Sabtu, 17 Mac 2012
ISU SOSIAL : Gapai kekayaan dengan hati tenang
ABU NUMAIR NAWAWI SUBANDI
Tentu masing-masing punya keinginan untuk menjadi kaya dan hidup serba mencukupi. Siapa tidak mahu kaya bukan? Ramai beranggapan sekiranya hidup mewah harta melimpah-ruah, sudah tentu hati akan senang kerana apa diingini akan tercapai. Itulah kebanyakan andaian yang digembar-gemburkan.
Hakikatnya, tidak sedikit orang yang hartanya banyak, gajinya lumayan, rumahnya besar, kerjayanya gah, keretanya tak cukup satu, tapi waktunya tiada yang lapang. Dia tak punya masa untuk berehat dan menjalankan tanggungjawab agamanya.
Dia terpaksa bekerja dan terus bekerja agar hartanya terjaga dan terus bertambah. Sampai satu waktu apabila hartanya sudah bertambah dan menimbun, dia lelah memikirkan bagaimana harus menjaganya agar tidak diusik orang. Namun hatinya masih tidak juga puas dan angan-angannya tidak pernah habis.
Orang seperti ini hatinya akan sengsara. Dia bekerja siang dan malam mengumpul harta yang tidak tahu entah berapa banyak lagi akan mampu memuaskannya.
Sudah ada rumah besar, dia mahu tambah besar lagi. Sudah ada kereta mewah, dia mahu kereta lain yang lebih mewah lagi. Hatinya sering berasa kekurangan dan jiwanya selalu membentak.
Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah mengatakan, “Kalau seandainya anak Adam diberi sebukit emas, nescaya dia akan mengharapkan lebih banyak bukit emas lainnya, sehingga tidaklah yang memenuhi mulutnya melainkan tanah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dengan keadaan seperti ini, tidak tepat jika kita katakan kekayaan itu adalah dengan melimpahnya harta bersama segala macam kemewahan.
Sebaliknya amat tepatlah apa yang diungkap oleh junjungan mulia kita Muhammad SAW dalam sabdanya, “Bukanlah kekayaan itu diukur dengan limpahan kemewahan dunia. Tetapi kekayaan itu adalah kayanya hati.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya apa yang dinamakan kaya adalah kayanya hati, dan faqir adalah faqirnya hati (yang tidak pernah berasa cukup).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda, “Redhalah dengan apa yang ALLAH berikan kepadamu nescaya engkau menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Sebenarnya kekayaan tidak akan dirasai dengan limpahan harta. Sebaliknya kekayaan akan terkecap apabila hati sentiasa berasa cukup, puas, syukur, lapang, tenang, dan senang terhadap segala kurniaan ALLAH.
Lalu dengan harta itu menjadikan dirinya mampu melaksanakan agamanya. Seorang mukmin yang kaya adalah yang sentiasa berasa cukup dengan harta yang dimilikinya lalu dia menggunakan harta tersebut untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhannya.
Apabila memiliki kenderaan, dengan kenderaan tersebut dia menuju masjid di setiap waktunya. Apabila dikurniakan harta, dia menjaganya, menghargainya, memanfaatkannya, melaksanakan kewajipannya, dan membelanjakannya dengan jalan yang halal. Apabila dia memiliki makanan dia memakannya sebagai bekal tenaga untuk beramal dan menjalankan kewajipannya.
Apabila memiliki wang dia belanjakan wang tersebut untuk keperluan diri, keluarga dan agamanya. Dia tidak keterlaluan dengannya dan tidak pula membazir dengan apa yang tidak diperlukannya. Dia bijak membahagikan harta antara keperluan, amalnya, menuntut ilmu, dan melaksanakan agamanya. Jika diberi kelebihan dia mampu bersedekah, berzakat, dan membantu golongan memerlukan.
Sebagaimana kata Rasulullah SAW, “Sesungguhnya harta itu ibarat tanaman hijau yang manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar lalu meletakkannya dengan cara yang benar, maka harta tersebut adalah sebaik-baik penolong baginya. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara tidak benar, maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah berasa kenyang.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kalau dikenangkan baik-baik, betapa ramai manusia di luar sana yang kaya-raya, hartanya melimpah ruah, tetapi tidak mampu membeli masa untuk agama dan keluarganya. Ada pula yang semakin banyak harta dimiliki semakin banyak pula dia berseronok dan membeli yang haram. Akhirnya kerana harta yang melimpah dia pun meremehkannya lalu berbuat perkara sia-sia.
Para ulama mengungkap keadaan manusia seperti ini sebagai orang yang faqir lagi miskin hatinya. Imam Abu al-‘Abbas al-Qurthubi mengatakan, “Orang yang disifatkan dengan kaya hati adalah orang yang selalu qona’ah (berasa serba cukup dan redha) dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH.
Dia tidak tamak untuk menambahnya tanpa ada keperluan. Dia tidak memaksa-maksa dalam mencarinya dan tidak pula meminta-minta untuk mendapatkannya. Sebaliknya dia selalu bersikap redha dengan kurniaan ALLAH yang Maha Adil padanya. Oleh sebab itu dia pun seakan-akan orang yang berada.
Sedangkan orang yang miskin hatinya adalah apa yang berlawanan dengan sifat orang pertama tadi. Orang seperti ini tidak pernah berasa qona’ah terhadap apa yang diberi. Sebaliknya dia terus bekerja keras demi menambah hartanya dengan apa cara sekalipun (walaupun dengan cara yang haram). Jika dia tidak mendapat apa yang dikejar, dia berasa cukup sedih dan sesal
Seakan-akan dialah orang yang sangat faqir kerana dia tidak pernah berasa puas dengan apa dimilikinya. Inilah sebenarnya orang yang tidak pernah kaya.
Asasnya, kekayaan hati lahir daripada sikap yang sentiasa redha dan menerima setiap ketentuan ALLAH TAALA. Dia tahu bahawa setiap apa yang ALLAH kurniakan itulah yang terbaik dan lebih kekal. Sikap inilah yang mendidiknya agar tidak tamak.” (Fathul Bari, 11/272)
Jadi, hakikat kaya yang sejati bukanlah diukur dengan banyaknya harta, kerana ramai orang yang memiliki harta yang melimpah tetapi dia tidak berasa puas dan tenang dengan apa yang dikurniakan padanya. Sebaliknya dia berterusan bekerja keras menambah-banyakkan harta siang dan malam.
Hatinya sentiasa gusar dan fikirannya penuh angan-angan. Akibat sikap yang rakus, dia menjadi seakan-akan orang yang faqir. Walhal dia bukanlah orang yang tidak berharta.
Oleh itu, hakikat kekayaan yang sebenarnya adalah yang kaya hatinya, iaitu orang yang sentiasa berasa cukup dengan menerima setiap apa yang dikurniakan padanya dengan hasil usaha yang berpada.
Dia tidak rakus dan memaksa-maksa dirinya. Sehingga segala kudrat dan waktu dihabiskan mencari harta.
Tidak tercela menjadi kaya
Dari apa yang penulis ungkapkan di sini bukanlah bermaksud tidak boleh menjadi kaya dengan harta. Tetapi sebagai peringatan agar harta dicari dengan kadar yang bersesuaian di antara keperluan dan kewajiban. Nabi SAW bersabda:
“Tidak mengapa dengan kekayaan bagi orang yang bertaqwa, dan kesihatan bagi orang-orang yang bertaqwa itu lebih baik daripada kekayaan. Manakala kebahagiaan hati itu sebahagian daripada nikmat.” (Hadis Riwayat Ahmad. Dinilai sahih oleh al-Albani). Juga dalam hadisnya yang lain, “Sebaik-baik harta yang baik adalah milik orang yang soleh.” (Hadis Riwayat Ahmad. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)
Oleh itu, menjadi kaya bukanlah sikap yang tercela. Tetapi yang tercela adalah bila mana kita tidak pernah berasa cukup, syukur dan puas dengan apa yang dikurniakan oleh ALAH SWT, iaitu orang yang tidak ada kekayaan di hatinya. Sedangkan Rasulullah SAW mengatakan orang yang memiliki sifat qona’ah iaitu orang-orang yang sentiasa berasa kecukupan, syukur dan redha, mereka termasuk golongan yang sangat beruntung.
Kata Rasulullah SAW, “Sungguh beruntunglah sesiapa yang masuk Islam lalu dia diberikan rezeki mencukupi dan ALLAH menjadikannya bersifat qona’ah dengan pemberian tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim).
‘Abdullah bin Mas’oud mengatakan, Nabi SAW biasa berdoa dengan doa, “Ya ALLAH, aku meminta kepada-Mu petunjuk, sifat taqwa, menjauhi hal-hal terlarang, dan hati yang berasa cukup lagi tidak meminta-minta.” (Hadis Riwayat Muslim)
Akhir kata, sesiapa mampu meraih harta yang dengannya dia berasa qona’ah dan syukur, nescaya dia akan menggapai kekayaan dengan hati yang tenang. Walaupun tidaklah melimpah-ruah dengan segala bagai kemewahan, tetapi hasil sifat syukur dan qona’ah, pasti hidup menjadi serba cukup dan menenangkan. Wallahualam.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan