Selasa, 31 Januari 2012
ISU SOSIAL : Jenayah pemerdagangan turun
Oleh Wan Faizal Ismayatim
KUALA LUMPUR: Usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia oleh Malaysia sejak 2009 mula menunjukkan kesan memberangsangkan apabila jumlah kes jenayah rentas sempadan itu menurun setiap tahun.
Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sepanjang 2011 hanya 116 kes dilaporkan di seluruh negara, iaitu penurunan 16 kes berbanding 132 pada 2010 dengan keseluruhannya 218 mangsa diselamatkan berbanding 471 pada tahun sebelumnya.
Pada masa sama, seramai 159 orang ditangkap sepanjang tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan orang berbanding 195 pada 2011.
Malaysia meningkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia secara serius selepas Amerika Syarikat (AS) meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 17 negara pada Tahap Tiga Laporan Pemerdagangan Manusia, iaitu mempunyai rekod buruk dalam jenayah itu.
Bagaimanapun, berikutan kejayaannya sejak 2009, pada 2010 AS menaik taraf Malaysia ke Tahap Dua.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pencapaian itu bukan saja menunjukkan pembanterasan kegiatan pemerdagangan orang yang lebih berkesan, malah PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi lain turut berjaya melakukan tangkapan berkualiti.
Ia termasuk penahanan dalang utama dalam kegiatan jenayah terancang itu, khususnya membabitkan kes eksploitasi seks, perkhidmatan buruh paksa, penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sindiket penjualan bayi.
“Daripada 159 kes yang ditumpaskan pada 2011, 52 membabitkan eksploitasi seks, 45 perkhidmatan buruh paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sembilan tangkapan penjualan bayi dengan 132 tangkapan membabitkan rakyat Malaysia, 11 Myanmar dan enam warga Indonesia.
“Dalam tempoh sama, 55 mangsa warga Myanmar diselamatkan daripada cengkaman penjenayah pemerdagangan orang, selain 54 Indonesia dan 38 dari Pakistan dengan kebanyakannya wanita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Sementara itu, Mohd Bakri berkata, Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan 11,832 wanita warga asing yang terbabit dalam pelacuran sepanjang tahun lalu, dengan 5,922 adalah warga China, Vietnam (2,169) dan Thailand (1,492), menurun berbanding 11,919 tangkapan pada 2010.
Bagaimanapun, katanya, tangkapan wanita tempatan pula menunjukkan peningkatan ketara apabila 1,801 ditahan pada 2011 berbanding hanya 1,060 tahun sebelumnya.
“Kita dapati, sindiket kini mengubah modus operandi dengan membawa masuk wanita Timur Tengah bagi mengaburi pihak berkuasa selain permintaan pelanggan,” katanya.
Mohd Bakri berkata, D7 Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) seluruh negara, melakukan 34,865 serbuan ke atas premis judi haram tahun lalu dengan 24,962 tangkapan, masing-masing peningkatan lebih 10,000 dan 4,000 serbuan serta tangkapan berbanding 2010.
“Bagi 2012, kita memutuskan turut membawa kaki judi ke mahkamah untuk didakwa, berbanding hanya pengendali perjudian atau premis sebelum ini,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan