Khamis, 12 April 2012
ISU BAHASA : Kemelut bahasa, sastera Melayu
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Kanak-kanak negara ini tidak dapat pendedahan sejak awal usia
BAHASA dan sastera Melayu ‘diramalkan’ tidak akan mati dalam tempoh 20 tahun lagi, tetapi akan terpinggir berikutan kedua-dua bidang terbabit tidak diperkenalkan secara sistematik kepada generasi muda sejak mereka masih pada peringkat prasekolah.
Selain itu, kebanyakan ibu bapa dan pusat pendidikan prasekolah didapati memberi lebih penekanan kepada bahasa Inggeris dan Matematik seolah-olah hanya kedua-dua subjek itu sahaja yang menjamin masa depan anak mereka, turut menyumbang kepada situasi terbabit.
Kenyataan itu pahit, tetapi itulah dapatan awal kajian mengenai perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Ani Omar.
“Hasil kajian mendapati hanya segelintir ibu bapa sedar kepentingan sastera dalam membantu perkembangan emosi anak mereka. Tinjauan di prasekolah terpilih, mendapati subjek Sastera yang diterapkan pada peringkat itu ialah Sastera Inggeris. Lagu dan buku cerita yang diperkenalkan adalah daripada sastera Inggeris.
“Mengapa tidak sastera Melayu turut diperkenalkan kepada kanak-kanak prasekolah dan tidak timbul tidak kecukupan bahan kerana hakikatnya khazanah dalam bidang ini terlalu luas dan menawarkan banyak pilihan yang boleh dijadikan bahan pembelajaran,” katanya ketika dihubungi Sastera, baru-baru ini.
Baginya kecenderungan terbabit tidak sepatutnya dibiarkan berakar umbi dalam masyarakat kerana semua pihak perlu sedar bahawa sastera dapat membantu perkembangan jiwa, kerohanian dan artistik individu yang akan menyeimbangkan manusia.
“Senario terbabit akan berkesudahan dengan generasi masa depan kekal seperti generasi hari ini, iaitu mereka membaca untuk peperiksaan dan bukan untuk pengetahuan. Keadaan ini sangat berbahaya kerana akan lahir generasi yang kurang nilai estetika dan kerohanian. Ada baiknya nilai kemanusiaan dan kejiwaan yang mampu ditawarkan sastera diperakui.
“Kita tidak akan dapat faktor itu dalam subjek lain, namun ada ibu bapa yang tidak tahu pun apa itu sastera. Mereka tidak faham pun sastera. Lalu atas ketidakpedulian ini mereka meminggirkan sastera Melayu daripada menjadi sebahagian daripada pengetahuan anak masing-masing,” ujarnya.
Dr Ani berharap keadaan terbabit tidak dibiarkan berterusan kerana pada akhirnya ia akan menyebabkan sastera Melayu terpinggir di tanah air sendiri dan ini sangat merugikan negara kerana sastera adalah rakaman budaya dan tamadun sesebuah bangsa.
“Sastera Inggeris tidak merangkumi lingkungan budaya tempatan berbanding sastera Melayu, tetapi malangnya hakikat kepentingan sastera Melayu seakan langsung tidak dipedulikan. Melalui sastera, kanak-kanak dibantu meneroka dunia dari pelbagai sudut pandangan.
“Mereka lebih mudah memahami baik dan buruk sesuatu perkara menerusi pembacaan mereka. Mereka akan tertarik untuk membaca lebih banyak buku. Jika dia masih tidak boleh membaca, buku yang dibaca oleh guru dan ibu bapa adalah langkah paling baik untuk menarik minat mereka untuk membaca dan menguasai bahasa,” katanya.
Baginya fungsi sastera sebagai pembentuk perkembangan sosial, emosi, intelek dan bahasa kanak-kanak sepatutnya dipupuk sejak kecil dan untuk merealisasikan impian terbabit, semua pihak perlu menyumbang, selain perlu bermula pada peringkat atasan.
“Kajian saya mendapati program Permata Negara tidak memberi peluang sama rata kepada sastera Melayu kerana ia sekadar sisipan dan dijalankan mengikut kecenderungan pengajar. Kalau rasa nak nyanyi lagu Melayu, nyanyilah. Kalau nak baca buku Melayu bacalah, berbanding bahasa Inggeris yang mempunyai slot khusus.
“Mereka ada subjek pengiraan, tetapi sastera Melayu langsung tidak diberi muka. Program itu sendiri tujuannya juga untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris. Lagu dan buku yang didedahkan kepada kanak-kanak ini adalah bahasa Inggeris. Mungkin mereka berasa maju jika bijak berbahasa Inggeris,” ujarnya.
Lalu yang menjadi mangsa adalah anak-anak itu sendiri kerana ibu bapanya dan dasar pentadbiran yang tidak menggariskan kepentingan sastera dan bahasa Melayu, sehingga mereka tidak kenal diri sendiri sedangkan mereka inilah waris masa depan dan bagaimanakah rupa bentuk negara ini pada masa akan datang?
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan