kesalahan yang dilakukan, bertekad tidak mengulangi lagi serta mohon ampunan daripada-NYA secara bersungguh-sungguh akan diampuni-NYA.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada KAMIlah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya : ayat 35).
Sesungguhnya jaringan media sosial menyediakan kemudahan untuk pengguna berinteraksi. Namun kemudahan yang dicipta dengan izin ALLAH ini sepatutnya digunakan secara berpada-pada.
Penggunaan jaringan media sosial sepatutnya ditumpukan dalam pelbagai aktiviti bermanfaat seperti mengerat hubungan silaturahim secara jujur dan ikhlas, menyertai kumpulan forum yang membawa kebaikan, belajar mempromosi produk dan khidmat, serta bertukar-tukar maklumat berguna.
Menyentuh konteks penggunaan masa, hadis yang diriwayatkan Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan ilmunya apa yang telah dibuatnya” - (Riwayat At Tirmidzi).
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan