Khamis, 5 April 2012
ISU AGAMA : Bencana balasan golongan tak tahu bersyukur
Oleh Amran Zakaria
bhagama@bharian.com.my
Nikmat kesenangan patut dibalas dengan tingkatkan keimanan
ADA empat kategori manusia di akhirat iaitu orang yang berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, orang yang tidak berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, orang yang tidak berjaya di dunia dan berjaya di akhirat dan orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Mungkin ramai yang terpedaya dan hanyut ketika hidup di dunia.
Hanyut dalam kelalaian dan kemewahan. Itu yang ditakuti Rasulullah SAW iaitu Baginda Rasul takut umatnya diuji dengan kemewahan. Sebab itu dalam apa juga keadaan, sama ada mewah atau susah kita hendaklah bersyukur kepada Allah.
Negara kita diizinkan Allah untuk menikmati keamanan, keharmonian, hasil ekonomi dan kestabilan politik yang begitu lama. Tidak ada lafaz yang mengesankan melainkan rasa syukur dan terus bersyukur atas nikmat yang diberikan-Nya.
Nikmat ekonomi yang diperoleh negara melalui hasil pendapatan yang dianggarkan RM26 bilion mendorong kerajaan untuk berkongsi dengan rakyat, tanpa memilih kaum, agama dan keturunan dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM2.6 bilion kepada yang berhak menerimanya. Sehingga Mac lalu, kira-kira 3.8 juta orang atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah sudah menerima peruntukan bantuan RM500 seorang bagi keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.
Persoalannya, adakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah? Malah kita perlu merasa bimbang dan takut, setelah sekian banyak menikmati rezeki kurniaan Allah yang kita gunakan sekiranya kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba yang bersyukur.
Allah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak tahu bersyukur atau tidak mahu bersyukur, dengan amaran azab yang dijanjikan. Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita.
Kaum Ad, umat Nabi Hud diberi tanah yang subur untuk dijadikan ladang pertanian. Rezeki mereka melimpah ruah, tetapi kerana tidak bersyukur dan bertindak melampaui batas, Allah menurunkan angin puting beliung yang memusnahkan kampung dan harta benda mereka. Kaum Thamud, umat Nabi Saleh dianugerahkan kekayaan dan kemewahan hidup, tetapi kekayaan menjadikan mereka bangga dan menyombong diri. Mereka tetap tidak bersyukur dan tidak beriman kepada Allah. Akhirnya Allah menurunkan halilintar yang kuat dan gempa bumi yang dahsyat menyebabkan kaum itu mati bergelimpangan.
Kaum Lut di Sodom pula diberikan Allah kehidupan yang sangat mewah. Kemewahan ini juga menyebabkan mereka lupa peringatan Allah dengan bertindak keterlaluan iaitu melakukan hubungan sejenis. Bumi kaum Nabi Lut diterbalikkan dan penempatan mereka musnah ditimpa hujan batu berapi.
Begitu juga dengan kisah kaum Nabi Syuib dikenali sebagai Madyan. Mereka bermewah hasil daripada perniagaan yang menjadi budaya hidup tetapi terkenal dengan sikap menipu dalam timbangan dan sukatan. Mereka ingkar amaran Allah dan akhirnya mati dalam gempa bumi yang dahsyat. Kaum Nabi Nuh juga tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan. Sebaliknya segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh menjadi ejekan mereka. Mereka ingkar dan enggan menurut apa yang diajarkan oleh Nabi Nuh, termasuk anak dan isterinya. Akhirnya Allah menurunkan banjir besar dan kaum itu lenyap dari muka bumi.
Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya termasuk nikmat kesihatan. Apabila badan dan akal fikiran seseorang mukmin sihat, maka kehidupan mereka akan bahagia dan sejahtera. Mereka akan bekerja dan berusaha dengan penuh semangat, lebih berdaya saing serta hasilnya akan terus meningkat. Pembinaan sahsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian, perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah SWT.
Selain daripada keimanan yang boleh menjadi benteng kukuh, pembinaan sahsiah atau peribadi seseorang itu, perlu dihiasi dengan akhlak atau sifat terpuji seperti sabar, reda, merendah diri dan sebagainya.
Namun hakikatnya manusia mudah lupa dan senang alpa dengan nikmat yang diberikan Allah untuk menguji sejauh mana keimanan manusia. Sejarah Bani Israel boleh dijadikan bandingan walaupun pernah menjadi bangsa yang dimuliakan Allah. Namun kerana terlalu leka dan lalai dengan nikmat yang Allah kurniakan, mereka bertindak melampaui batas yang Allah tetapkan.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Bani Israel, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat. (Surah Al-Baqarah, ayat 47).
Mereka, yakni puak Yahudi dan Nasrani ini telah hanyut dengan nikmat Allah sehingga mereka lupa diri dan menjadi sombong dan angkuh. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sepatutnya kita menerima nikmat dan pemberian Allah dengan penuh syukur di sebalik kegembiraan yang terpancar itu. Allah mengurniakan nikmat keamanan, nikmat kesenangan, nikmat ekonomi yang melimpah, terhindar daripada bala bencana gempa bumi, banjir, puting beliung dan kemarau dan banyak lagi. Sedangkan Allah tidak pernah lalai daripada mengingati kita. Allah sering memperingati kita atas kelalaian kita mengingati limpah kurnia-Nya. Allah teramat mengasihi dan menyayangi kita lalu diberikan peringatan sebelum terlambat.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Tuhan selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?” (Surah Fathir, ayat 3)
Antara wasiat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Muadz bin Jabal: "Aku berwasiat kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan doa setelah solat dengan doa: “Ya Allah berilah pertolongan kepadaku untuk sentiasa mengingatimu (zikir), dan mensyukurimu (syukur), serta beribadah dengan baik kepadamu."( Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai’e)
Syukur kepada Allah bererti kita mengingat segala nikmat yang telah kita terima daripada Allah SWT dan menampakkan-Nya (tidak melupakan-Nya), manakala lawan bagi syukur ialah kufur, yakni melupakan nikmat Allah dengan menutup akan nikmat itu. Syukur sangatlah mudah untuk diucapkan tetapi berat untuk diamalkan. Begitulah apa yang berlaku kepada kaum Saba yang pernah mencapai puncak kegemilangannya.
Firman Allah Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’, ayat 13).
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan