Sabtu, 10 Mac 2012
ISU SUKAN : Impian hatrik
Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
Lee Chong Wei tunjuk belang buru mahkota ketiga Seluruh England
"SAYA gembira dengan corak permainan dan pergerakan saya, cuma tangan saya sakit sikit. Tapi saya yakin ia akan sembuh menjelang final esok (hari ini),” demikian reaksi juara bertahan, Lee Chong Wei sejurus menumbangkan Lee Hyun Il pada separuh akhir, Seluruh England di Arena Tertutup Nasional Birmingham, malam tadi.
Kemenangan 21-19, 21-18 ke atas pemain pilihan kelapan dari Korea Selatan dalam tempoh 44 minit menyaksikan jaguh perseorangan negara itu hanya tinggal selangkah lagi memburu kejuaraan hatrik pada kejohanan tertua dan paling prestij yang diperkenalkan pada 1899.
Kemenangan ini juga membolehkan Chong Wei, 30, mara ke pentas final keempat berturut-turut sejak 2009 selain mengekalkan rekod kemenangan bersih tanpa tercicir sebarang set sejak pusingan pertama Rabu lalu dan merekodkan kemenangan kelapan daripada 13 pertemuan ke atas pemain kidal Korea Selatan itu.
“Tangannya yang sakit menyebabkan pukulannya kurang tajam, tambahan dia keletihan kerana bermain lewat pagi di suku akhir malam semalam (kelmarin). Namun, ia tidak begitu membimbangkan saya kerana Chong Wei bijak mengatasinya,” kata jurulatih Tey Seu Bock.
Dalam final, hari ini dia akan menentang Lin Dan dari China yang menang ke atas pemain muda Jepun, Kenichi Tago, 21-18, 21-17.
Apapun, andai Chong Wei mampu melepasi halangan terakhir di final hari ini, dia akan menjadi pemain ketujuh sepanjang sejarah kejohanan yang berjaya memenangi hatrik sekali gus menyamai pencapaian lagenda negara, Wong Peng Soon pada 1950, 1951 dan 1952.
Lebih manis, kejuaraan itu membolehkannya mengumpul koleksi gelaran ketiga musim ini selepas menjuarai Terbuka Korea dan Malaysia.
Lin Dan menghampakan Chong Wei 21-19, 21-12 dalam kemaraan final pertamanya pada 2009, tetapi jaguh negara bangkit menebus kecewa menewaskan Tago 21-19, 21-19 di final 2010 sebelum menumbangkan musuh ketatnya itu 21-17, 21-17 pada final tahun lalu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan