Isnin, 27 Februari 2012

ISU BAHASA : Bahasa bukan pemisah


DARI kiri SM Zakir, Robert Yeo Cheng Chuan dan Seree Thatsanaslipa

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


Penerima Anugerah SEA Write 2011 luah cinta dan keamanan

CINTA dan keamanan bagaikan tidak dapat dipisahkan daripada puisi sehingga menjadi tema dan pesan yang paling akrab kepada penyair yang sama sekali berlawanan dengan realiti yang menggigit.

Dalam keghairahan mengungkapkan cinta dan keamanan, sesekali penyair tidak terlepas daripada mengimbau nostalgia khususnya fragmen hidup yang meninggalkan kesan sama ada dalam bentuk manusia atau kota.

Bagaimanapun, ada kalanya tampil penyair untuk mengingatkan teman kepenyairan terhadap ketidaksempurnaan yang wajar diterima oleh mereka termasuk dalam mimpi dan impian.

Justeru tidak hairanlah suara yang mengungkapkan hal itu yang terlepas bebas pada Baca Puisi oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011 di Muzium Istana Suan Pakkad, Bangkok, baru-baru ini.

Penyair yang juga kolumnis politik di akhbar Thailand, Seree Thatsanasilpa, membacakan puisinya, Mengembalikan Cinta ke Taman Dunia, yang menggagaskan impiannya terhadap dunia yang subur dengan cinta, tetapi kontang daripada derita.

Ini kerana krisis, konflik dan perang bagi Seree terlalu banyak mengejutkan dunia sehingga menjungkirbalikkan alam dan mengekang cinta, sekali gus menyekat laluan ke hati manusia.

Tidak hairanlah Seree memanfaatkan pentas yang menghimpunkan penyair yang mewakili rantau Asia Tenggara untuk membawa pesan menyemai cinta, menumbuhkan suara hati dan melenyapkan kebencian.

Tiada lagi air mata akan tumpah
tiada lagi kematian akan diratapi
perang tiada lagi tempat dalam sejarah
mereka telah membunuh terlalu ramai manusia.

Semaikan cinta. Biarkan ia mekar.
Meliputi bumi dengan bunga-bunganya.
Kembalikan kepercayaan dan kebenaran;
biarkan bumi yang dulunya pernah ada, menenangkan kita.

Pesan Seree itu senada dengan keinginan Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Malaysia, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir yang mendeklamasikan puisinya, Sepotong Cinta di Dunia Angin.

Ini kerana perjalanan yang merentas sempadan di tanah besar Asia Tenggara itu mengilhamkan beliau untuk membawa cinta yang bersifat sejagat itu bersama-samanya.

Sepotong cintaku tiba-tiba
menjadi bulan, bintang dan angkasa
dunia angin
kuhanyutkan sepotong cinta
untuk menjadi cahaya
di jalan berdebu di lembah baldu
dalam darah, tulang, daging dan kulitku.

Meskipun Seree membacakannya dalam bahasa Thai, manakala SM Zakir mendeklamasikan dalam bahasa Melayu, tema sejagat itu seolah-olah difahami Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Laos, Bounthanong Xomxayphol yang memilih puisinya, Kemanusiaan Memberikanku Nafas.

Aku masih hidup
untuk membangunkan
fikiran baru manusia
dan aku masih hidup
kerana kemanusiaan
memberikanku nafas.

Ketika suara cinta dan keamanan itu menguasai pentas, Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Singapura, Robert Yeo Cheng Chuan, pula memilih untuk mengimbau nostalgianya di kota Bangkok puluhan tahun silam apabila membacakan puisinya, Rain in Bangkok: October.

Aku masih terselamat, meskipun
aku dalam kota yang salah
telah kupelajari untuk meneka
di mana permukaan pernah wujud
tapi tak kusiapkan diri
dan tidak berkasut
aku terpaksa menyingsing kaki celana
menanggalkan sepatuku, sebelum
melompat ke tangga yang kering.

Bagaimanapun di sebalik suara yang meluahkan impian idealis untuk dunia yang realistik, Penerima Anugerah SEA Write 2010 dari Thailand, Zakariya Amataya, bagaikan mengingatkan mereka terhadap ketidaksempurnaan mimpinya dalam The Buttons of My Childhood Jacket.

Dalam mimpiku, kiranya ada jambatan
pastilah ia terbina separuh
dalam mimpiku, kiranya ada tangga
pastilah ia menuju ke bawah.

Dalam mimpiku, kiranya tumbuh sepohon kayu
pastilah ia tidak berdaun
kiranya terbangun teratak dalam mimpiku
pastilah ia tidak berbumbung.

Acara itu turut dimeriahkan dengan bacaan puisi dan karya oleh Penerima Anugerah SEA Write 2011, Mohd Zefri Ariff Mohd Zain Ariff dari Brunei Darussalam; D Zawawi Imron (Indonesia); Romulo P Baquiran (Filipina); Jadej Kamjorndet (Thailand) dan Nguyen Chi Trung (Vietnam) selain Penerima Anugerah SEA Write 2001, Chokchai Bundit.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Anugerah SEA Write yang juga Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra; Pengasas Baca Prosa dan Puisi Tahunan SEA Write, Prof Madya Dr Trisilpa Boonkhachorn; Presiden PEN Antarabangsa Thailand, Prof Madya Dr Soranat Tailanga dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sallehuddin Abang Shokeran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan