Ahad, 15 April 2012
ISU GLOBAL : Keputusan ICC bela Israel gores hati antarabangsa
Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
Amerika Syarikat lindungi Zionis elak rejim dibawa ke muka pengadilan
KEPUTUSAN Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 3 April lalu yang tidak akan membuka kertas siasatan terhadap jenayah rejim Israel dalam serangan ke atas Gaza antara Disember 2008 hingga Januari 2009 memang amat mengejutkan.
Memang sukar diterima keputusan ICC itu, apatah lagi apabila mengetahui badan itu menggunakan alasan tidak masuk akal dalam membuat keputusan berkenaan iaitu – Palestin bukan sebuah negara yang sah di sisi undang-undang PBB.
Keputusan dangkal ICC itu pastinya menggores hati masyarakat dunia, terutama umat Islam yang cintakan keadilan kerana jelas sekali ia menafikan hak rakyat Palestin khasnya penduduk Gaza untuk mendapatkan keadilan disebabkan kezaliman tentera rejim Israel.
Sebaliknya, Kementerian Luar Israel dengan bangganya mengatakan yang ICC memang tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk mendakwa negara itu.
Dilaporkan, lebih 1,400 penduduk Gaza terbunuh dalam operasi tentera rejim Israel yang dipanggil Operasi Lemparan Beracun itu dan majoriti yang terkorban orang awam.
Menurut angka PBB, tentera Israel memusnahkan lebih 3,500 rumah kediaman dan menyebabkan 20,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam serangan 22 hari itu.
Israel turut didakwa senjata yang diharamkan dalam serangan itu iaitu menggunakan bom fosforus, sejenis bahan menghasilkan bunga api besar, bersifat menghakis seperti asid dan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan secara berterusan tanpa henti sehingga membawa maut walaupun sekadar terkena serpihannya.
Keputusan ICC itu mendapat kutukan keras daripada Pusat Hak Asasi Manusia Palestin (PCHR), badan bukan kerajaan (NGO) membela nasib dan hak asasi manusia di Palestin yang menganggap ia satu pendirian melampau, bersifat antikeadilan dan hak asasi manusia.
Malah, Amnesty International turut menegaskan keputusan ICC itu sebenarnya membawa maksud ‘mangsa serangan Israel di Gaza tidak layak mendapat keadilan’ dunia.
Keputusan ICC itu juga sebenarnya hanya membuka ruang untuk masyarakat dunia menganggap badan keadilan dunia itu bersifat berat sebelah dengan meletakkan isu jenayah rejim Israel ini kepada pihak lain atau dengan kata lain menunggu pengiktirafan PBB ke atas negara Palestin.
Pada dasarnya, kita tahu PBB tidak akan menerima sebarang cadangan, apatah lagi usaha menjadikan Palestin sebuah negara berdaulat kerana sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) akan melakukan apa saja termasuk menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan usaha itu.
Ini dapat dibuktikan apabila AS menggunakan kuasa veto untuk menghalang tawaran keanggotaan penuh Palestin dalam PBB pada September tahun lalu menerusi inisiatif Presiden Mahmoud Abbas.
Berikutan tindakan AS itu, Majlis Keselamatan PBB tidak lagi membuat sebarang syor untuk mengakui dan mengiktiraf kewujudan negara Palestin.
Namun begitu, walau apa pun justifikasi ICC, perlakuan jenayah tentera rejim Israel dalam operasi di Gaza itu sebenarnya berjaya dibuktikan oleh beberapa pemerhati laporan pertubuhan hak asasi manusia bebas seperti Pemerhati Hak Asasi Manusia, Amnesty International dan Persekutuan Hak Asasi Antarabangsa (FIDH) serta Laporan Suruhanjaya Pencari Fakta yang dimandatkan oleh Liga Arab.
Difahamkan, Pejabat Pendakwa ICC menerima ratusan aduan dan permintaan daripada mangsa serangan di Gaza supaya badan kehakiman dunia itu melakukan siasatan bebas pada peringkat antarabangsa.
PCHR dan rakan NGO yang sealiran dengannya turut mengemukakan pelbagai fail kes bagi pihak mangsa kepada Pejabat Pendakwa ICC, namun badan itu gagal menangani isu yang dibangkitkan ini dengan cara yang sesuai.
Pendirian ICC tidak mahu menyiasat perlakuan jenayah dalam serangan Israel itu dengan alasan status Palestin bukan sebuah negara sah pada prinsipnya boleh dipertikaikan kerana Undang-undang Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengatakan sebaliknya.
Menurut PCHR, dalam menentukan status sah negara Palestin, Pendakwa ICC bertindak secara unilateral kerana Undang-undang Rom menyatakan Pejabat Pendakwa ICC tidak diberi kuasa untuk menerima pakai kaedah mentakrif Negara mengikut Artikel 12(3) kerana bertentangan dengan Artikel 12(1).
Malah, keputusan Pejabat Pendakwa ICC itu hanya menimbulkan syak wasangka terhadap badan itu membuat keputusan bukan berdasarkan keadilan manusia, tetapi menjurus kepada kepentingan politik.
Apa pun justifikasi ICC itu, keputusan badan kehakiman dunia itu turut mendapat protes banyak negara, termasuk Malaysia. Di negara ini Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) mengutuk dan membantah keputusan ICC itu.
Pengerusinya, Datuk Zaki Ahmad Zahid menganggap ICC bersikap berat sebelah dalam membuat keputusannya kerana menafikan hak waris dan mangsa Operasi Lemparan Beracun di Gaza itu kerana apa yang dilakukan rejim Israel itu terang-terangan mencabul hak asasi manusia.
Aman Malaysia, katanya, menganggap ICC memihak dan tunduk kepada Israel dengan mengambil keputusan PBB yang tidak mengiktiraf Palestin sebagai negara sah untuk dijadikan dalil mengapa mereka menolak untuk menyiasat aduan jenayah dilakukan tentera rejim Israel terhadap penduduk Gaza.
“Kita amat marah dan kecewa dengan pendirian ICC yang berat sebelah menyokong keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin terutama penduduk Gaza yang menjadi mangsa operasi berkenaan.
“Dalam peristiwa itu ternyata tindakan Israel membunuh orang awam di Gaza yang tidak bersalah adalah satu jenayah yang sepatutnya bukan saja perlu disiasat ICC, bahkan badan kehakiman dunia itu perlu mengambil tindakan terhadap Israel,” katanya.
Beliau berkata, keputusan ICC itu didalangi kuasa besar, khasnya AS untuk melindungi Israel dengan menggunakan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf PBB sebagai perisai untuk mengelak mereka daripada dibawa ke muka pengadilan dunia.
Natijahnya, apa pun yang dilakukan rejim Israel di Palestin sejak menceroboh, mereka tetap terlepas siasatan atau tindakan, tetapi mangsa keganasan Israel pula terus terabai tanpa pembelaan, apatah lagi mendapat keadilan sewajarnya.
Ia seperti peribahasa Melayu – ‘sepuluh jong berlalu, anjing tetap bercawat ekor’. Walaupun apapun usaha dilakukan untuk menyelamatkan Palestin dan rakyatnya, Israel juga akan tetap mendapat pembelaan. Soalnya, siapakah yang perlu menamatkan segala bentuk perlindungan yang Israel nikmati ketika dan sampai bilakah rejim itu akan terus kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang jenayah perang atau sivil.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan