Jumaat, 16 Mac 2012
ISU BAHASA : Manfaatkan lidah melalui komunikasi berkesan
Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my
KOMUNIKASI berkesan mampu menjana kebijaksanaan diri dan masyarakat serta kelangsungan ajaran Islam secara berterusan selagi yang disampaikan itu baik dan menepati ajaran Islam. Rasulullah bersabda, “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Riwayat Imam Bukhari) .
Dalam pelbagai situasi sosial sama ada dalam hubungan kekeluargaan, kejiranan dan pekerjaan, komunikasi juga boleh menjadi punca perselisihan faham, perbalahan, persengketaan dan perceraian.
Dalam situasi organisasi, ada pengurus atasan yang memberikan arahan dan permintaan kepada subordinat dengan baik dan jelas, ada pula yang menyampaikannya dengan tegas, ada pula yang menyampaikannya secara perli dan sindiran, ada juga yang menyampaikannya dengan gurauan.
Pelbagai bentuk penyampaian komunikasi boleh memberikan kesan yang berbeza kepada subordinat sehingga ada yang menerima dan mendengarnya dengan senang hati atau secara serius untuk tindakan, ada yang tidak faham dan bersungut, ada yang buat tidak tahu kerana menyangka ia bukan arahan tetapi hanya suatu pernyataan serta macam-macam reaksi lain berbeza kerana cara dan gaya seseorang berkomunikasi.
Dalam situasi lain pula walaupun seseorang itu terpelajar, berjawatan tinggi, memiliki kekayaan tetapi tidak semestinya mampu menyesuaikan diri atau disenangi orang sekeliling sama ada dalam keluarga suami atau isteri, mentua, jiran, ahli kariah atau jika di pejabat, sesama rakan atau majikan.
Mengapa hal ini terjadi? Salah satu aspek yang boleh diperhatikan dan diperbaiki ialah komunikasi kita dengan orang lain. Untuk berkomunikasi dengan baik memerlukan kecerdikan emosi selain akal. Emosi yang boleh menimbangkan antaranya kesesuaian bahasa, masa, aspek perbualan, tempat, kekerapannya dan nada pertuturan. Justeru, Nabi Musa pernah berdoa kepada Allah, “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku; dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku.” (Surah Taha, ayat 27-30).
Pepatah Melayu ada menyebut, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’. Justeru, melalui komunikasi berkesan, kita dapat menjalinkan hubungan, mengeratkan persaudaraan, menyampaikan ilmu pengetahuan dan buah fikiran, menyalurkan arahan, maklumat, memberi peringatan, pengajaran, malah membina tamadun bangsa.
Akan tetapi kerana mulut juga manusia boleh bercakaran, bermusuhan, bercerai-berai dan saling berbunuhan. Justeru, bagi umat Islam yang beriman, perlulah menjaga adab ketika berkomunikasi dengan menuturkan perkataan baik dan dengan cara betul, sesuai dengan keadaan serta golongan sasaran.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jagalah lidah kamu”. Namun, ia bukan sesuatu yang mudah walaupun berlaku secara tabii. Ia mempunyai seni dan kemahirannya yang boleh dipelajari sama ada melalui komunikasi atau proses pembelajaran secara formal.
Garis panduan asas disebut banyak dalam dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 83 bermaksud: “Dan katakanlah kepada sesama manusia yang baik.” Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW supaya tidak berkasar ketika menyampaikan seruan Islam dalam firman-Nya: “Maka disebabkan rahmat dari Allahlah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu.” (Surah Aali-Imran, ayat 159).
Allah SWT turut berfirman: “Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)”. (Surah an-Nisa, ayat 48).
Rasulullah SAW dalam sabdanya berkata: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah mengucapkan perkataan yang baik atau pun dia hanya diam”. (Riwayat Muslim)
Dalam al-Quran, beberapa gambaran komunikasi dinyatakan dalam pelbagai istilah disampaikan secara berbeza mengikut keperluan dan golongan. Contohnya, qaulan kariman (perkataan yang mulia) dalam Surah al-Isra ayat 23.
Ia mengandungi laras bahasa menggambarkan sifat menghormati dan tidak menyebabkan orang lain rasa hina atau menyinggung perasaan kepada yang lebih tua khasnya kepada kedua ibu bapa. Perkataan ‘qaulan balighan’ dalam surah An-Nisa ayat 62 dan 63 (perkataan berbekas pada jiwa).
Ia mengandungi bahasa yang baik, isi yang jelas dan benar. ‘Qaulan maisuran’ (perkataan yang lembut dan menyenangkan), ‘qaulan ma’rufan’ (perkataan yang baik sesuai dengan keadaan dan golongan), ‘qaulan layyinan’ (perkataan yang lembut), ‘qaulan sadidan’ (perkataan yang tegas, jelas, terus terang).
Dalam organisasi, komunikasi yang baik boleh disampaikan melalui sembilan bentuk ucapan iaitu ucapan salam, selamat, tahniah, takziah, perangsang, cadangan, maklum balas, doa dan terima kasih antara staf dan majikan.
Oleh itu, komunikasi di tempat kerja tidaklah tertumpu kepada komunikasi pengarahan, pengaduan, permintaan, perbincangan dan pertanyaan saja tetapi perlu dipelbagaikan mengikut keadaan dan pencapaian dengan sembilan bentuk komunikasi pengucapan tadi supaya masing-masing merasakan diri dihargai dan merasa selesa serta seronok di tempat kerja. Semuanya sangat bererti dan besar kesannya dalam komunikasi dan interaksi kerja.
Kajian juga menunjukkan komunikasi yang berkesan mempunyai hubungan rapat dengan komitmen, prestasi dan kepuasan kerja. Justeru, keberkesanan organisasi mempunyai hubungan yang rapat dengan keberkesanan komunikasi.
Ia mampu membentuk karakter, baik dalam diri dan orang lain serta menjadi perangsang kepada daya kreativiti serta inovasi. Justeru, marilah kita berusaha menambah baik kemahiran komunikasi walau di mana berada dan dengan sesiapa juga agar ia memberi manfaat dalam segenap aspek kehidupan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan