Selasa, 17 April 2012
ISU GLOBAL : ASEAN mampu selesai pertikaian perairan dengan China
Oleh Mustapa Kamal Basri
APAKAH kesudahan ketegangan terbaru yang tercetus antara Filipina dan China berhubung pertikaian di perairan Scarborough Shoal di Laut China Selatan.
Kini sudah lebih seminggu ketegangan antara Filipina dan China itu tercetus tanpa sebarang penyelesaian, sebaliknya krisis itu menemui jalan buntu, apabila kedua-dua pihak terus berkeras tidak mahu beralah.
Ketegangan antara kedua-dua negara itu diumpamakan seperti gajah dan semut. Sebarang kesilapan menangani krisis itu boleh mengundang padah dan mencetuskan perang dan mendorong campur tangan Amerika Syarikat (AS), yang memang mencari alasan untuk bertapak di perairan tersebut, walaupun Filipina berpendirian mahu menyelesaikan krisis itu secara diplomatik.
Secara kebetulan, AS dan Filipina sedang mengadakan latihan tentera bersama selama dua minggu sejak semalam, melibatkan 6,000 askar AS dan Filipina, dan menyatakan China tidak dijadikan bayangan sasaran latihan.
Semuanya bermula pada Ahad minggu lalu apabila pihak berkuasa Filipina menahan bot-bot nelayan China yang didakwa menceroboh kawasan perairan Filipina di Scarborough Shoal di Luat China Selatan.
Ekoran itu, China bertindak menghantar dua bot peronda tentera lautnya ke perairan itu dan Filipina pula menghantar sebuah kapal perangnya.
Filipina mendakwa perairan itu adalah wilayahnya kerana ia berada dalam kawasan 200 batu nautika Zon Eksklusif Ekonomi yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa, manakala China pula mendakwa kesemua perairan di Laut China Selatan adalah wilayahnya berdasarkan faktor sejarah.
Ini bukan kali pertama, ketegangan berlaku antara kedua-dua negara itu berhubung perebutan wilayah di perairan itu. Pada 2 Mac tahun lalu, dua bot peronda China didakwa menganggu kapal Filipina yang menjalankan kerja-kerja penerokaan minyak semasa mahu beredar dari kawasan perairan yang dikenali sebagai Reed Bank, sehingga mendorong Manila menghantar dua pesawat tentera ke tempat kejadian selepas kapal-kapal peronda China itu beredar dari kawasan itu.
Filipina mendakwa Reed Bank, yang terletak berhampiran kepulauan Spratly, berada dalam perairannya, sementara China pula mendakwa kepulauan Spratly dan perairan bertentangannya adalah miliknya.
Kepulauan Spratly terletak di Laut China Selatan berhampiran Malaysia, Filipina, Vietnam, China dan Brunei. Ia terdiri daripada lebih 100 pulau kecil atau terumbu dan Filipina menuntut hampir 50 buah daripadanya.
China juga pernah menggunakan kekuatan tentera lautnya pada 1995 untuk menawan semula Terumbu Mischief yang diduduki tentera Filipina.
Malahan tentera laut China dan Vietnam pernah bertempur di laut berhubung perebutan ke atas kepulauan Spratly pada 1988 di Johnson Reef. Dalam insiden itu, bot tentera laut China menenggelamkan beberapa buah kapal pengangkut Vietnam yang membawa tentera Vietnam menyebabkan 64 tentera Vietnam terbunuh.
Selain itu, China turut menghadapi perebutan bertindih ke atas perairan dan pulau-pulau kecil di kepulauan Spratly dengan Malaysia, Brunei, Vietnam dan Taiwan.
China berdepan konflik sukar, kerana di samping mempertahankan apa yang dipanggil kedaulatannya di perairan itu, Beijing juga perlu memikirkan hubungan dan perdagangannya dengan negara-negara anggota ASEAN.
China juga pasti tidak mahu terjebak dengan krisis ketenteraan secara terbuka dengan AS berikutan kesilapannya menangani krisis pertikaian wilayah dan perairan di Laut China Selatan.
Dalam konteks ini, ASEAN paling layak untuk menangani pertikaian itu memandangkan hampir semua negara anggota ASEAN terbabit dalam pertikaian ke atas kepulauan Spratly.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan