Selasa, 14 Februari 2012
ISU BAHASA : Istilah sains dan teknologi perlu tepat
Oleh SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH
SATU cabaran dalam bidang berkaitan sains dan teknologi adalah menggunakan istilah yang tepat, apa lagi jika istilah itu dipinjam daripada bahasa asing.
Inisiatif memperkenalkan istilah-istilah bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi sudah berjalan sejak sekian lama dengan usaha awal dilihat berlaku semasa penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970. Cabaran menjalankan program sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan turut merangkumi aspek pengistilahan.
Hari ini kita boleh merujuk pelbagai bahan rujukan berhubung istilah sains dan teknologi di dalam kamus dan glosari seperti yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malah portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dikelolakan oleh DBP juga menjadi rujukan popular dewasa ini bagi memastikan istilah yang digunakan tepat.
Dengan pelbagai platform yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja (baik bahan elektronik atau cetak), masih ada pihak yang nampaknya mengambil mudah soal penggunaan istilah yang tepat. Ramai daripada kita yang pastinya masih ingat isu penterjemahan kandungan portal Kementerian Pertahanan yang menterjemahkan frasa bahasa Melayu ke bahasa Inggeris secara harfiah.
Jika dalam isu itu, banyak pihak yang cepat melenting kerana penggunaan bahasa Inggeris yang salah, saya melihat tidak banyak pihak pula yang prihatin dan peka terhadap kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang amat berleluasa. Ini memberikan gambaran yang penggunaan bahasa Melayu yang tepat seolah-olah tidak penting.
Saya terpanggil memberikan pandangan mengenai isu ini apabila terbaca di dalam portal sebuah akhbar tempatan (bukan Utusan Malaysia) bertarikh 11 Februari 2012 yang melaporkan mengenai kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Kempen MPSJ ini yang dipanggil "Kempen Penggunaan Plastik Mampan" mahu menggalakkan masyarakat menggunakan plastik biodegradable yang diistilahkan oleh MPSJ sebagai 'plastik mampan'.Istilah 'mampan' itu, menurut Portal PRPM, membawa maksud 'mampu terus berkembang dan mencapai tahap prestasi yang baik'.
Saya yakin MPSJ tidak maksudkan plastik yang mampu terus berkembang atau plastik yang boleh mencapai tahap prestasi yang baik apabila melancarkan kempen ini. Seandainya MPSJ maksudkan mampan, istilah ini membawa makna 'tidak berubah-ubah dan sudah diterima umum'. Saya juga yakin bukan ini yang dimaksudkan oleh MPSJ.
Jika dilihat kepada mesej yang hendak disampaikan adalah mengenai penggunaan plastik biodegradable. Sepatutnya istilah yang digunakan adalah "plastik biorosot" atau "plastik terbiodegradasi". Memang tidak dinafikan bahawa istilah yang lebih tepat ini nampak asing dan mungkin janggal bagi sesetengah orang.
Walau bagaimanapun, sekiranya kita tidak membiasakan diri dengan menggunakan istilah yang tepat, maka kita akan selama-lamanya terbiasa dengan istilah-istilah yang salah.
Bagi saya, tanggungjawab menggunakan istilah yang tepat adalah tanggungjawab semua pihak. Kita sebagai pengguna bahasa seharusnya lebih peka dengan istilah-istilah yang kita gunakan. Hari ini sebenarnya tiada alasan bagi kita untuk tidak menggunakan istilah yang betul. Ini kerana capaian kepada rujukan istilah boleh diperolehi dengan mudah apa lagi dengan kepelbagaian fungsi telefon pintar sedia ada.
Ramai yang sudah boleh mencapai Internet sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer. Keluasan capaian Internet juga sudah semakin baik di negara kita. Jadi, apabila berhadapan dengan situasi untuk memilih istilah yang tepat, kita dengan mudah boleh mencapai Portal PRPM bagi membuat rujukan. Alternatif lain sudah tentulah dengan merujuk kepada kamus dan glosari yang sepatutnya dijadikan rujukan dalam memilih istilah yang sesuai dan tepat.
Pastinya cabaran yang berat digalas oleh DBP dalam aspek pemantauan bahasa. Namun, sekiranya semua pihak boleh berganding bahu, pastinya tugas memastikan penggunaan istilah dan bahasa yang baik, betul dan tepat dapat direalisasikan. Jika ramai yang prihatin dengan penggunaan bahasa Inggeris yang tepat, saya berpandangan kita juga perlu prihatin dengan penggunaan bahasa Melayu yang bukan sahaja baik tetapi tepat.
Perhatian yang lebih perlu diberikan kepada istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu supaya tidak berlaku penggunaan istilah yang salah. Memang merugikan apabila niat kempen itu baik dan murni tetapi istilah yang digunakan tidak melambangkan mesej sebenar yang hendak disampaikan menerusi kempen tersebut.
PENULIS ialah Pengarah Eksekutif, Yayasan Ilmuwan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan