Selasa, 10 April 2012
ISU BAHASA : Dekatkan sastera kepada masyarakat
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
LANGKAH perlu diambil bagi membawa kesusasteraan lebih dekat kepada semua lapisan masyarakat menjadi tajuk utama perbincangan Forum Memasyarakatkan Sastera di Institut Pendidikan Guru, Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, Melaka, baru-baru ini.
Panel forum terbabit antaranya mengupas penggunaan pelbagai saluran penyampaian kesusasteraan yang boleh meningkatkan minat masyarakat dengan berkesan dan pentingnya sasterawan menghasilkan karya yang diterima baik masyarakat.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2000, Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata, penggabungan saluran penyampaian karya sastera perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar dapat dicapai lebih ramai individu dalam masyarakat.
“Penggabungan ini contohnya dapat dilakukan dengan menghasilkan filem atau drama pentas daripada karya novel yang baik. Contohnya Hujan Sudah Teduh yang diadaptasi dari novel ke telefilem atas cadangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diulang tayang beberapa kali atas permintaan penonton.
“Filem Ombak Rindu, Laskar Pelangi dan Adik Manja yang diadaptasi daripada novel juga antara contoh penggabungan saluran yang memberi kesan besar kepada masyarakat untuk mendekati karya sastera,” katanya.
Beliau yakin bahawa masyarakat perlu digalakkan menyertai perbincangan awam mengenai sesebuah karya sastera agar mereka dapat bertukar fikiran, manakala polemik dunia sastera dapat menyumbang kepada perkembangannya, di samping mendekatkan lagi masyarakat kepada karya yang baik.
“Sebagai contoh saya pernah menghadiri diskusi novel Siti Nurbaya di Indonesia dengan ahli panel dalam kalangan profesional yang bukan dari bidang sastera. Mereka membincangkan novel yang diterbitkan pada 1922 itu dalam konteks semasa dan terbukti ia masih relevan. Perkara itu boleh disifatkan sebagai sumbangan kesusasteraan pada masyarakat,” katanya.
Penerima Anugerah SEA Write 2010, Zaen Kasturi, pula memberi penekanan kepada sasterawan supaya menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat kerana pendekatan terbabit meningkatkan kemungkinan ia mendapat sambutan daripada pembaca kerana ia mewakili pengalaman mereka.
“Apabila kita bercerita mengenai diri kita, perkara yang dekat dengan kita dan apa yang boleh dilihat di sekeliling kita, ia akan menarik perhatian pembaca, sekali gus membawa kesusasteraan kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau turut berpendapat pengajaran bidang seni dan kesusasteraan di institusi pengajian tinggi (IPT) juga boleh memberi galakan kepada memasyarakatkan sastera.
“Jika diperhatikan di Eropah, banyak graduan mereka yang mempelajari subjek ‘liberal art’ walaupun mereka mempelajari bidang yang tiada kaitan dengan kesusasteraan,” katanya tanpa menafikan memasyarakatkan sastera mungkin tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat kerana ia membabitkan proses yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
Mengupas peranan penulis wanita, Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman berkata, mereka biasanya akan mengangkat isu yang lebih dekat dengan mereka kerana kecenderungan kelompok terbabit menghasilkan karya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian.
“Jika penulis lelaki ingin menceritakan masalah wanita hamil yang diangkat sebagai watak utama dalam novel, mereka akan mendapatkan pandangan daripada wanita lain. Namun penulis wanita boleh menulis mengenai perkara ini berdasarkan pengalaman sendiri,” katanya yang beranggapan pembaca memilih karya tidak berdasarkan jantina penulis.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan