Rabu, 28 Mac 2012
ISU SOSIAL : Tekanan Keluarga & Pernah Dihalau Faktor Remaja Lari Dari Rumah
KUALA LUMPUR: Tekanan keluarga serta pernah dihalau menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja bertindak untuk melarikan diri dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan pada Rabu oleh sebuah badan sosial.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Mohd Fadzil Che Din berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2010 itu, didapati sebanyak 37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan diri dari rumah menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar rumah selepas melakukan kesalahan.
"Kajian ini yang dijalankan ke atas remaja berusia 12 hingga 18 tahun masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3 peratus perempuan turut mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin bebas daripada kongkongan, pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan selain daripada pengaruh ajakan rakan-rakan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Katanya daripada jumlah tersebut, remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi kes lari dari rumah iaitu 67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9 peratus) dan 12-13 tahun (4.3 peratus).
"Kes lari rumah untuk kali pertama yang dilakukan oleh mereka ini adalah ketika mereka berusia 13 hingga 15 tahun dengan mencatatkan sebanyak 65.2 peratus diikuti dengan 10 hingga 12 tahun (20.1 peratus), 16 hingga 18 tahun (12.1 peratus) dan 10 tahun merekodkan sebanyak 2.6 peratus.
Katanya, bagi golongan remaja seperti ini mereka berpotensi bertindak secara berani untuk melarikan diri dari rumah secara berulangan apabila sekali mereka pernah berbuat demikian.
Prof Mohd Fadzil berkata, remaja seharusnya sedar bahawa tindakan lari dari rumah itu sebenarnya secara tidak langsung boleh merisikokan mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.
"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan jumlah pembabitan kanak-kanak serta remaja perempuan dalam kegiatan jenayah sehingga 30 peratus pada tahun 2009 berbanding 10 peratus pada tahun 2005 iaitu daripada 300 kes kepada 1,000 kes yang dicatatkan," katanya yang juga tidak menafikan pembabitan wanita dalam kegiatan jenayah hari ini semakin serius dan sekiranya tidak diatasi akan mendatangkan kemudaratan.
Prof Mohd Fadzil berkata, biasanya tempoh golongan remaja ini melarikan diri dari rumah adalah selama satu hingga tiga hari iaitu dengan mencatatkan sebanyak 41.9 peratus, empat hingga tujuh hari (26.3 peratus), lebih daripada 30 hari (17.2 peratus) manakala lapan hingga 28 hari (14.6 peratus).
"Kebanyakan mereka ini sebenarnya lari dari rumah dan menuju ke rumah rakan mereka, merayau di bandar, pergi ke rumah teman lelaki dan ada juga yang merayau-rayau di pusat beli-belah.
"Remaja yang lari dari rumah ini kebanyakannya menjadikan rumah rakan-rakan mereka sebagai tempat perlindungan, ada juga yang tinggal di rumah keluarga rakan mereka termasuk rumah teman lelaki dan keluarga teman lelaki selain menjadikan rumah ibu bapa saudara mereka sebagai tempat perlindungan".
Beliau berkata, dalam kajiannya turut mendapati remaja yang datang dari bandar menunjukkan peratusan tertinggi bagi kes lari dari rumah iaitu sebanyak 61.5 peratus manakala dari luar bandar sebanyak 38.5 peratus dan majoriti daripada mereka masih bersekolah.
Katanya, ironinya kebanyakan mereka yang lari dari rumah bukan datang dari keluarga yang bercerai sebaliknya 64.4 peratus daripada mereka tinggal bersama ibu bapa kandung dengan status masih berkahwin.
"Hanya 35.6 peratus sahaja remaja yang lari dari rumah datang dari keluarga yang bercerai-berai manakala 22.2 peratus remaja mempunyai bapa yang berpoligami".
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy berkata tidak dinafikan bahawa remaja yang bertindak untuk melarikan diri dari rumah boleh mendorong mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.
"Apabila dia lari dari rumah, dia kena fikir bagaimana dia hendak hidup, makanan dan pakaian serta di mana dan bagaimana dia hendak mendapatkan rumah untuk berlindung dan sebagainya, jadi dalam keadaan terdesak apatah lagi selepas tiada sebarang pengawasan daripada ibu bapa, tanpa berfikir panjang mereka akan pergi ke pasar raya untuk mencuri pakaian dan begitulah seterusnya.
"Manakala bagi mereka yang lari mengikut kekasih pula, akan terjebak dengan jenayah sekiranya kekasihnya itu tadi merupakan seorang peragut dan perlu bersekongkol dengan kekasihnya untuk menjalankan kegiatan itu tetapi sekiranya dia enggan untuk membantu kekasihnya, dia bimbang mungkin dia akan hilang tempat bergantung dan ditinggalkan kekasih," katanya. - BERNAMA
Prof. Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din merupakan seorang pensyarah dan kaunselor berdaftar dalam bidang Bimbingan & Kaunseling di Jab. Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pengetua Kolej Canselor UPM. Beliau berasal dari P.Pinang telah memulakan kerjaya di UPM sejak 1991 setelah berjaya memperolehi ijazah Bacelor Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling) dengan Kelas Pertama dari universiti yang sama. Atas kejayaan memenangi Anugerah Pingat Emas Canselor; Anugerah Graduan Terbaik Fakulti; dan Jabatan Pendidikan, beliau dilantik sebagai tutor dan memperolehi biasiswa UPM/JPA untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D dalam bidang Kaunseling Pekerja di University of Hull, United Kingdom. Kini beliau juga merupakan Profesor Adjung (Bimbingan dan Kaunseling) di Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia. Setelah berjaya menamatkan pengajian Ph.D dengan tesis bertajuk “Profil Masalah Pekerja dan Kajian Keberkesanan Perkhidmatan Kaunseling Pekerja Dalam Organisasi di Malaysia”, beliau kini banyak terlibat sebagai kaunselor pekerja, kerjaya dan pensyarah tetap di UPM, pensyarah sambilan di pelbagai institusi pengajian tinggi, konsultan, jurulatih, penceramah, penulis modul, panel pakar dan pakar rujuk dalam bidang bimbingan & kaunseling terutama kaunseling pekerja dan industri, kaunseling kerjaya, pembangunan sumber manusia dan keluarga, dan bidang kependidikan seperti tabiat/psikologi pembelajaran, teknik belajar berkesan, kecemerlangan akademik, serta tingkahlaku keorganisasian dan aspek berkaitan dengannya. Penglibatan meluas beliau meliputi pelbagai agensi kerajaan dan swasta berjumlah lebih 700 institusi dan organisasi awam dan swasta dalan negara dan luar negara
BalasPadam