Rabu, 15 Februari 2012
ISU BAHASA : Wajah Timur, Lidah Barat
Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my
Sikap bangsa Melayu mengagungkan bahasa Inggeris dibidas
SIKAP orang Melayu yang mendahulukan bahasa asing terutama Inggeris apabila berkomunikasi sehingga lupa bahawa dirinya berkulit sawo matang dan berambut hitam pekat, menjadi bahan tempelak pada wacana Wajah Timur, Lidah Barat: Permasalahan Imperialisme Linguistik di Malaysia.
Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang juga Sasterawan Negara Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, selaku panel wacana menyifatkan sikap terbabit terjadi kerana kegagalan rakyat negara ini melepaskan diri daripada sindrom imperialisme linguistik.
Mengikut Ensiklopedia Britannica, imperialisme linguistik terjadi hasil pengaruh penjajah pada era pascakolonial yang menjana proses pemindahan sebuah bahasa dominan dan kesannya dapat dilihat berdasarkan penyebaran budaya, pendidikan, ekonomi dan teknologi baru.
“Menguasai bahasa asing bukan suatu dosa, sebaliknya suatu kelebihan. Malah, pengkarya genius bangsa Melayu, Hikayat Hang Tuah, menyebut bahawa watak Hang Tuah menguasai 12 bahasa dan sekali gus, memberi saranan profetik kepada bangsa Melayu menguasai bahasa asing tanpa melupakan jati diri, nilai, adat dan simbol kebudayaan bangsa.
“Misalnya, orang Islam pada abad ke-9 mempelajari budaya Yunani tanpa menggadaikan bahasa Arab dan Eropah Latin pula mempelajari budaya Arab pada abad ke-12, tetapi tidak pula mengetepikan bahasa Latin yang menjadi lambang jati diri mereka,” katanya pada wacana anjuran Penabayu dan Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Dr Anwar yang jelas kecewa dengan senario semasa masyarakat yang mendewakan unsur kolonialisme hingga suntikan kemelayuan lenyap ditelan zaman, memetik dua rantaian khazanah cerita lisan Melayu abad ke-19, Cerita Cik Tunggal dan Cerita Malim Dewa, sebagai bahan perbandingan.
Kedua-dua naskhah cerita lisan Melayu itu didakwa mengisahkan keberanian orang Melayu dalam bersuara, mengkritik dan membidas kerakusan penjajah menakluk, sekali gus turut mengubah corak kehidupan serta budaya Melayu di negara mereka sendiri.
“Dua ceritera ini begitu memberi inspirasi kerana semangat bangsa Melayu yang antaranya menerusi Cerita Malim Dewa mengisahkan watak hero itu yang berjaya membunuh Maharaja Portugal dan membuktikan kejantanan wira Melayu dari timur,” katanya.
Dr Anwar mengingatkan bangsa Melayu agar tidak lupa hakikat bahasa Melayu layak digelar bahasa maju berasaskan ciri penting seperti ditetapkan dalam kajian pakar bahasa dari Amerika Syarikat, Charles A Ferguson dan antaranya yang meletakkan beberapa kriteria utama yang perlu dipenuhi.
Bahasa maju mempunyai sistem tulisan baku, ragam ‘bahasa tinggi’ yang jauh mengatasi dialek bahasa Melayu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selain boleh pula menterjemah ilmu daripada pelbagai bidang termasuk ilmu moden dan saintifik daripada bahasa asing yang lain.
Malangnya, pengiktirafan sebagai bahasa maju tidak memberi kesan positif kepada perkembangan bahasa Melayu, apatah lagi dalam sistem pendidikan negara ini yang semakin berorientasikan barat dan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.
“Di kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), semakin banyak kursus peringkat diploma dan ijazah diajar dalam bahasa Inggeris. Sebahagian pensyarah tidak menulis buku dalam bahasa Melayu lagi dan pelajar pula membuat rujukan mudah menerusi internet dengan mencedok rencana bahasa Inggeris.
“Langkah pembuktian semula bagi menunjukkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan kebangsaan perlu diperhebat. Kita memerlukan universiti yang semua kursusnya disampaikan dalam bahasa Melayu bagi membuktikan kemampuannya sebagai bahasa ilmu moden,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Samian.
Selain itu, Dr Anwar turut meluahkan kekecewaannya terhadap jumlah penerbitan buku baru dalam bahasa Melayu yang begitu rendah sekitar 10,000 hingga 14,000 judul setahun berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Berbekalkan 20 IPTA, puluhan pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu dan ratusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan lebih 1,700 orang profesor dan 25,000 tenaga pengajar masih belum mampu mencapai sasaran PNM bagi menerbitkan 28,000 buku setahun.
Kelemahan yang begitu ketara ini menunjukkan kebanyakan ilmuwan tempatan tidak menulis dan gejala tidak sihat ini perlu dipantau pihak berkaitan, terutama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbit universiti, Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), pusat penyelidikan, penerbit swasta dan masyarakat secara umumnya bagi merangka strategi penerbitan karya ilmiah secara besar-besaran.
Tidak ketinggalan, Dr Anwar turut mencadangkan kebangkitan bahasa Melayu dapat dilaksanakan sekiranya mendapat kerjasama baik daripada negara Nusantara lain termasuk Singapura, Brunei Darussalam, Singapura, Selatan Thai, Selatan Filipina yang mempunyai penutur bahasa Melayu yang utama dan minoriti.
“Bahasa Melayu boleh bersemuka dan bertentang mata dengan imperialisme linguistik bahasa Inggeris di rantau Nusantara dengan lebih gagah, sekiranya wujud bahasa Melayu yang bersifat supranasional lagi seragam terutama dari aspek sebutan, penulisan serta fungsinya.
“Jika jurang bahasa senusantara ini dapat dirapatkan, hasilnya kelak bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ‘belasahan’ imperialisme linguistik bahasa Inggeris, sebaliknya hadir sebagai pesaing sihat di tengah pentas bahasa dunia,” katanya sekali gus mengakhiri wacana hampir dua jam itu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan