Jumaat, 10 Februari 2012
ISU KENEGARAAN : Pemimpin sejati sentiasa prihatin bela rakyat
Oleh ROHAMI SHAFIE
RASULULLAH SAW ialah pemimpin teragung pernah dilahirkan di muka bumi ini. Baginda seorang pemimpin yang menyatukan kabilah-kabilah yang bergaduh di bawah panji Islam.
Baginda menunjukkan ciri-ciri kesatuan ummah supaya umat Islam bersatu padu sepanjang masa. Baginda diangkat sebagai pemimpin terbaik sepanjang zaman yang membela umatnya.
Rasa kasih baginda kepada umatnya tidak kira masa. Keprihatinan baginda terhadap umatnya tiada tolok bandingnya. Baginda mementingkan orang lain berbanding dirinya sendiri. Baginda tidak sesekali meninggalkan orang lain ketika kesusahan. Tidak pula hanya bercakap kosong dengan menabur pelbagai janji tetapi tidak pula ditunaikan. Jauh sekali mengaut kekayaan atas kapasitinya sebagai pemimpin terulung.
Baginda tidak meninggalkan sebarang harta kecuali al-Quran dan hadis yang menjadi sumber rujukan utama umatnya. Kepimpinan dan keperibadian baginda mencerminkan betapa indahnya itu Islam. Baginda sentiasa diingati setiap masa.
Sewajarnya, pemimpin-pemimpin di Malaysia menjadikan baginda sebagai idola pemimpin terbaik di dunia. Nasib rakyat wajib dibela. Usahlah hanya menabur pelbagai janji tetapi janji-janji tersebut hanya sekadar tinggal janji-janji manis kerana ia tidak realistik. Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang sentiasa membela rakyat. Kekayaan negara diagih-agihkan dengan adil untuk rakyat. Yang kaya membantu yang miskin. Yang miskin pula bertanggungjawab untuk sentiasa mempertingkatkan taraf ekonomi mereka.
Pemimpin yang baik sentiasa memikirkan dan melaksanakan janji-janji untuk membela nasib rakyat. Tanggungjawab pemimpin amat besar sama sekali dan akan ditanya di akhirat nanti sejauh manakah beliau melaksanakan amanah dengan baik. Apabila disebut pembelaan, rakyat mahukan kehidupan yang selesa, makmur dan bahagia. Jika tidak diurus dengan baik, lihatlah apa yang terjadi di Mesir. Rakyat memberontak dan sehingga sekarang negara tersebut masih lagi bergolak. Pergaduhan sesama rakyat terbawa-bawa sehingga ke padang bola. Semuanya bermula dek kerana negara ditadbir urus mengikut hawa nafsu sendiri. Bukan untuk membela rakyat tetapi digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Nescaya, pemimpin sebegini tidak ke mana. Lambat lalu rakyat akan memberontak.
Pemimpin yang lupa daratan akhirnya akan rebah jua. Walhal, Rasullullah SAW dengan jelasnya mengajar umatnya bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik dan disayangi rakyat. Dalam konteks negara kita Malaysia, pelbagai program pembangunan ekonomi dilaksanakan sejak dahulu lagi. Namun demikian, banyak lagi program yang melibatkan pembangunan ekonomi rakyat perlu dilaksanakan. Program-program terbaru yang melibatkan produk-produk ekonomi 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia, SARA 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia serba sedikit mampu melegakan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.
Tidak kurang juga, ada cadangan menetapkan gaji minimum para pekerja sektor swasta. Semuanya untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa yang sama berusaha untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat. Rakyat mengharapkan program-program sebegini diteruskan pada setiap masa. Manakala idea-idea terbaru untuk memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat diketengahkan agar kualiti kehidupan rakyat dapat dipertingkatkan. Rakyat juga berharap segala bantuan diberikan bukanlah sebagai "gula-gula" menjelang pilihan. Tidak kira apa pun tindakan, ia perlu disusuli dengan keikhlasan.
Pemimpin yang baik juga tidak boleh sesekali terlalu memanjakan rakyatnya dengan memberi pelbagai bantuan yang keterlaluan. Lihatlah contoh yang berlaku di negara-negara Eropah seperti Greece dan United Kingdom (UK). Rakyatnya diberikan kemewahan yang palsu semata-mata untuk menjadikan pemimpinnya sentiasa popular dan disayangi. Rakyat tidak boleh dijanjikan bulan dan bintang. Apa yang boleh dijanjikan adalah melaksanakan sebaik mungkin untuk membela nasib ekonomi rakyat mengikut kemampuan yang ada.
Di UK, negara yang berpaksikan konsep negara berkebajikan, rakyatnya yang rajin bekerja terpaksa menyumbang sebahagian besar pendapatan melalui potongan cukai untuk "membahagiakan" rakyat yang tidak mahu bekerja. Walhal kebanyakan yang tidak mahu bekerja ini mempunyai kudrat yang secukupnya untuk bekerja. Natijahnya, rakyat yang bekerja bersungguh-sungguh berasa tidak puas hati dengan mereka yang malas bekerja meskipun mampu mengerah kudrat mereka untuk mendapatkan rezeki. Maka, ada satu yang tidak kena dengan sistem ekonomi sebegini.
Rakyat sendiri bertanggungjawab sepenuhnya untuk memajukan ekonomi dengan berusaha untuk mempertingkatkan produktiviti. Apa akan terjadi jika sekiranya produktiviti tetap sama tetapi pendapatan sentiasa ditingkatkan atas dasar kononnya itu hak para pekerja? Yakinilah, negara tersebut bakal terjerumus ke kancah krisis ekonomi dalam tempoh jangka masa panjang.
Justeru, para pemimpin perlu mencontohi Rasullullah SAW yang mengajar umatnya mengenai keadilan dan keseimbangan yang merupakan jalan terbaik dalam mengurus ekonomi rakyat dan negara. Dengan cara ini sahaja, para pemimpin akan dihormati dan disayangi oleh rakyat, manakala rakyat pula akan berasa nasib mereka terbela pada setiap masa.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan