Sabtu, 31 Mac 2012
ISU PENDIDIKAN : Reflektif terhadap tamadun silam
Prof Dato' Dr Sidek Baba
Dalam menanggapi dan memahami kehebatan tamadun Islam silam, umat Islam lebih cenderung memiliki sifat nostalgik atau kagum mengenai yang lalu tanpa melakukan apa-apa untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.
Sewajarnya sikap reflektif menuntut daya renung dan daya fikir tinggi terhadap masa silam agar ada iktibar dipelajari yang menyebabkan mereka mampu membangunkan suatu tamadun yang dirujuk oleh Barat dan Timur lebih 600 tahun lamanya.
Ada empat faktor harus dijadikan sumber reflektif para ulama, ilmuwan dan kepimpinan hari ini supaya kehebatan orang terdahulu dalam membangun sebuah tamadun dapat diteliti, dipelajari dan diaplikasikan mengikut kesesuaian.
Pertama, sinergi ulama-umara menyebabkan sumber ilmu dan sumber pemerintahan berada dalam keadaan simbiotik yang tinggi. Ia berlaku pada zaman Al Makmun, Al Mansor, Harun Al Rashid, Omar Ab Aziz dan lain-lain.
Kedua, ilmu disuburkan secara sepadu. Ilmu mengurus diri (ulum naqliah) dan ilmu mengurus sistem (ulum aqliah) bergerak seiring. Ia melahirkan tokoh seperti Ibn Sina yang hafaz Quran awal umur dan pakar perubatan. Ia juga melahirkan Al Khawarizmi dan Abu Qasim Az Zahrawi yang hafaz Quran awal umur dan pakar matematik serta ilmu bedah.
Ketiga, berlakunya tradisi penyelidikan dan pengkaryaan hingga menyebabkan ribuan kitab-kitab besar dihasilkan dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Kesuburan ilmu dan kajian ini menyebabkan tradisi ilmu berkembang dan sistem pendidikan menjadi perkasa.
Keempat, sikap terbuka kepada faedah berbanding dari budaya dan tamadun lain menjadi asas pemanfaatan ilmu dan diolah kembali supaya faedah berbanding itu dapat diberikan tasawwur Islaminya dan tidak bercanggah dengan maqasid atau maksud syariyyah.
Keempat-empat faktor ini harus menjadi sumber reflektif yang terbaik supaya ia mampu meletakkan umat Islam pada kedudukan unggulnya untuk menawarkan sesuatu kepada umat manusia. Dunia kini sedang menghadapi krisis ilmu, krisis sistem dan krisis kemanusiaan yang parah. Perlu ada jalan keluar bagaimana kemelut ini dapat diatasi.
Apa yang terjadi dalam kalangan umat Islam ialah ulama-umara sifatnya tidak saling menyumbang. Dalam banyak keadaan, wujud konfrontasi yang tinggi dan menyebabkan krisis umat terus berlanjutan. Ilmu yang dikembangkan dalam sistem masih bersifat dualistik dan melahirkan modal insan yang saling berkonflik.
Tradisi penyelidikan dan pengkaryaan tidak berlaku dengan pesat dan menyebabkan kebergantungan kepada sumber ilmu orang lain yang orientasinya masih liberal dan sekular menyebabkan pembentukan tasawwur atau cara berfikir umat Islam banyak datangnya daripada orientasi orang lain yang tidak secocok dengan orientasi Islam itu sendiri.
Tradisi memanfaatkan sumber tidak berlaku secara penyaringan yang baik. Sumber-sumber dari Barat dan Timur diambil semahu-mahunya tanpa memikirkan kesan nilai dan pemikiran. Ia telah menyebabkan berlakunya krisis keilmuan dan pendidikan, krisis etika dan nilai, krisis cara hidup dan sistem nilai hingga menyebabkan kekaguman yang berlebihan terhadap budaya dan pemikiran popular orang lain dan memandang remeh sumber dari tradisi sendiri.
Malah ada yang mengatakan sumber tradisi adalah kolot dan ketinggalan zaman. Kita berdepan dengan zaman yang pantas berubah. Revolusi ilmu dan kompleksnya teknologi menyebabkan umat Islam hanyut dalam arus liberalisasi yang tidak mempunyai sempadan.
Ia memerlukan umat memiliki cetusan kesedaran bahawa sekiranya kita tidak mampu membangunkan epistemologi ilmu yang Islami dan tasawwur pendidikan yang manusiawi, kita akan terjebak dalam perangkap zaman yang menjadikan kita penganut neo-liberalisme.
Neo-liberalisme atas nama hak asasi melampau, kebebasan tanpa batas, konsep civil liberty yang bersifat anarki (disorderly) merupakan falsafah pasca-modernisme yang sangat berbahaya bagi Islam. Sebab itu sebarang agenda kemajuan dan pembangunan seharusnya merujuk kepada pembangunan manusia (rijal) seutuhnya.
Sains hanya suatu cara dan teknologi selamanya alat. Sekiranya sains digunakan untuk memberi manfaat kepada manusia dan teknologi tidak saja bersifat high-tech tetapi bersama dengan high-touch atau sentuhan keinsanan, sains dan teknologi bakal bersifat menyumbang dan memiliki kualiti manusiawi bukannya mendorong manusia kepada gelagat haiwani.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan