Jumaat, 30 Mac 2012
ISU SOSIAL : Kawal tingkah laku anak elak bertindak liar
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
bhnews@bharian.com.my
KITA dikejutkan dengan berita kehilangan ramai remaja perempuan sejak mutakhir ini sama ada disebabkan kes culik, sengaja lari dari rumah atas faktor marahkan keluarga atau mengikut teman lelaki.
Kejadian ini seperti menggambarkan kepada kita permasalahan akhlak dalam generasi muda hari ini agak membimbangkan. Ramai remaja hari ini terbabit dalam masalah moral dan akhlak yang rendah. Mereka begitu mudah melanggar peraturan dan undang-undang negara dengan terbabit dalam kegiatan jenayah seperti merogol, membunuh, menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.
Di peringkat sekolah, menurut satu kajian yang pernah dibuat oleh Kementerian Pelajaran pada 2004, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku adalah berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri seperti sentiasa bersifat menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal, malas dan sebagainya.
Banyak pihak menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini. Namun begitu terdapat beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan.
Kini, masyarakat semakin gusar dengan meningkatnya kes culik, bunuh dan rogol dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.
Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pastinya akan membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.
Justeru, kita perlu menyuburkan budaya nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia yang tertentu dan mengikut tahap keilmuan yang dimiliki individu.
Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Dalam hadis Rasulullah SAW ada dinyatakan tanggungjawab setiap mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku di depan mata sama ada dengan lidahnya, tangannya dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya menyatakan kebencian terhadap maksiat yang berlaku itu.
Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju serta arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan yang fleksibel perlulah dirangka dan dilaksanakan bagi mengelakkan mereka daripada mudah terjerumus ke dalam gejala sosial.
Ibu bapa juga perlulah mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan sambil diiringi nilai kasih sayang berpanjangan. Anak memerlukan perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa.
Justeru, jika ibu bapa mengabaikan tugasan ini lantaran terlalu sibuk bekerja tanpa mempedulikan anak, siapakah yang harus dipersalahkan?
Semua anggota masyarakat perlu bersama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung serta membanterasnya. Allah SWT berpesan dalam kitab suci Al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.
Masyarakat setempat juga hendaklah sensitif dengan keadaan sekeliling seperti saling bantu-membantu di antara satu sama lain menjaga kebajikan serta keselamatan jiran. Amalan ini mungkin dianggap lapuk tetapi ia sepatutnya dihidupkan semula.
Sikap sombong dan tidak mahu saling kenal-mengenali dan berbaik-baik dengan jiran harus dihapuskan. Kita perlu menyemai dan menanam semangat kejiranan seperti yang dianjurkan sunnah.
Sementara itu, anak perlu ditanam dalam hati mereka membenci segala bentuk kemungkaran dan mencintai yang makruf.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia menuntut ilmu, siapa yang inginkan akhirat, maka dia perlu menuntut ilmu, dan sesiapa yang ingin kedua-duanya maka hendaklah ia menuntut ilmu”.
Peranan mendidik anak tidak harus dilepaskan oleh ibu bapa kepada para guru dan pihak sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak umpamanya, ibu bapa berperanan besar dalam menentukan sahsiah diri anak-anak mereka.
Dalam hal ini, pendidikan rohani menerusi solat perlu diutamakan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Suruhlah anakmu mengerjakan solat apabila berumur tujuh tahun, dan pukul mereka jika tidak bersolat apabila berusia 10 tahun.”
Apabila meningkat usia remaja, ibu bapa seharusnya menjadi sahabat yang paling rapat dengan anak. Tetapi agak malang juga kerana ada segelintir ibu bapa yang mengabaikan tugas dan peranan mereka pada waktu ini dengan membiarkan anak membawa diri masing-masing, tidak mengendahkan arah hidup mereka, apatah lagi mengambil tahu sebarang permasalahan yang dihadapi oleh anak.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan