Khamis, 15 Mac 2012
ISU BAHASA : Dr Hassan Ahmad nasionalis bahasa Melayu moden
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Ketokohan dan kesungguhan Dr Hassan Ahmad terakam dalam sejarah
KETEGASAN dan kesungguhan bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa berwibawa dalam segala hal sepanjang hayatnya melayakkan beliau digelar sebagai nasionalis bahasa.
Sejak mula menyertai DBP pada 1963 sehingga ke akhir hayatnya pada 31 Ogos 2011, Dr Hassan tokoh penggerak perarakan Keranda 152 pada 3 Mac 1967, tampil sebagai tokoh bahasa terpenting seperti tercatat dalam sejarah Malaysia moden.
Perarakan Keranda 152 adalah bantahan pejuang bahasa terhadap kegagalan kerajaan untuk menepati janji menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi dalam bidang kehakiman.
Tiga puluh enam tahun selepas itu, sejarah juga mencatatkan Hassan adalah antara penentang kuat dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada 2003.
Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyifatkan Dr Hassan seorang linguis nasionalis dalam negara yang sarat masalah bahasa.
“Dr Hassan adalah linguis nasionalis yang sentiasa mahu mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang bukan saja mulia, tetapi besar dan agung dalam setiap masa. Beliau juga melihat bahasa adalah binaan sosiopolitik yang memberi jati diri kepada Malaysia,” katanya ketika melapah Sumbangan Hassan Ahmad dalam Pembangunan Bahasa Melayu pada Wacana Pemikiran Datuk Dr Hassan Ahmad di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, baru-baru ini.
Prof Teo melihat Dr Hassan sebagai pendukung pelbagai peranan yang sering kali rumit sifatnya dalam memastikan pembentukan bangsa Malaysia dan negara Malaysia selari dengan dasar bahasa kebangsaan.
“Beliau pengulas, pengkritik dan aktivis nasional. Seorang linguis nasionalis yang giat berbicara daripada segi linguistik semasa menyentuh pelbagai aspek korpus bahasa Melayu, merangkumi bahasa baku serta tekun memberi huraian dari sudut sosiologi,” ujarnya.
Justeru, Dr Hassan dilihat bukan sekadar pejuang bahasa, tetapi tokoh bahasa Melayu dengan ketokohannya terserlah dalam bidang perancangan yang meliputi perkembangan dan pengurusannya.
“Ketika di DBP, Dr Hassan memacu pembangunan bahasa Melayu dan kesungguhannya membolehkan bahasa itu dapat dimodenkan secepat mungkin, selain menjadikannya mampu mengungkap segala hal khususnya dalam dunia yang mengalami perubahan teknikal dan teknologi.
“Pendekatan nasionalis Dr Hassan membolehkan ragam baku dilaksanakan, selain bahasa Melayu berjaya merealisasikan rangsangan politik, yakni menyatupadukan rakyat pelbagai kaum melalui bahasa kebangsaan dan menyakinkan rakyat bahasa Melayu mampu memajukan negara,” katanya.
Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Prof Madya Dr Abdul Rahman Napiah Dr Hassan perjuangan dalam memartabatkan bahasa Melayu berpunca daripada sistem pentadbiran yang menganggap bahasa itu lemah.
“Sikap segelintir bangsa Melayu yang malu menggunakan bahasa sendiri, sekali gus memungkinkan lenyapnya jati diri bangsa Melayu turut menjadi pendorong kepada tokoh yang mahu menyedarkan betapa pentingnya bahasa Melayu didaulatkan kerana ia lambang kekuatan bangsa,” katanya ketika memperkatakan Pemikiran Hassan Ahmad dalam Imbasan.
Buku Dr Hassan Imbasan yang menghimpunkan tulisan tokoh itu ketika menjadi kolumnis Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya, memuatkan wacana yang selari dengan ilmu dan pengalaman tokoh itu dalam memperjuangkan bahasa Melayu.
Dr Hassan turut dilihat sebagai insan yang melihat hubungan antara bangsa dengan perkembangan bahasanya tidak dapat dipisahkan, seperti dibuktikan dalam sejarah tamadun manusia sejak sekian lama.
“Tokoh ini berpegang kepada pendirian tidak ada bangsa yang berjaya mencipta tamadun tinggi dengan menggunakan bahasa orang lain, bahasa kedua, ketiga atau bahasa kuasa penjajah sebagai alat pembinaan tamadun sendiri,” tegasnya.
Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan berkata, bahasa Melayu mempunyai hubungan erat dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan politik negara ini, selain kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan antara asas kontrak sosial yang dipersetujui pada pelan pembinaan Malaysia.
“Justeru perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan langsung dengan roh bangsa dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa mahupun negara,” katanya ketika berkongsi Penghormatan Kepada Datuk Dr Hassan Ahmad: Inspirasi dan Aspirasi Bersumberkan Jejak Perjuangan Bahasanya pada Wacana Pemikiran Datuk Dr Hassan Ahmad.
Tetapi malangnya, kedudukan bahasa Melayu semakin terhimpit berikutan kadar celik pemahaman dan penghayatan yang mengecil dalam kalangan sesetengah warganegara terhadap fungsi bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan.
“Keadaan itu menyebabkan bahasa Melayu tidak dianggap penting sehingga ia diberi nilai ekonomi yang rendah. Ditambah pula dengan sikap segelintir bangsa Melayu yang baru celik dalam ekonomi, tiba-tiba menjadi angkuh dan memandang hina pada bahasa mereka sendiri.
“Bagaimanapun, perkara sedemikian tidak pula berlaku dalam masyarakat Cina. Sekaya mana pun anggota masyarakat Cina, mereka tidaka sekali-kali menafikan sumbangan bahasa dan budaya mereka,” tegasnya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan