Isnin, 2 April 2012
ISU GLOBAL : Siapa dalang di selatan Thai?
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
MUNGKIN sudah ditakdirkan, selatan Thailand tidak akan sunyi daripada keganasan, keamanan seolah-olah masih jauh untuk menghampiri biar pun pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan wilayah penduduk Islam itu kembali tenteram.
Ternyata tahun 2012 masih meletakkan selatan Thailand dalam konflik tidak berkesudahan. Serangan bom dan serang hendap masih menyelubungi wilayah di selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.
Apa yang berlaku, kelmarin dianggap terburuk apabila serangan bom berlaku di Yala dan Hatyai. Kejadian itu meningkatkan jumlah nyawa yang terkorban, mangsa yang cedera dan kemusnahan harta benda.
Menurut angka terbaru Deep South Watch, badan yang memantau konflik di selatan Thailand, hampir 5,000 orang termasuk penduduk Islam dan penganut agama Buddha terbunuh dan 8,300 lagi cedera sejak kekacauan bermula pada 2004.
Persoalan yang bermain di fikiran kita kenapakah begitu sukar selatan Thailand hendak didamaikan? Siapakah yang sebenar bertanggungjawab? Sumber-sumber perisikan ketika dihubungi tidak menafikan bahawa serangan berkenaan mungkin ada kaitan dengan puak militan yang sememangnya berterusan ingin berkonfrantasi dengan pihak berkuasa Thailand.
Menurut sumber itu, ketika ini Barisan Revolusi Nasional Koordinat (BRN-C) turut dikaitkan dengan keganasan yang berlaku di wilayah berkenaan.
''Mereka ini diketuai oleh ulama-ulama ekstrem yang bercita-cita untuk menuntut kemerdekaan atas nama Pattani Darussalam. Ia juga turut meliputi dua wilayah lain iaitu Yala dan Narathiwat,'' kata sumber itu ketika dihubungi.
Sasaran kelompok ini kata sumber itu ialah golongan muda yang mudah dipengaruhi memandangkan golongan tua tidak mahu terlibat dalam konflik dengan kerajaan Thailand.
''BRN-C adalah kumpulan pertama yang disyaki terlibat dalam keganasan di selatan Thailand, bagaimanapun ada juga yang menyatakan apa yang berlaku adalah perbuatan agensi kerajaan Thailand sendiri,'' kata sumber itu.
Mengulas lanjut sumber itu, berkata, tindakan agensi itu bagi memastikan bajet kewangan yang diperuntukan oleh kerajaan akan berterusan apabila pergolakan terus berlanjutan di wilayah itu.
''Difahamkan bajet berkenaan akan berakhir tempoh pada Oktober ini, oleh itu mereka didakwa tidak mahu bajet berkenaan diberhentikan kerana ia akan menyukarkan mereka membeli peralatan ketenteraan,'' kata sumber itu.
Selain itu turut dikaitkan dalam usaha mencetuskan keganasan di selatan Thailand ialah kelompok yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Menurut sumber tersebut, kelompok yang terlibat dengan kegiatan itu tidak mahu wilayah berkenaan aman kerana ini akan menyukarkan aktiviti mereka.
''Golongan itu mahukan pihak berkuasa terus sibuk dengan usaha mengekang keganasan yang dicetuskan oleh pelampau dan melalui cara ini pihak berkuasa tidak ada masa memantau atau membanteras kegiatan pengedaran dadah,'' kata sumber tersebut.
Namun begitu semua itu setakat ini masih lagi menjadi teori dan jangkaan semata-mata, ia memandangkan belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab. Tetapi apa yang pasti usaha perlu dilakukan untuk memastikan selatan Thailand tidak terus bermandi darah sehingga mengorbankan nyawa insan tidak berdosa.
Dalam soal ini, tidak perlulah kita melayan pemimpin-pemimpin puak pemisah yang berada di luar negara yang akan mendakwa mereka bertanggungjawab dalam serangan. Hakikatnya, mereka ini menurut sumber-sumber perisikan tidak ada apa-apa kuasa pun tetapi sengaja membuat pengakuan demi kepentingan peribadi.
''Mereka tidak ada apa-apa pengaruh malahan masyarakat di selatan Thailand pun tidak mengenali siapa kelompok ini yang mengaku menjadi pemimpin pejuang kepada masyarakat Islam di wilayah itu,'' kata sumber tersebut.
Oleh itu adalah baik jika kerajaan Thailand menumpukan perhatian bagaimana hendak menamatkan konflik yang berlaku dengan memikirkan kembali kerjasama dengan Malaysia. Cadangan ini bukanlah bertujuan meminta Malaysia campur tangan dalam urusan dalaman Thailand tetapi sebagai negara jiran, Malaysia tidak terlepas daripada terkena tempias akibat kekacauan yang berlaku di negara Gajah Putih itu.
Sebelum ini, Malaysia sudah pun menunjukkan kesungguhan membantu Thailand dalam mewujudkan perdamaian di selatan negara itu dengan menubuhkan Task Force 2010 yang dipimpin oleh bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar.
Task Force itu dikatakan berjaya memainkan peranannya dalam membantu masyarakat Islam mencintai perdamaian dan menolak sebarang bentuk keganasan. Ia dilakukan melalui pelbagai program dan pendekatan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat selatan Thailand serta berupaya memberi keyakinan kepada penduduk Islam untuk menyokong kerajaan mereka.
Oleh itu adalah perlu demi kepentingan bersama kerajaan kedua-dua negara menimbangkan semula kewujudan Task Force tersebut bagi memastikan usaha membawa keamanan dan kedamaian di selatan Thailand akan tercapai. Ia memandangkan kerajaan Thailand tidak mampu berharap kepada golongan ulama di wilayah selatan untuk membantu kerana kelompok berkenaan berada di dalam dilema.
''Kelompok ini sememangnya diberi peluang mengembangkan syiar Islam secara bebas oleh kerajaan Thailand tetapi mereka tidak berani untuk menyokong kerajaan secara terbuka.
''Ia memandangkan dalam masa yang sama, mereka mendapat tekanan daripada puak militan yang sudah mengisytiharkan mana-mana ulama yang membantu kerajaan Thailand darah mereka halal untuk dibunuh,'' kata satu sumber perisikan kepada penulis.
Justeru adalah perlu, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra meneruskan komitmennya untuk meminta Malaysia membantu mencari jalan penyelesaian berpanjangan terhadap pergolakan di selatan negara jiran itu.
Permintaan Thailand itu sudah disampaikan oleh Yingluck kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mereka bertemu di Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu. Apatah lagi Najib sendiri sudah memberi nasihat bahawa penduduk di selatan Thailand tidak harus mewujudkan negara berasingan. Mereka harus menolak keganasan dan setia kepada Raja Thailand.
''Di bawah prinsip ini kita mesti berusaha untuk mencari penyelesaian termasuk meningkatkan penyertaan ekonomi penduduk tempatan serta membolehkan mereka mempunyai suara lebih besar dalam perkara yang dekat di hati seperti pendidikan, agama dan hal ehwal budaya," kata Najib.
Berdasarkan hasrat murni Malaysia itu, maka tidak keterlaluan jika kerajaan kedua-dua negara menimbang kembali kewujudan organisasi seperti Task Force 2010. Apa pun konflik di selatan Thailand harus ditamatkan kerana ia memberi kesan yang amat buruk kepada kehidupan masyarakat Islam di wilayah berkenaan.
Semua itu hanya boleh dicapai jika ada keikhlasan di kalangan semua pihak terlibat untuk duduk semeja bagi menamatkan konflik. Serangan bom sehingga membunuh nyawa tidak berdosa tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya, hanya mencetuskan dendam berpanjangan.
Sumber : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan