Selasa, 31 Januari 2012
ISU PENDIDIKAN : Iktiraf guru dengan memuliakan majlis ilmu
Oleh Asri bin Md Saman @ Osman
Rasulullah model pendidik berpandangan jauh, beri teguran secara berhemah
ALLAH SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW adalah pendidik kepada semua manusia. Antaranya firman Allah yang bermaksud :
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” - Surah al-Jumuah, Ayat 2)
Selain dalil al-Quran, hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-Asr juga membuktikan bahawa baginda SAW adalah pendidik :
“Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid. Di dalamnya ada dua kelompok, satu sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah dan satu lagi sedang berada di dalam majlis ilmu. Lalu baginda bersabda: kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah nescaya akan dikabulkan doa mereka atau tidak dikabulkannya, manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar dan sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik. Lantas baginda SAW duduk bersama mereka (Golongan majlis ilmu).”
Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW ialah pendidik terunggul dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Baginda mampu mendidik manusia yang begitu rosak akhlaknya sebelum kedatangan Baginda bertukar secara mendadak menjadi positif dan mampu mengamalkan akhlak yang terpuji. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, relevan dan sesuai untuk dipraktikkan sepanjang zaman.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.
Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.
Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.
Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.
Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.
Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.
Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.
Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru serta watak. Justeru, guru perlu bijak dalam menangani masalah yang timbul ketika berhadapan dengan pelajar terutama pada zaman yang penuh dengan dugaan ini.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang pelajar. Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.
Bagi seseorang pelajar pula perasaan kasih dan sayang terhadap guru perlu sentiasa tersemai di dalam jiwa masing-masing. Jangan ada sama sekali perasaan benci pada guru walaupun tindakannya ada kalanya mengecewakan kita. Hubungan dengan guru adalah berterusan dari dunia hingga akhirat. Tambahan pula, Islam mengiktiraf guru sebagai orang yang berjasa melalui didikan dan bimbingannya yang mengeluarkan kita dari yang kurang baik kepada lebih baik, dari kejahilan kepada berpengetahuan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya”.(Al-Mawardi)
Kesimpulannya, guru yang memberi dan menyebarkan ilmu yang berguna adalah insan yang mulia di sisi Allah. Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa anak salih yang sentiasa mendoakannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)
- Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman Jitra, Kedah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan