Isnin, 30 April 2012
ISU BAHASA : Malangnya bahasa Melayu
Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
TULISAN Prof Sohaimi Abdul Aziz, Berbudikah Melayu kepada bahasa? (Mingguan Malaysia, 8 April 2012), sewajarnya dijadikan iktibar dan peringatan kepada bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Apakah kita mahu suatu hari nanti bahasa rasminya bukan lagi bahasa Melayu?
Kebimbangan Sohaimi amat jelas pada ayat berikut: Bangsa yang lupa diri adalah bangsa yang lupa kepada bahasanya. Jadi, Melayu yang lupa diri dan keperibadiannya akan lupa kepada kehebatan dan kehalusan bahasanya.
Siapakah yang ingin dipersalahkan dalam perkara ini? Menuding jari bukanlah caranya mencari jalan penyelesaian sebaliknya akan saling tuduh menuduh dan akhirnya bahasa Melayu yang menjadi mangsa terkulai layu.
Apakah benar orang Melayu tidak mencintai dan menghormati bahasa sendiri? Mungkin kenyataan ini ada benarnya. Namun begitu, jika kita mengambil Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai contoh, bahasa Melayu masih terpelihara dan dihormati. Setiap tulisan yang dipaparkan di KLIA jelas mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Tulisan bahasa Melayu lebih besar saiznya daripada bahasa asing dan tulisan bahasa Melayu diletakkan di sebelah atas tulisan bahasa asing yang secara tidak langsung menggambarkan bahasa Melayu itu didahulukan dan dihormati di negara sendiri. Justeru, di pintu masuk utama negara, awal-awal sudah diberitahu kepada warga asing bahawa bahasa rasmi negara ini ialah bahasa Melayu.
Begitu juga dengan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang telah memasuki edisi keenam. Kesungguhan Perdana Menteri menganjurkan setiap tahun, jelas beliau ingin memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa. Pada tahun ini sebanyak 69 peserta dari 64 negara menyertai PABM. Penyertaan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah dipelajari dan dituturkan dari seluruh pelosok dunia. Malah penuturnya adalah terdiri daripada generasi muda yang begitu bersungguh-sungguh ingin menguasai bahasa Melayu dengan fasih. Hal ini begitu ketara pada setiap aksi peserta yang menunjukkan kebolehan masing-masing.
Namun begitu, kegusaran Sohaimi terhadap masa depan bahasa Melayu seolah-olah begitu tenat. Beliau menyalahkan bangsa Melayu yang telah tersasar jauh kerana mengabaikan bahasa Melayu tetapi sebaliknya mengendong bahasa asing. Malah Sohaimi merayu dengan kenyataan berikut:
Bangsa Melayu, kembalilah ke pangkal jalan untuk mencintai dan menghormati bahasa sendiri. Jika kita tidak menghormati bahasa sendiri, siapa lagi akan menghormatinya. Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai.
Memang benar bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai. Ini diakui pada zaman kegemilangan Melaka, setiap pedagang yang datang ke Melaka, akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi ketika menguruskan perniagaan.
Bahasa ilmu
Ini bermakna pedagang tersebut awal-awal telah mempelajari bahasa Melayu sebelum datang ke Melaka kerana ingin menjalankan perniagaan. Keinginan untuk mempelajari bahasa Melayu jelas menunjukkan mereka menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang digunakan dalam urusan perniagaan.
Sebagai contoh yang lain, Frank Swettenham merupakan Residen British yang pertama di negeri Selangor dalam tahun 1882. Ketika beliau tiba di Singapura pada tahun 1871, Frank telah mempelajari bahasa Melayu dengan seorang Munshi bernama Mohammed Said dan lima belas bulan kemudian, beliau lulus peperiksaan akhir dan juga mendapat kelayakan sebagai Jurubahasa Mahkamah.
Kesungguhan Frank Swettenham mempelajari bahasa Melayu menunjukkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mesti dipelajari kerana bahasa Melayu telah membantu beliau mentadbir Tanah Melayu khususnya membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbirannya. Malah Swettenham telah menulis lebih daripada 12 buah buku berkenaan Malaya, termasuk kamus Melayu-Inggeris-Melayu yang mula-mula diterbitkan pada tahun 1881.
Yang lebih menarik, bahasa Melayu juga telah lama diiktiraf sebagai bahasa diplomasi di rantau ini dengan bukti UNESCO mengiktiraf surat-surat Sultan Kedah dalam bahasa Melayu bertulisan jawi pada abad ke-19 kepada kerajaan Inggeris suatu ketika dahulu sebagai salah satu warisan dunia. Justeru, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantara antara dua benua.
Sehubungan itu, rayuan Sohaimi mesti diambil serius oleh setiap orang yang berbangsa Melayu khususnya.
Apakah beban tersebut perlu dipikul kesemuanya oleh pejuang-pejuang bahasa? Sedangkan rakyat Malaysia tidak ikut serta memperjuangkannya? Rakyat Malaysia lebih rela mengendong bahasa asing dan mengorbankan bahasa sendiri semata-mata itulah kehendak global. Malah kejayaan bahasa asing menguasai di setiap sudut sama ada ekonomi, pendidikan, hiburan, media dan sebagainya adalah satu kejayaan penjajah menjajah minda rakyat supaya mengikut telunjuk mereka.
Sebagai contoh, sering kali ditemui iklan-iklan yang menggunakan bahasa asing. Tanpa rasa simpati, bahasa Melayu tidak digunakan langsung di papan-papan iklan tersebut. Malah mereka dengan rasa bangga meletakkan tulisan bahasa asing itu dengan saiz tulisan yang sebesar-besarnya seolah-olah itulah bahasa yang mesti didaulatkan dan dimartabatkan.
Dan saat melihat dan membaca tulisan tersebut, seolah-olah dirasakan sedang berada dan melancong di negara asing. Apakah gejala ini akan berterusan sehingga bangsa Melayu bahasa rasminya bukan lagi bahasa Melayu suatu hari nanti?
Kegelisahan Sohaimi dalam tulisannya perlu dihayati oleh rakyat Malaysia yang menerima Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini. Jadi, kegusaran Sohaimi ada kewajarannya sebagai seorang ahli akademik kerana beliau sudah tentu tidak mahu bahasa Melayu 'hidup segan mati tak mahu' malah akan terpinggir selama-lamanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan