Khamis, 12 April 2012
ISU KENEGARAAN : Ke arah menempa demokrasi keemasan
Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Pertama-tama, sebesar-besar pujian dan rasa syukur diucapkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah melimpah taufik dan kurnia-Nya kepada kita semua agar hidup dalam aman dan kerukunan.
Ampun Tuanku,
Menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Menghadap Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.
Sebagai bunga mukadimah, patik bagi pihak Kerajaan, anggota keselamatan, penjawat awam dan rakyat Malaysia sekaliannya mempersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Tuanku berdua sempena pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong keempat belas, pada pagi yang penuh beristiadat ini.
Sesungguhnya, lembaran-lembaran kehidupan sejak zaman berzaman menyaksikan setiap satu perkara akan tiba jua pada waktunya. Setiap satu peristiwa pula akan berlaku pada tempoh dan saatnya. Maka, setelah lebih 40 tahun berlalu pada pagi yang nyaman dan syahdu ini, Malaysia sekali lagi mengukir dan memahat pada titik-titik garisan sejarah negara yang bitara lagi tersendiri, apabila bertakhta buat kali keduanya, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Sayugia majlis pertabalan ini menjadi perlambangan betapa utuhnya institusi kebangsaan yang telah terzahir sejak lebih lima dekad lalu. Inilah cerminan kebijaksanaan pentadbiran bapa-bapa pengasas pertiwi tercinta yang bertali arus lagi sambung menyambung semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman sampailah kini dalam mengadun dan menenun fabrik warisan lampau serta keperluan masa depan demi mencipta kestabilan nasional.
Hasilnya, lahirlah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berteraskan falsafah Persekutuan serta prinsip ketertinggian perlembagaan itu sendiri. Lalu wujudlah sebuah ekosistem sebagai pemangkin kepada transformasi Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
Ampun Tuanku,
Membuka lipatan-lipatan waktu, negara kita telah diuji dan dihadapkan dengan pelbagai episod genting seperti darurat, pemberontakan Parti Komunis Malaya, era konfrantasi dan insurgensi.
Kemudiannya, ketidakstabilan ini ditambah buruk oleh pergeseran kaum akibat dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Era luar biasa tersebut memerlukan langkah yang juga luar biasa untuk menanganinya. Kini, masa telah berkisar, musim juga beralih. Maka, sebagai Kerajaan yang menjunjung kepentingan rakyat, langkah luar biasa wajar diambil berpaksikan keberanian moral demi perubahan dan pembaharuan.
Ampun Tuanku,
Sempena sambutan Hari Malaysia ke-48, patik bagi pihak Kerajaan telah mengumumkan sebuah road map dalam memeta perubahan dan pembaharuan landskap siasah negara melalui Program Transformasi Politik atau PTP.
PTP adalah sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional yang melibatkan komponen Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Luar Bandar.
Bagi menjelaskan lagi, sebenarnya, usaha-usaha untuk merencana segala bentuk transformasi tersebut, bermula tiga tahun lalu, adalah sebagai tapak, kerangka serta landasan yang mencakupi semua aspek dan bidang. Apa yang penting, matlamat akhirnya adalah untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Sebetulnya lagi, PTP digembleng atas sebab Kerajaan Tuanku menginsafi bahawa keinginan muncul sebagai negara maju menuntut kepada kemajuan kedua-dua elemen, iaitu hardware atau perkakasan, serta software yakni perisian.
Hakikatnya, kehebatan infrastruktur fizikal semata-mata tanpa terbangunnya kesetaraan dari segi roh, semangat serta kesegaran intelek, sesebuah kemajuan itu mana mungkin bersifat mapan.
Menjengah sudut pandang yang lain, Kerajaan Tuanku percaya bahawa setelah lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang tinggi.
Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia memasuki era baru di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang dilindungi perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin.
Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan.
Ampun Tuanku,
Bersesuaian dengan iltizam, Kerajaan Tuanku melalui Parlimen telah pun membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuatkuasa dan akan membiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan tersebut mansuh pada bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen.
Rang undang-undang berkenaan adalah yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.
Kerajaan Tuanku juga telah mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU.
Pada hari Isnin depan, bersamaan 16 April ini, di Parlimen, patik akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Pada hemah kerajaan, meskipun ISA telah banyak berjasa kepada negara, ia telahpun melampaui jangka hayat kegunaannya.
Ringkasnya, kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks.
Di bawah undang-undang baru, Kerajaan Tuanku mengambil keputusan untuk menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri Dalam Negeri manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan kini dipendekkan. Kuasa semakan kehakiman pula akan dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah.
Rang Undang-Undang ini juga menjamin bahawa tidak ada seorang pun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.
Ampun Tuanku,
Pendek kata, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni Langkah-Langkah Khas bukan sahaja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan demokrasi berparlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan warganegara.
Kesimpulannya, semua prakarsa, inisiatif dan program ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan tempoh pemerintahan Tuanku, Insya-Allah, akan menempa sebuah kala demokrasi keemasan di Malaysia.
Ampun Tuanku,
Sememangnya peranan Raja-Raja Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melaka, tempoh sebelum merdeka, membawa kepada mencapai kemerdekaan telah tersulam kemas sehinggalah kini dalam perjalanan Malaysia pada era moden.
Kendatipun pertautan raja dan rakyat sedang menyelusuri jejak-jejak waktu, namun ia kekal relevan mendakap realiti semasa. Benarlah bagai dikata hubungan raja dan rakyat terpisah tiada. Bagai aur dengan tebing, saling melengkapi. Ikatan kedua-duanya begitu simbiotik, berputik melalui wa'ad dan bai'ah yang telah terpateri kukuh di Bukit Siguntang Mahameru antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun serta kisah-kisah dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
Selanjutnya lagi, tawarikh telah turut membuktikan apabila perhubungan antara keduanya disuburi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam, maka sebarang apa pun kemelut yang dihadapi negara dapat ditangani dengan jayanya.
Ampun Tuanku,
Sehubungan itu, patik sekali lagi mewakili kerajaan dan rakyat seluruhnya merakamkan rasa bangga kerana tonggak institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara kembali dipegang oleh Tuanku yang sangat berpengalaman dan terkenal mengasihi rakyat jelata.
Laginya, serasa pula tidak lengkap, seandainya patik dan pihak keluarga tidak mengambil kesempatan ini secara khusus bagi melahirkan rasa bertuah kerana setelah Allahyarham ayahanda patik berpeluang berkhidmat dengan Tuanku, kini ditakdirkan pula giliran patik untuk menumpah khidmat. Segalanya dalam perhitungan Allah, dan mudah-mudahan Tuhan yang Maha Esa memberi pertolongan dan inayah-Nya kepada kita semua.
Ampun Tuanku,
Akhir kalam, patik bagi pihak kerajaan, hamba rakyat, putera puteri watan ini serta segenap jajah takluknya dengan penuh rasa kasih mesra yang marak lagi menyala, memohon semoga Allah S.W.T melanjutkan usia Tuanku dan Tuanku Permaisuri serta sentiasa terpelihara dalam keadaan sihat walafiat. Moga-moga Tuanku berdua kekal bersemayam di atas takhta Persekutuan dan dipermudahkan segala urusan bagi menjalankan tugas-tugas rasmi negara, demi Malaysia yang tercinta.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ampun Tuanku.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan