Selasa, 6 Mac 2012
ISU BAHASA : Karya sastera hebat
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
Maksud luas pengarang terpancar kepada yang membaca dengan berfikir
KARYA sastera mempunyai maksud lebih luas daripada sekadar luahan perasaan pengarang dalam kisah cinta yang sempit atau memenuhi selera hiburan ringan pembaca kerana hakikatnya ia sebenarnya wadah perjuangan dalam masyarakat jika ruang lingkup negara, serantau dan dunia, diambil kira.
Daripada perjuangan yang mewakili golongan tidak berpeluang dan bernasib baik kepada iltizam untuk mengikat manusia pelbagai negara dan bangsa, idealisme itulah yang bakal menentukan sama ada pengarang benar-benar memanfaatkan kreativiti yang dimilikinya.
Karya kecil dan ringan hanya meletakkan pengarang pada kedudukan yang tidak lebih daripada penghibur, manakala ideologi dan tujuan kepengarangan yang lebih mulia mengangkat mereka sehingga diiktiraf bukan saja di tanah air, bahkan di luar negara.
Tujuan kepengarangan inilah yang menjadi inti pati dalam Diskusi Bertemu Pengarang di Bank Bangkok, Bang Rak, Bangkok, baru-baru ini, sekali gus menjadi medan perkongsian antara Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011.
Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Laos, Bounthanong Xomxayphol, menjadikan perjuangan yang mewakili mereka yang tidak mempunyai hak kemasyarakatan sepenuhnya dan tidak bernasib baik sebagai ideologi, tujuan dan misi penulisannya.
“Saya ibaratkan sastera dan penulisan kreatif sebagai kenderaan untuk memperjuangkan kemanusiaan, kebaikan dan kebebasan kepada semua lapisan masyarakat khususnya yang tidak bernasib baik.
“Sastera juga digunakan untuk melawan dan menentang ketidaksamaan yang berlaku dalam masyarakat, sekali gus menjadi wakil kepada mereka yang tidak mendapat peluang yang sama,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Timbalan Presiden (Perhubungan Awam), Bank Bangkok, Suwit Indrachalerm dan Pensyarah Universiti Chulalongkorn, Prof Madya Dr Surapeepan Chatraporn.
Ideologi, tujuan dan misi kepengarangannya terserlah pada karyanya, American Bones, yang mengambil latar peristiwa kerajaan Amerika Syarikat (AS) menghantar pasukan ke Laos untuk menjejaki anggota tenteranya yang hilang ketika bertugas (MIA) pada Perang Indochina.
“Sebenarnya pada ketika itu, AS dan Laos tak memiliki sebarang hubungan diplomatik, tetapi kerajaan kami membenarkan pasukan terbabit untuk masuk. Pada masa sama, ada fakta yang mengejutkan apabila tiga juta tan bom pernah digugurkan di Laos yang mempunyai kira-kira tiga juta rakyat,” katanya yang turut menggunakan nama pena Sahaifai.
Bounthanong berkata, misi itu sebenarnya adalah peristiwa besar dalam konteks kemanusiaan yang diperlihatkan oleh Laos kerana bukan hanya AS mengalami kehilangan anggota tenteranya, sebaliknya rakyat Laos sendiri hilang keluarga dan saudara mara.
“Ia isu sensitif kerana misi itu sebenarnya menunjukkan tindakan ‘pengampunan’ dari Laos kepada AS, meskipun kuasa besar itu tidak pernah melahirkan kekesalan atau membayar ganti rugi terhadap kemusnahan kesan daripada ledakan bom mereka.
“Lebih menyedihkan lagi, kira-kira tujuh peratus daripada bom yang pernah digugurkan di Laos masih lagi aktif sehingga ke hari ini,” katanya.
Pandangan Bounthanong itu diperkukuhkan oleh keyakinan Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Malaysia, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, terhadap peranan pengarang dengan meluahkan perasaan dan pemikiran yang jujur dalam karya sastera mereka.
“Pengarang tidak boleh bertindak sebagai propagandis, sebaliknya mereka perlu tampil untuk menjadi diri sendiri dan menghasilkan karya yang lahir daripada jiwa.
“Mereka menulis tidak kira apa saja genre bukan kerana kehendak atau perintah pihak lain, sebaliknya berdasarkan fikiran dan tindakannya yang jujur itu,” katanya.
Hakikat itu memberi kelebihan kepadanya dan pengarang yang lain untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan berbeza, sekali gus menyampaikan makna yang lebih besar kepada kemanusiaan serantau dan sejagat.
“Ini kerana sastera sebenarnya berperanan untuk menggabung dan mengikat semangat daripada manusia pelbagai bangsa dan negara untuk hidup bersama.
“Apa yang penting adalah bukannya kita untuk bersetuju tentang semua perkara, sebaliknya kita memahami antara satu sama lain,” katanya.
Sekiranya pengarang memahami semangat kesusasteraan itu, SM Zakir berkata, mereka berupaya untuk melahirkan karya yang lebih jujur dan mempunyai makna yang lebih besar kepada manusia sejagat.
Namun, ia tidaklah bermakna prinsip dan unsur agama perlu didiamkan dalam karya, sebaliknya seperti tekad Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Brunei Darussalam, Mohd Zefri Ariff Mohd Zain Ariff, karya sastera dan seni perlu menjadi alat dakwah Islamiah.
“Sastera dan seni berupaya untuk memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat, sekali gus digunakan sebagai cara dalam dakwah Islamiah.
“Saya percaya pengarang bertanggungjawab untuk menyampaikan karya yang baik dan memiliki nilai yang dapat mendorong pembaca untuk menjadi manusia dan rakyat yang baik,” katanya.
Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Thailand, Jadej Kamjorndet, berkata karya sastera perlu digunakan untuk menegur sikap sendeng dalam masyarakat yang lebih mengutamakan moraliti sekiranya berkait dengan kepentingan sendiri tetapi mengambil sikap tidak kisah sekiranya ia tidak kena-mengena dengannya.
“Hal ini boleh diibaratkan seorang isteri yang mengupah penyiasat persendirian untuk mengekori suaminya, sekali gus menyiasat sama ada lelaki itu bermain kayu tiga dengan wanita lain.
“Selepas penyiasat membuat siasatan, dia memberitahu si isteri bahawa suaminya tidak curang, sebaliknya melakukan kejahatan lain tetapi wanita itu tidak ambil kisah kerana ia tidak kena-mengena dengan perkahwinan mereka,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan