Rabu, 18 April 2012
ISU BAHASA : Fakta politik dalam peribahasa
Oleh ARIF ATAN
MASYARAKAT hari ini semakin selektif kesan daripada globalisasi yang membawa pelbagai bentuk saluran maklumat dengan kadar yang cepat.
Menyedari hakikat itulah, pentingnya para pemimpin hari ini menggunakan fakta semasa berdepan dengan khalayak masyarakat.
Penekanan kepada budaya politik matang adalah antara intipati wawancara bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dimuatkan dalam Mingguan Malaysia pada 15 April lalu.
Beliau juga memberikan beberapa contoh pendekatan yang digunakannya sendiri dalam usaha menangani dan menguruskan persepsi.
Apa yang ditekankan oleh Menteri Pertahanan itu sebenarnya juga dapat kita telusuri dalam khazanah manuskrip dan peribahasa Melayu kita.
Pemimpin yang konsisten berhujah menggunakan fakta tidak mustahil akan mempengaruhi tanggapan rakyatnya walaupun sebelum itu mungkin mereka begitu tegar untuk tidak berpihak dengannya ibarat "batu yang keras air pelekuknya, hati yang keras lidah pelembutnya".
Sebaliknya, keadaan "umpama kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting" akan timbul kerana kegagalan pemimpin berhujah dengan fakta walaupun mungkin pemimpin itu ikhlas mahu membantu kepada pencerahan masa depan rakyatnya.
Pemimpin yang berhujah tanpa fakta juga "umpama hendak menepung tiada berberas". Akibatnya, mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat gagal difahami kerana mudah benar dimanipulasi. Tidak dapat disangkal lagi, fakta yang jelas adalah syarat utama dalam proses menangani persepsi rakyat.
Usahlah seseorang pemimpin itu bersikap "tak tahu menganyam, pandan disalahkan" atau "tidak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket". Menganggap rakyat sebagai lupa diri atau tidak kenang budi atas jasa bakti yang sebelum ini diberi pasti tidak akan timbul jika pemimpin bijak mengatur fakta dalam berhujah.
Namun, dalam masa fakta dalam hujah diberi keutamaan ada ketikanya sesuatu perkara itu menjadi lebih baik untuk tidak dihebahkan. Biarlah hal itu "ditelan menjadi manikam" kerana jika "dimuntahkan menjadi sekam".
Hujah yang mengandungi fakta juga dapat mengelak daripada berlakunya persengketaan kerana "setajam-tajam pedang tumpul dijilat lidah" manakala pelaksanaan sebarang tindakan eloklah menurut resmi sirih.
Orang tua-tua dahulu telah berpesan "umpama sirih, menjulur dahulu kemudian melilit, sudah melilit barulah memanjat ke pucuk junjung". Jelas, para pemimpin pun tidak terkecuali daripada mematuhi ketertiban dan peraturan apabila tampil berkomunikasi dengan rakyat.
Pemimpin yang bercakap tanpa fakta sebaliknya hanya cakap besar tetapi kosong akan dilihat oleh rakyat "bagai gelegar buluh" serta tidak dipercayai lagi seperti "gaharu dibakar kemenyam berbau".
Demikianlah beberapa ungkapan daripada lebih 2,000 peribahasa asli Melayu yang terkandung dalam Tikaman Bahasa yang telah disusun oleh Muhammad Adnan Muhammad Ariffin pada 79 tahun lalu.
Banyak lagi ungkapan peribahasa Melayu yang wajar diambil iktibar oleh para pemimpin kita supaya pemikiran mereka tampil lebih bijaksana dan boleh dipercayai di mata rakyat.
PENULIS ialah Tutor di Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan