Isnin, 12 Mac 2012
ISU PENDIDIKAN : Menambah baik profesion perguruan mampu tingkat sistem pendidikan
SISTEM pendidikan negara adalah tulang belakang kepada pembangunan sesebuah negara. Tanpanya negara pasti sukar untuk melahirkan generasi berwibawa dan paling penting modal insan berkualiti sebagai tuntutan memenuhi keperluan negara di samping menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik pada masa kini serta masa depan. Sejak Akta Pelajaran 1961 dikuatkuasakan, banyak usaha dilakukan kerajaan bagi menaik taraf dan meningkatkan mutu sistem pendidikan. Seiring dengan usaha itu, jutaan ringgit dilaburkan oleh kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan negara dapat mencapai tahap yang dikehendaki bersesuaian dengan keperluan semasa dan peredaran zaman. Terbaru, Kementerian Pelajaran mengajak semua pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan memberi idea terbaik bagi membantu meningkatkan sistem pendidikan negara. Bagi mencapai tujuan itu, program Sesi Dialog Pendidikan Kebangsaan (SDPK) diperkenalkan dan akan dimulakan mulai bulan depan bagi membolehkan buah fikiran untuk meningkatkan sistem pendidikan dikumpulkan. Kita amat mengalu-alukan usaha itu namun pada masa sama berharap, segala isu atau masalah melanda dunia pendidikan negara, khasnya berkaitan isu perguruan dapat diselesaikan kerana dalam sistem pendidikan, aspek yang paling penting perlu diberi keutamaan ialah pembangunan kemampuan tenaga pengajar iaitu guru.
Ketika ini profesion perguruan negara diselimuti dengan pelbagai kemelut dan permasalahan yang tidak kurang besarnya seperti isu kenaikan pangkat, jawatan dan gaji di samping guru dibebani pelbagai tugas tambahan seperti terpaksa melakukan kerja perkeranian yang membebankan mereka melaksanakan amanah utama iaitu mengajar dan mendidik. Semua kelemahan ini menjadi duri dalam daging petugas perkhidmatan perguruan walaupun tidak dinafikan usaha menambahbaik perkhidmatan perguruan sering diberi tumpuan kerajaan. Justeru, bagi memperbaiki kekurangan yang wujud dalam sistem pendidikan negara ketika ini, adalah penting bagi pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan untuk mengambil peluang mengemukakan pandangan bernas, idea yang mendahului zaman dan paling penting ia bersifat malar segar untuk tempoh jangka panjang. Ini bermakna, sebarang dasar baru yang dirangka, dirancang dan akan dilaksanakan adalah hasil daripada percambahan idea dalam SDPK demi meningkatkan mutu pendidikan negara. Oleh itu perlu dipastikan pelaksanaannya nanti bukan sekadar melepaskan batok di tangga atau hanya separuh jalan sifatnya. Kerajaan perlu menyedari bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap sistem pendidikan negara dalam melahirkan pelajar, generasi dan modal insan yang terangkum bagi memenuhi aspirasi negara menjadi negara maju menjelang 2020.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan