Selasa, 20 Mac 2012
ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Asuh anak-anak berdikari
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PERMASALAHAN mendapat pembantu rumah untuk mengasuh anak-anak dan membantu kerja rumahtangga mungkin dapat diatasi sekiranya struktur kehidupan masyarakat Malaysia berubah mengikut perubahan masa dan persekitaran.
Lazimnya, masyarakat Malaysia membebankan urusan rumah tangga kepada wanita atau isteri. Konsep kerjasama suami isteri dalam menguruskan rumahtangga dan anak-anak sepatutnya dijadikan sebagai tradisi masyarakat dalam negara ini.
Kerjasama begini bukan sahaja boleh menjalinkan perasaan kasih sayang di antara suami isteri malah ia juga boleh mengelakkan diri daripada mengambil pembantu rumah untuk mengendalikan urusan rumah tangga.
Corak hidup masyarakat Barat di mana suami membantu isteri melakukan kerja rumahtangga sepatutnya dijadikan panduan kepada masyarakat yang hidup dalam negara yang meningkat maju di mana kos kehidupan semakin mahal. Urusan rumah tangga jika disusuli dengan disiplin ahli-ahli keluarga bukan sahaja boleh mengelakkan pasangan suami isteri menghadapi permasalahan pembantu rumah malah ia juga boleh menjadikan urusan rumahtangga lebih ringan dan kehidupan kekeluargaan menjadi lebih tersusun.
Cara didikan anak-anak dalam mengendalikan urusan kehidupan seharian mereka adalah amat penting. Ibu bapa sepatutnya mengasuh dan melatih anak-anak berdikari di mana setiap urusan membersih pakaian dan hal ehwal diri mereka dikendalikan sendiri apabila mereka sudah besar. Cara ibu bapa zaman dahulu melatih anak-anak berdikari dan bertanggungjawab terhadap keluarga sepatutnya dijadikan tauladan oleh ibu bapa masa kini. Anak-anak yang sudah besar dilatih membantu ibu bapa mengendalikan urusan rumahtangga dan keluarga. Kanak-kanak perempuan dilatih supaya menjaga adik-adik apabila sudah besar , anak-anak gadis membantu ibu di dapur. Begitu juga dengan anak-anak lelaki memenuhi masa lapang membantu bapa mencari nafkah untuk ahli-ahli keluarga.
Didikan asas begini bukan sahaja menjadikan urusan rumahtangga lebih ringan malah ia juga boleh menjadikan anak-anak berdikari dan mempunyai perasaan bertanggungjawab. Corak orientasi anak-anak masa kini lebih menjurus kepada sikap pergantungan kepada ibu bapa. Ramai ibu bapa gemar menyediakan pelbagai kemudahan kepada anak-anak sehingga tidak sedar bahawa bentuk pendidikan begini boleh menyebabkan anak-anak menjadi terlalu manja dan tidak berdikari. Anak-anak gadis selepas waktu sekolah begitu bebas berkeliaran bersama rakan-rakan atau menghabiskan masa berada di hadapan komputer untuk berinteraksi dengan rakan-rakan melalui Facebook dan sebagainya. Jika ibu bapa melatih anak-anak berdikari dan membantu mereka mengendalikan urusan rumahtangga maka permasalahan untuk mendapat pembantu rumah tidak menjadi satu isu yang besar dalam negara ini.
Dalam era teknologi moden terdapat pelbagai jenis mesin dan peralatan dapur yang boleh membantu meringankan beban menyediakan pemakanan dan minuman dan urusan rumahtangga. Peralatan moden tidak memerlukan terlalu banyak tenaga dan masa dalam penyediaan pemakanan dan minuman serta urusan pembersihan rumahtangga. Perkara yang penting yang sepatutnya dilaksanakan oleh ibu bapa adalah mendisiplinkan anak-anak memelihara kebersihan di dalam dan di luar rumah. Disiplin diri dalam kehidupan seharian amat penting bagi setiap individu jika mereka ingin berjaya dan memudahkan urusan rumahtangga.
Sikap malas bergerak dan kurang menggunakan tenaga adalah salah satu faktor yang menyebabkan individu tertentu terlalu bergantung kepada pembantu rumah bagi mengendalikan urusan rumahtangga.
Mengendalikan urusan rumahtangga dan anak-anak dalam era moden tidak sesukar wanita pada zaman dahulu apabila semua perkara berkaitan dengan pemeliharaan anak-anak dan urusan rumah tangga memerlukan tenaga dan masa yang lama. Namun mereka berjaya mendidik anak-anak menjadi orang berdikari dan bertanggungjawab walaupun mempunyai anak yang ramai tanpa memerlukan bantuan pembantu rumah.
Disiplin dan cara mereka mengendalikan kehidupan kekeluargaan dan rumahtangga sepatutnya dijadikan panduan. Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan pusat latihan bagi suri rumah melatih diri menjadi pengasuh profesional. Mereka yang mempunyai masa lapang sepatutnya diberi peluang menghadiri kursus didikan kanak-kanak supaya mendapat lesen menjaga anak-anak rakan dan jiran yang berpendapatan rendah.
Ini juga boleh mengelakkan masyarakat mengimport pembantu rumah dari luar. Oleh itu suami isteri dan ahli keluarga perlu bekerjasama mengendalikan urusan rumahtangga supaya pergantungan terhadap pembantu rumah dapat dikurangkan.
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan