Jumaat, 9 Mac 2012
ISU SERANTAU : Demi hubungan erat, mesra rakyat
Di belakang ada batu
Luar pagar ada talam
Membilang dari Satu
Tanya khabar dengan salam
KITA bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana pada pagi ini hasrat kolektif kita mewujudkan Sudut Malaysia atau Malaysia Corner di Universiti Indonesia berhasil.
Semoga usaha ini akan terus berkembang dengan program-program susulan agar Sudut Malaysia ini dilengkapi lagi dengan bahan-bahan tambahan sehingga ia mungkin menjadi sumber kajian dan penyelidikan.
Lahirnya idea ini adalah dari kawan-kawan yang berhimpun di Bukit Tinggi tanggal 23 September 2011 lalu dengan disusuli perbincangan di Kuala Lumpur. Sudut Malaysia di Universiti Indonesia ini diharapkan akan menjadi simbol kerjasama dan hubungan erat utama antara rakyat Malaysia dengan rakyat Indonesia.
'
Sumbangan buku-buku dan penerbitan bernilai RM50,000 ini adalah usaha awalan yang kecil tetapi insya-Allah dengan simpati dan kerjasama rakan-rakan lain nanti jumlah dan nilainya akan membesar dan berupaya memanfaatkan sasaran akademia lanjutan.
Kita berkumpul di Universiti Indonesia pagi ini bukan hendak berkata-kata mengenai hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dari sudut Kerajaan dengan Kerajaan atau dalam kamus diplomasinya hubungan "G to G". Ini adalah kerana hubungan antara kedua-dua pemerintah itu memang sedia baik, intim dan terjamin. Pertemuan kemuncak tahunan antara Perdana Menteri dan Presiden serta mesyuarat Suruhanjaya Bersama Indonesia-Malaysia berfungsi secara berterusan.
Melalui sesi-sesi rasmi itu urusan pemerintah dengan pemerintah telah dan sedang melakukan apa yang terbaik sama ada menerusi isu tenaga manusia, pelajaran, kegiatan maritim, persempadanan mahupun di bidang- bidang lainnya.
Ada isu yang jaya diatasi, ada yang masih berbaki menunggu penyelesaian. Mereka yang suka melahirkan perasaan ala-Barat atas nama penentuan hak liberalisme lantas mengambil tindakan mengikut sentimen kumpulan sendiri. Berlakulah apa yang telah berlaku di Jakarta dan dilaporkan oleh media. Beberapa peristiwa cetusan politik kasar atau politik jalanan berlaku di sini dan mendapat hebahan serta liputan besar di Singapura dan Bangkok.
Di antara insiden-insiden ini ada yang telah menyulitkan Duta Besar Malaysia kerana ada orang yang buang sampah ke dalam kawasan kantornya. Ada yang jeritkan ayat-ayat kasar, ada pula yang buang bahan kotor. Macam- macam teori dan pendapat diketengahkan sehingga macam tampak wah, hubungan Indonesia - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysia sudah cukup keruh dan merunsingkan. Tanggapan begitu tentu tidak tepat. Tentu tidak mencerminkan jati diri rakyat Indonesia-Malaysia sebenar. Sementara hubungan baik kerajaan dan kerajaan kedua- dua negara berterusan, sepak terajang kumpulan-kumpulan tertentu semacam memudarkan hubungan baik Malaysia-Indonesia melalui beberapa amalan politik jalanan serta kelakuan yang tidak begitu selari dengan dunia Melayu Nusantara yang pada satu ketika dulu terkenal identiti mereka dengan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Tentunya juga perkembangan ini dilayani sesetengah pengamal media.
Entah bagaimana sifat-sifat yang berasaskan budi dan nilai-nilai murni itu agak mengecil di akhir-akhir ini sehingga ada pihak-pihak tertentu yang mengemukakan anggapan bahawa kononnya hubungan rakyat serumpun itu sudah menghilang dan tidak relevan lagi. Manakan ini boleh berlaku, sedangkan budi bahasa dan amalan nilai-nilai murni itu bukan sahaja terbilang dan dikenali dunia tetapi sesungguhnya merupakan bibit kehidupan yang mengenal keperibadian Islam dan ketimuran kita. Saya yakin pantun budi usang berikut masih diingati:
Diirik ialah padi
Diendang anak desa
Yang cantik ialah budi
Dikenang ialah jasa
ISWAMI
Saya tergolong kepada pihak yang masih meyakini budi dan jasa. Saya masih menyakini bagaimana nenek moyang kita merantau dan mengentalkan jasa melalui perjuangan asas kekitaan melalui bahasa, budaya dan keintiman melalui agama Islam. Susah payah mereka lantas memasyhurkan Indonesia. Susah payah mereka lantas menjayakan Malaysia. Sebab itulah kita tidak seharusnya biarkan golongan tertentu melahirkan lamentasi atau rungutan secara berterusan dalam hal ini kerana di akhir-akhir ini juga beberapa cabang komunikasi rakyat dengan rakyat sudah mula rancak dioperasikan semula.
Misalnya usaha-usaha dari badan bernama ISWAMI atau Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia menerusi seni budaya dan penulisan amat menggalakkan dan seharusnya diberi sepenuh sokongan.
Program-program rakyat seperti sentuhan budaya yang diadakan di Bukit Tinggi, Sumatera Barat tahun lalu masih dinilai sebagai yang paling produktif kerana buat pertama kalinya budaya rakyat serumpun tampak kembali aktif dengan jalinan mesra dan mendalam. Beberapa resolusi Bukit Tinggi itu telah kita manfaatkan dengan aktiviti-aktiviti susulan di Jakarta, Surabaya, Jokjakarta dan di lain-lain wilayah selain di Kuala Lumpur. Forum-forum rakyat, aktiviti seni budaya, penulisan rencana, buku dan penerbitan lain diteruskan demi menggiatkan dan terus menggerakkan mekanisme kasih dan prihatin antara satu sama lain.
Selain ISWAMI yang mempunyai wakil- wakil agensi berita seperti Bernama dan Antara, budayawan, seniman, penulis, jurnalis, pemimpin dan lain-lain, kita harus mewujudkan satu kumpulan yang lebih meluas penyertaannya agar rakyat dari semua lapisan dan kebolehan dapat bersama menjayakan kegiatan-kegiatan kita. Ini termasuk gerakan pelajar dan tenaga pengajar universiti, peniaga- peniaga yang telah berjaya akibat hasil hubungan baik Malaysia-Indonesia selama ini.
Hubungan rakyat dengan rakyat
Dalam persekitaran inilah hubungan rakyat dengan rakyat semakin dilihat penting dan amat relevan. Penting dan relevan kerana saluran hubungan inilah yang sebenarnya menentukan degupan jantung dan penentu kemanusiaan dengan rangkaian kehidupan yang tidak terbilang banyaknya. Yang hendak diperkatakan secara ikhlasnya kini ialah agar hubungan kemanusiaan ini beroleh berkat yang berkekalan. Walau apa pun yang disentuh antara pemerintah dan pemerintah tajuk atau topik yang melibatkan hubungan persaudaraan rakyat sesama rakyat kedua-dua negara tetap sama pentingnya di samping hubungan G to G atau K dengan K. Lantaran itulah ucapan ini diberi tajuk Demi Hubungan Erat dan Mesra Rakyat Malaysia-Indonesia.
Kalau saya ditanya: Negara manakah yang seharusnya paling ikrab dengan Malaysia? Saya akan lantas menjawab Indonesia. Bukan sebab Selat Melaka hanya 20 batu nautika dari Tanjung Tuan, Negeri Sembilan tetapi kedekatannya terbuhur erat lantaran bahasanya, adat istiadat dan adat resamnya, makanannya, budayanya dan agamanya. Barang siapa yang tidak tampak akan jurusan keintiman ini beliau dianggap boleh melihat tapi tidak nampak, boleh mencium tapi tidak terbau dan boleh berjalan tapi tidak sampai.
Tujuan utama
Tujuan utama yang terfikir oleh saya ialah bagaimana di kalangan rakyat Malaysia-Indonesia harus ada semacam hubungan istimewa yang sebenarnya terasas dan diasaskan semenjak berkurun-kurun lamanya? Di peringkat pemerintah dan pemerintah mungkin isu ini tidak timbul secara ketara lantaran wujudnya konstren atau hadangan perundangan, konvensi, triti, kenegaraan, nilai-nilai politik dan lain-lain yang harus dihormati.
Sebaliknya hubungan istimewa ini boleh dan berupaya diwujudkan oleh masyarakat kita dalam konteks menyelusuri tuntutan sejarah, budaya, kekeluargaan dan ekonomi. Malah boleh dan tepat jika dikatakan bahawa antara rakyat Indonesia dan Malaysialah yang paling tebal dan banyak kepentingan interaksi sebenar dari aspek-aspek tersebut.
Kita mesti mencari jalan baru bagaimana hubungan rakyat dan rakyat diperkukuh melalui saluran-saluran pilihan rakyat sendiri. Baik di Indonesia mahupun di Malaysia kita mempunyai cukup bilangan warga berfikir yang matang, serius dan sayang akan hubungan sesama rakyat. Saluran-saluran yang tampak oleh saya kini ialah melalui sejarah, bahasa, budaya, pelajaran, ekonomi dan beberapa topik lain yang boleh dibanjarkan sebagai gunung, dilalui sebagai jambatan.
Sejarah
Pengembara I-Ching menyebut dalam penulisannya semasa singgah berangguh di Palembang sekitar abad keenam AD bahawa alam Melayu (yang disebutnya sebagai Moloyu) itu luas - merangkumi Jawa, Palembang, Sumatera, Temasik, Pahang, Terengganu dan lain-lain. Jawa sebagai kuasa besar sebelum dan selepas Sri Vijaya, Zaman Sailendra di Sumatera, Raja Aditiavarman di Minangkabau, peranan Aceh sekitar 1243 dalam pengembangan agama Islam, urus niaga maritim melalui Melaka selepas Parameswara mengasaskan pusat pemerintahannya tahun1403; peranan Raja Kecil-Besar di Johor dengan orang Bugis; pewujudan Nagari Sambilan (Negeri Sembilan) oleh peradaban adat Perpatieh nan Sabatang amalan marantau orang Minang melalui Melaka dan Rembau dalam abad ke-13 dan 14 Masehi serta gelombang merantau pada zaman-zaman berikutnya.
Seterusnya kita boleh menyatakan peranan masyarakat Jawa di Johor, Selangor dan Perak; begitu juga transmigrasi orang Aceh, orang Mandahiling ke negeri Perak. Kuasa politik di Selangor, Johor dan Pahang begitu banyak dipelopori orang Bugis sehingga Perdana Menteri Malaysia sekarang boleh dikatakan masih tebal talian Bugisnya sebagaimana saya sendiri amat tebal tali kekeluargaan dengan Minangkabau hingga ke hari ini. Nisbah besar talian kekeluargaan Indonesia-Malaysia ini boleh dikatakan sebagai tali arus yang tidak kunjung pudar atau mengecil walau apa pun perkembangan lainnya.
Sejarah nasionalisme Melayu di Semenanjung amat rapat dengan perkembangan perjuangan pramerdeka dan pasca merdeka Republik Indonesia. Pada tahun 1950 foto Bung Karno dengan keluarganya menghiasi dinding-dinding rumah di Semenanjung sehingga beliau dan Hatta dianggap pemimpin proksi masyarakat ketika itu. Sesiapa yang masih memiliki edisi lama majalah Qalam atau Utusan Melayu 1950-an akan mengerti perihal ini. Lihat dan perhatikan Sangsakar merah putih Indonesia dan bandingkan dengan bendera UMNO yang berkibar kini di Malaysia. Tanpa keris dalam bulatan yang ada pada bendera UMNO itu sekali gus ia merupai sangsakar merah putih Indonesia.
Begitu rapatnya rakyat kedua-dua negara dalam perjuangan dan nilai hidup pada masa itu. Cuma soalnya siapa di kalangan kita yang mahu menyebarkan perihal ini? Seolah- olah kita tidak ambil pusing lagi akan asal-usul dan evolusi keakraban kita. Jika bukan kita di sini yang berperanan ke arah perspektif nyata ini, siapa lagi?
Generasi muda kini tidak ambil berat tentang sejarah kemanusiaan rakyat Malaysia-Indonesia kerana mereka sudah sebahagian besarnya dibelai oleh dunia baru mereka, oleh hak asasi universal, oleh internet, oleh media sosial dan oleh gurauan dan hiburan remaja mereka sendiri. Lagipun sekolah kita, universiti kita tidak lagi menghiraukan tentang kenusantaraan sebagaimana China amat serius mengurus pan-Sino cultural-political influence mereka.
Selepas Konfrantasi sekitar 1964, yang dicetuskan kecenderungan politik - bukan atas kemahuan rakyat di Indonesia, para pemimpin warisan kita bertungkus lumus berjuang memperbaiki hubungan. Sumbangan Tun Abdul Razak, Adam Malik, Jen. Moerdani, Jen. Suharto, Ghazali Shafie dan lain-lain tidak akan dilupai. Cuma pada hari ini apakah sistem peringatan yang sanggup kita lakukan agar generasi kini merasai terus keintiman ini? Justeru mesti ada beberapa saluran rakyat dan pemerintah yang terus menerus berusaha menghidupkan penghargaan terhadap aspek sejarah ini selain yang lain.
Budaya
Kedua-dua negara kita terjalin dengn talian dan amalan budaya yang sebenarnya amat erat dan intim. Budaya dalam konteks dan pengertian cara hidup ini telah dan masih berjalan berterusan hingga pada saat ini. Ini bukan setakat nyanyian, tarian dan lagu, bukan setakat dua tiga aspek culture itu sendiri. Budaya dalam pengertian cara hidup atau kehidupan harian amat penting dilihat sebagai intisari hubungan rakyat dengan rakyat. Persamaan kita bukan saja tepat dari segi rupa dan fizikal tetapi juga aspek-aspek hidup yang lain. Orang Minang jika bersantai ke Negeri Sembilan dia akan jadi seperti belut pulang ke lumpur - bahasa sama, makanan sama - sebenarnya bukan sekadar masakan patai jo jarieng, randang jo lamang; begitu juga jika orang Bugis dari Pahang atau Selangor yang pulang ke Sulawesi. Orang yang ziarah kembali ke Aceh dan sebagainya.
Orang Aceh kita di Perak, orang Jawa kita di Johor dan Selangor, rakan-rakan dari Banjarmasin boleh selesa di Selatan Perak. Dalam kehidupan orang Bugis, orang Jawa, orang Minang, orang Aceh, orang Banjar, orang Benkulu, Mendahiling dan puluhan etnik Melayu lain, sedia terjalin cara hidup yang sudah terasas kepada budaya usang turun-temurun mereka.
Baik budaya makan bergulai, tempeh goreng, samba lado, nasi lemak, rendang, atau kuih-muih lamang angek, pulut bersantan, kuih koci, atau fesyen pakaian bersongkok berkain sarong; baik bersenandung lagu lama dengan iringan tarian mak inang, joget, zapin, serampang laut, randai, rindin-barindin dan lain-lain - kesemuanya ada di Indonesia dan ada di Malaysia.
Samsaimun, Bing Selamat, S. Effendi digemari di Malaysia dahulu dan sekarang. P. Ramlee popular di sini dan juga di kepulauan Indonesia lainnya. Siti Nurhaliza senang di sini kerana mempunyai ramai peminat.
Penjalin utama ialah cara hidup yang sama yang kita amalkan. Daripada makanan hingga ke bahasa; daripada nama kampung hingga ke nama sungai - semuanya berumpun sama. Kuantan di Pahang ada sungainya di Sumatera, Kampar di Perak ada "Kampar"nya dekat ranah Minang; suku-suku masyarakat Negeri Sembilan semuanya berasal dari Minangkabau - dari Batu Hampar sampailah ke Payakumbuh, Adat Perpatih yang menjadi tali adat tradisional di Negeri Sembilan hampir 90% berasal dari Minangkabau. Hampir 75% suku masyarakat Melayu di Negeri Sembilan mengambil nama kampung atau wilayah asal mereka di Minangkabau.
Setiap kampung yang panggilannya "Parit" di Johor atau di Perak mengandungi populasi orang Jawa. Interaksi perkampungan dan cara hidup di Kalimantan dan Sabah serta Sarawak berjalan terus sehingga kampung-kampung sempadan bebas dikunjungi sekalipun jabatan imigrasi masing-masing mengejar formaliti masing-masing.
Aspek budaya atau jalinan cara hidup yang paling besar ialah terdapat, mengikut anggaran kajian mutakhir, tidak kurang 2.5 ke 3 juta pekerja asing di Malaysia. Dari angka itu sekitar 70 % terdiri daripada warga Indonesia. Kiriman pulang mereka pernah dianggarkan tidak kurang RM6bilion setahun. Sebahagian besar mereka menetap di Semenanjung, Sabah dan sedikit di Sarawak. Sebahagian mereka sudah menjadi penduduk tetap dan beroleh kerakyatan. Sebahagian besar juga tanpa status sah di sisi undang-undang, namun ada di kalangan mereka yang sudah menjadi kontraktor, peniaga berjaya, selain pekerja pembinaan bangunan, ladang sawit dan getah. Yang bersempadan dengan Sabah dan Sarawak menetap di sana lantaran sudah beranak pinak dan berkeluarga.
Keintiman & ekonomi
Tuntutan bidang-bidang ekonomi terbukti sebagai pemangkin banyak aspek dalam konteks talian intim kedua-dua golongan rakyat kita. Nilai import eksport AS$4.2 bilion setahun meletakkan import eksport Malaysia-Indonesia di tangga ke-10 dalam perbandingan dengan negara-negara lain. Perniagaan runcit serta pasar rakyat Chow Kit Road yang dulunya dikendalikan peruncit tempatan kini sudah diambil alih oleh warga dari sini. Kawasan bernama Balak Kong di Kajang, Jalan Jelatik di KL boleh dikatakan sudah rata-rata jadi kampung warga Indonesia.
(Sedutan ucap utama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sempena majlis pelancaran Sudut Malaysia di Universiti Indonesia, Jakarta)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan