Khamis, 23 Februari 2012
ISU KENEGARAAN : Akhlak buruk runtuhkan peradaban bangsa
Pandangan IKIM
KEMAJUAN dan tamadun yang tinggi merupakan sesuatu yang dicita-citakan oleh semua bangsa. Pembinaan tamadun atau peradaban bangsa tidak boleh berlaku secara sekelip mata dan ia merupakan suatu proses yang memakan masa.
Mengekalkannya juga bukan tugas mudah. Kekuatan dalam aspek pertahanan negara, ekonomi dan politik merupakan asas dan elemen utama untuk membina dan mengisi peradaban itu sendiri.
Bangsa yang terjajah walaupun menikmati kemajuan secara fizikal masih tidak boleh dianggap sebagai bangsa yang berperadaban kerana kedaulatan serta maruah bangsa dan negara adalah prasyarat dalam pembentukan sesebuah negara.
Peradaban dan tamadun merupakan nikmat sekali gus amanah yang perlu dipelihara, dipertahankan dan dikekalkan tanpa noktah masa. Di sinilah letaknya peranan akhlak yang sewajarnya menjadi teras kepada pembinaan tamadun, yang juga menjadi kubu pertahanan kepada pembangunan fizikal walaupun ia hanya dapat dilihat dan disentuh oleh mata hati.
Gaya hidup moden sebahagian daripada tanda bertamadunnya sesebuah bangsa atau negara. Namun, jika akhlak tidak dijadikan sebagai amalan dan darah daging, maka kemajuan fizikal boleh rosak dan mereput dari dalam.
Rasuah, pecah amanah, penipuan adalah contoh-contoh perilaku yang berupaya merosakkan isi kepada tamadun. Kita perlu belajar daripada pengalaman lepas, bagaimana empayar Melaka yang sangat maju dan terbilang itu boleh jatuh tanpa mengambil masa yang lama. Sedangkan kubu pertahanan dan tembok yang melindungi kota Melaka amat kukuh dan ampuh. Malah dikhabarkan juga tahap persenjataan dan kekuatan tentera kesultanan Melayu Melaka juga bukan calang- calang hebatnya.
Kekuatan dalam aspek fizikal sebenarnya masih tidak boleh dibandingkan dengan kesetiaan rakyat dengan sepenuh hati terhadap pemimpin dan juga negaranya. Dan itulah yang berlaku pada empayar Melaka lebih lima abad yang lalu. Bukan disebabkan rapuhnya tembok dan kubu pertahanan kota Melaka, tetapi adalah disebabkan wujudnya petualang dan pengkhianat bangsa seperti Si Kitul, Raja Mendaliar dan Laksamana Khoja Hassan yang sanggup bersekongkol dalam menabur fitnah dan mengadu-domba.
Walaupun tragedi malang ini terbalas dengan hukuman bunuh terhadap mereka, tetapi ia belum cukup untuk membayar kerugian yang terpaksa diterima oleh bangsa dan kesultanan Melayu secara keseluruhannya. Pengkhianatan ini menyebabkan harga diri bangsa Melayu menjadi murah, kedudukan mereka direndahkan dengan penjajahan yang berlaku sehingga beratus-ratus tahun lamanya.
Faktor sama juga adalah antara penyebab kepada keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyah walaupun tidak dinafikan terdapat faktor lain yang menyebabkan keruntuhan tersebut berlaku. Pemimpin yang sangat leka pada hal-hal keduniaan dan pemabuk, pegawai dan pembesar yang gilakan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga kepentingan peribadi termasuk menyelewengkan kuasa dan rasuah, merupakan contoh anasir atau agen yang menyebabkan kebobrokan negara berlaku dari dalam.
Yang lebih malang lagi mereka tidak menjaga sistem ketenteraan dan pertahanan mereka dengan serius. Pemilihan dalam barisan pimpinan ketenteraan tidak disaring mengikut tradisi yang mengutamakan potensi dan kualiti, tetapi lebih kepada pertimbangan dan budi bicara.
Kronisme yang berlaku di peringkat yang lebih rendah juga lebih merapuhkan kubu pertahanan. Antaranya memberi kenaikan pangkat kepada anak-anak pegawai atasan yang secara langsung menafikan individu lain yang lebih layak dan memiliki disiplin dan kemahiran ketenteraan yang tinggi.
Bukan itu sahaja, hiburan dan arak lebih mendapat tempat dan sebaliknya, masjid- masjid menjadi lengang tanpa majlis-majlis ilmu, dakwah dan kerohanian. Malah, mereka lebih memberi tempat kepada perkara- perkara yang khurafat dan orang agama bersikap tidak komited terhadap ajaran al-Quran dan Sunah.
Akhlak adalah salah satu komponen yang terkandung dalam agama Islam selain akidah dan syariah. Peranan akhlak amat penting sehinggakan antara tujuan undang-undang digubal adalah untuk menjaga akhlak manusia.
Sebagai agama yang sempurna dan melihat akhlak sebagai sebahagian daripada nyawa bagi kelangsungan kehidupan manusia secara teratur dan harmoni, maka agama Islam telah meletakkan adab dan akhlak dalam setiap dimensi kehidupan manusia.
Bermula dengan akhlak hamba dengan Penciptanya, kemudian akhlak manusia dengan diri sendiri, ibu bapa dan ahli keluarga, sehinggalah kepada akhlak terhadap negara dan persekitaran individu, agama Islam telah mengajar manusia bagaimana untuk hidup secara berakhlak. Malah, agama Islam turut mengajar umatnya menunaikan hak selain manusia seperti binatang, pokok dan bahagian- bahagian bumi ini sebagai sebahagian daripada akhlak dan adab Islamiah.
Jika setiap individu memahami fungsi akhlak dalam kehidupan dan mengamalkannya, nescaya setiap orang akan dapat hidup dengan aman dan setiap pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lancar. Seterusnya, pembangunan kebendaan dapat dibina dengan penuh integriti.
Individu yang berakhlak juga bukan sahaja tidak akan menjadi punca kegelisahan orang lain tetapi dengan akhlak yang baik turut menggambarkan jati diri yang kukuh. Inilah pengajaran yang diperlihatkan oleh Sultan Abdul Hamid II yang tegas menolak tawaran pihak Yahudi yang berjanji untuk memberikan wang 150 juta pound sterling emas sekiranya baginda bersetuju dengan permohonan pihak Yahudi untuk membentuk negara mereka di Palestin.
Rumusannya, akhlak baik yang diamalkan oleh tiap individu dan rakyat akan membantu kelangsungan pembangunan negara membina peradaban. Selanjutnya akan memastikan peradaban bangsa terus kekal kelangsungannya.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan
Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan