Jumaat, 20 April 2012
ISU ALAM SEKITAR : Jadikan sambutan Hari Bumi iltizam kurangkan kemusnahan alam sekitar
Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
GEMPA bumi yang melanda Aceh pada 11 April lalu adalah antara gegaran terkuat berlaku pada tahun ini. Gegaran pada kekuatan magnitud 8.9 skala Richter itu bermula pada jam 4.38 petang, umpama satu amaran kepada penduduk bumi agar mereka bertindak melakukan sesuatu untuk mengurangkan kerosakan.
Manusia terlalu rakus meratah hasil bumi yang seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin, bukannya dengan menghapuskan semuanya sehingga bukit gondol, hutan terhakis dan lautan tercemar dengan pelbagai sisa kekotoran.
Akibatnya, bumi mula berasa tidak selesa untuk didiami dan cuaca tidak menentu. Musim turut berubah tidak seperti aturan alam sebelumnya hinggakan semua aktiviti perlu diubah dan ditukar demi memastikan perubahan itu tidak mengganggu urusan manusia.
Selepas menyaksikan tumpahan minyak besar-besaran pada 1969 di Santa Barbara, California, Pengasas Hari Bumi, Gaylord Nelson mencetuskan ilham agar Hari Bumi diadakan sebagai satu cara untuk mendidik penduduk bumi pentingnya untuk memulihara alam sekitar.
Hasil daripada usaha beliau, pada Ahad ini, 20 juta rakyat Amerika bersatu untuk menentang pelbagai kegiatan yang merosakkan alam sekitar. Antaranya, tumpahan minyak, pencemaran kilang, loji jana kuasa, kumbahan mentah, tempat pembuangan sampah toksik, racun perosak, lebuh raya, kehilangan hutan belantara dan kepupusan hidupan liar.
Kumpulan ini sedar mereka berkongsi nilai sejagat yang mana jika tidak dipelihara, ia bakal mencipta satu persekitaran yang tidak selamat dan selesa untuk dijadikan tempat kediaman.
Pada 1990, Hari Bumi bergerak ke seluruh dunia dan ia membabitkan 200 juta individu dari 141 negara memperkata dan membincangkan mengenai isu alam sekitar. Di pentas dunia pada Hari Bumi tahun itu pelbagai langkah pemuliharaan bumi diperkenalkan seperti kitar semula.
Kumpulan alam sekitar sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk menjalankan tugas mereka apabila perubahan iklim dinafikan, pelobi minyak dibiayai dengan baik, ahli politik bertindak mendiamkan diri dan orang ramai yang tidak peduli kerana berasakan tidak ada kepentingan.
Antara kejadian yang menjadi kekesalan, sebelum ini pernah dilaporkan pemburu negara jiran mula menerjah masuk ke kawasan hutan negara membunuh pelbagai jenis haiwan eksotik yang kemudian dipasarkan di Thailand.
Perkara ini didedahkan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Johor. Ia membabitkan kegiatan pemburu negara jiran yang memburu haiwan eksotik serta mencuri kayu gaharu di Taman Negara Endau-Rompin sebelum diseludup masuk ke Bangkok.
Wujud sindiket yang mengatur kedatangan mereka dan menggunakan kepakaran pemburu Orang Asli. Perkara ini turut diakui peniaga di Bangkok yang mendapat bekalan terus kayu gaharu dan haiwan eksotik seperti tenggiling dan harimau, yang masing-masing membawa keuntungan antara RM1,000 hingga RM150,000.
Ia adalah antara tindakan golongan yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi kerana membunuh haiwan itu sudah pasti mengurangkan jumlah mereka dan ini membuka ruang kepada pembalak untuk memusnahkan pula habitat mereka.
Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sering mendapat sokongan daripada organisasi korporat tetapi agak jarang individu atau orang perseorangan yang ingin membabitkan diri dalam apa juga bentuk aktiviti pemuliharaan alam sekitar.
Ketua Bahagian Komunikasi MNS, Andrew Sebastian, berkata kesedaran akan timbul apabila setiap individu dalam masyarakat membabitkan diri dalam pelbagai bentuk aktiviti luar yang membabitkan alam semula jadi.
“Kami masih berpegang kepada pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat mengenali, merasai sendiri dan ambil berat mengenai alam sekitar terutama apa yang berlaku kerana hanya dengan cara ini saja mereka akan dapat menghargai alam sekeliling,” katanya.
Sebastian menyarankan supaya rakyat Malaysia memilih kawasan percutian di kawasan ekopelancongan yang sedia ada dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti luar seperti berkayak atau berkhemah untuk merasai sendiri kenapa kita perlu memulihara alam sekitar.
Setakat ini, MNS amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh golongan korporat dan kerajaan terutama dalam melindungi beberapa kawasan hutan seperti Belum Temengor dan Teluk Danga.
2012 adalah satu tahun untuk menguji sejauh mana kerajaan dan rakyat benar-benar prihatin terhadap alam sekitar. Pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi juga mampu menjadi kayu pengukur sejauh mana ahli politik berminat menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada kempen mereka.
Peranan masyarakat dan rakyat juga diperlukan dalam usaha untuk memastikan alam sekitar benar-benar terpelihara dan sempena Hari Bumi yang diraikan esok diharap menjadi titik tolak untuk kita terus memelihara alam sekitar agar ia dapat mengurangkan tekanan dan kerosakan kepada bumi.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan