Selasa, 10 April 2012
ISU KENEGARAAN : Generasi muda perlu hayati sejarah negara
Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
MUTAKHIR ini, isu berkaitan sejarah negara menarik perhatian dan minat khalayak apabila terdapat pihak-pihak tertentu cuba memutar belit dan mengemukakan fakta-fakta mengelirukan.
Lebih dahsyat ada yang mengemukakan fakta baru mengenai sejarah kita menerusi kupasan sesuatu fakta mengikut persepsi sendiri demi menyokong ideologi tertentu.
Akibatnya, rakyat terutamanya generasi muda yang tidak melalui zaman kemerdekaan dan pembentukan negara semakin keliru.
Lebih malang, kita hanya bergantung kepada buku sejarah yang diajar di sekolah bagi mengajar anak-anak kita mengenai sejarah negara ini menyebabkan hanya pelajar yang minat membaca dan menghafal mampu memahami.
Sebaliknya kebanyakan pelajar sekarang tidak begitu berminat mempelajari mata pelajaran berbentuk fakta.
Antara isu berkaitan sejarah negara yang mula mencetuskan polemik dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mutakhir ini ialah berkaitan sejarah kemerdekaan negara.
Ia membabitkan penafian terhadap kekejaman komunis dan kehebatan pahlawan negara, persoalan pembentukan kontrak sosial oleh pemimpin politik dan pejuang kemerdekaan dari pelbagai kaum, status penjajahan Tanah Melayu, polemik kewujudan Hang Tuah serta cabaran terhadap kandungan Perlembagaan Negara.
Ini adalah antara perkara dan peristiwa penting membabitkan sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara kita.
Bagi generasi hari ini mereka tidak berpeluang meniti zaman-zaman yang penuh mencabar itu sebaliknya hanya mampu membaca dan mengetahuinya melalui bahan bacaan seperti buku-buku sejarah di samping melalui mata pelajaran sejarah yang diwajibkan di sekolah.
Sejauh mana generasi muda sekarang berminat mengenai sejarah negara ini adalah suatu persoalan yang sangat subjektif dan sukar digambarkan.
Malah, jika kita membuat kajian terhadap sekumpulan anak muda zaman ini untuk menguji kecerdikan dan pengetahuan mereka mengenai sejarah negara pastinya akan lebih menjurus kepada rumusan yang cukup mengecewakan.
Penulis berani mengatakan bahawa kebanyakan anak muda sekarang langsung tidak mengetahui fakta dan peristiwa penting yang membabitkan sejarah negara seperti nama-nama pejuang kemerdekaan.
Misalnya masih ada yang tidak tahu siapa Tunku Abdul Rahman, tidak tahu tarikh-tarikh penting seperti bila Tanah Melayu diserang Jepun, kejadian berdarah Bukit Kepong serta tahap kezaliman komunis yang cukup mengerikan.
Mereka bukan saja tidak tahu malah juga tidak mahu mengambil tahu ataupun berusaha untuk mempelajarinya atas alasan tidak perlu dan tidak membawa apa-apa manfaat. Jelas mereka masih tidak memahami kepentingan untuk menghayati sejarah negara sendiri.
Ini menunjukkan mereka lebih berminat untuk menumpukan perhatian kepada masa depan kerjaya, keluarga dan kewangan berbanding masa depan negara kita.
Namun, satu perkara yang mereka lupa ialah segala perancangan masa depan mereka itu akan hancur dan musnah andai masa depan negara ini tidak terus dipelihara.
Akibatnya, mereka mudah leka dan tidak kisah mahupun peduli andai fakta-fakta penting sejarah negara diputar belit oleh pihak tertentu.
Lebih malang lagi akibat kecetekan ilmu mengenai sejarah negara, mereka mudah terpengaruh dan terus mempercayai penyelewengan fakta terbabit.
Ini membuktikan subjek sejarah yang diajar di sekolah belum mampu menyemai perasaan kasih dan sayang golongan muda ini kepada negara sehingga mereka sanggup menghayati dan mempelajarinya sungguh-sungguh.
Generasi muda ini belum melihat subjek sejarah sebagai suatu ilmu penting kepada mereka.
Persepsi bahaya ini perlu dibendung dan diatasi dengan segera demi membentuk sebuah generasi masa depan yang mampu mempertahankan tanah air kelak.
Dalam hal ini saya sangat setuju dengan pandangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menekankan bahawa pengajaran sejarah di sekolah amat penting.
Jika generasi muda tidak mengerti sejarah dan budi perjuangan luhur, kesilapan kita ialah lantaran mereka tidak diajar secukupnya sejarah sebenar.
Dalam hal ini kita tidak berniat untuk menuding jari menyalahkan pihak sekolah, guru mahupun Kementerian Pelajaran.
Bagaimanapun, penulis berpandangan pihak-pihak ini perlu menggiatkan lagi inisiatif dan usaha untuk menjadikan subjek Sejarah sebagai suatu subjek menarik untuk dipelajari oleh anak-anak muda kita.
Ini penting kerana bilangan pelajar yang mampu dan layak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi membolehkan mereka mempelajari sejarah negara mahupun dunia di universiti adalah masih rendah berbanding yang hanya mampu memperoleh pendidikan asas di peringkat sekolah.
Justeru, penekanan sememangnya wajar diberikan pada peringkat sekolah yang mengajar perkara asas mengenai sejarah negara kita.
Selain mewajibkan kelulusan subjek Sejarah di peringkat peperiksaan sekolah, ia juga perlu dipastikan agar dipelajari dan dihayati sepenuhnya oleh anak-anak kita.
Kita tidak mahu mereka hanya membaca dan menghafal untuk lulus peperiksaan semata-mata yang akhirnya lupa dengan segera apa yang dihafal.
Dalam hal ini apa yang penting ialah tahap penghayatan mereka yang diharap berkekalan untuk selama-lamanya dan diperturunkan kepada generasi selepas mereka.
Hal ini hanya akan berlaku andai mereka benar-benar mencintai sejarah negara ini.
Pada masa yang sama, kita berharap generasi muda hari ini akan lebih insaf pengorbanan generasi terdahulu seterusnya lebih bertanggungjawab terhadap negara kita.
Saya berharap kelompok anak muda ini di samping meminati pelbagai gajet canggih seperti iPad, iPhone dan Blackberry, jangan lupa menyelak dan membaca buku-buku sejarah negara.
Ringkasnya generasi muda perlu menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara kita yang sangat unik dan istimewa ini selain perlu sedar merekalah yang bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankannya kelak.
Kita perlu sentiasa ingat bahawa sekali kita merdeka tidak bermaksud akan merdeka selama-lamanya andai kita gagal memelihara dan menghayatinya.
Penulis ketua bahagian perancangan korporat Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan