Selasa, 17 April 2012
ISU KENEGARAAN : Ruang demokratik yang mencukupi
Bismillahirrahmanirrahim
“Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dibacakan kali yang kedua sekarang.”
Tuan Yang di-Pertua,
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Di ambang Hari Malaysia 16 September 2011 yang lalu, saya telah mengumumkan inisiatif Program Transformasi Politik Negara atau PTP yang melibatkan pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Serentak dengan itu, setelah tujuh bulan berlalu, bukan sekadar semua komitmen ini sedang dilunaskan, kita juga meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti sebagai mengiktiraf kematangan juga hak perlembagaan mahasiswa mahupun mahasiswi terlibat dalam politik berparti.
Tuan Yang di-Pertua,
Menghalusi komponen-komponen Dasar Transformasi Nasional, Program Transformasi Kerajaan atau GTP melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP lebih responsif kepada keutamaan massa bagi memastikan masyarakat luar bandar memiliki kemudahan prasarana asas yang moden dan mencukupi. Program Transformasi Ekonomi atau ETP bersesekali dengan Model Baru Ekonomi atau NEM pula bertujuan mencapai matlamat nasional menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, sering kita sebutkan, seandai terkedepan dari segi infrastruktur fizikal atau material semata-mata tanpa kematangan institusi serta wacana politik nasional, mana mungkin mencerminkan kemajuan sebenarnya.
Dalam kata lain, kita ingin merealisasikan potensi Malaysia, bukan setakat menjadi negara demokratik, tetapi lebih daripada itu, untuk melonjakkan tempatnya pada kedudukan disegani di kalangan komuniti negara-negara yang menghormati hak asasi manusia. Lantaran itulah, inisiatif PTP ini bermatlamat bagi memastikan proses pembaharuan dan perubahan nasional dilaksanakan dengan tuntas.
Sememangnya ini adalah satu proses berterusan dan menuntut komitmen semua rakyat Malaysia. Ia bukan misi singkat yang mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun, sebaliknya ia memerlukan iltizam bersifat generasi ke generasi.
Tuan Yang di-Pertua,
Jelas sekali, perubahan dan pembaharuan lanskap politik yang sedang kita lakukan kini melalui PTP adalah bagi menangani kejayaan membangunkan negara selama lebih separuh kurun semenjak merdeka. Ia hasil usaha tidak kunjung jemu oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi, menyediakan prasarana fizikal moden, membuka akses kepada prasarana teknologi maklumat serta komunikasi yang menyeluruh sekali gus pelaburan besar dalam bidang pendidikan.
Melalui pindaan, pemansuhan dan penggubalan undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea. Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia di mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk berhimpun secara aman dan untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi.
Berdiri di muka gerbang semua ini, segalanya kita mampu gemblengkan kerana kita yakin dengan kematangan semua, kerana kita yakin dengan kesediaan rakyat Malaysia, dan mustahaknya kita yakin bahawa ini adalah perkara yang betul dan wajar untuk dilakukan. Apa yang penting, setiap hak mahupun kebebasan mestilah bersulam dengan tanggungjawab, dengan izin, “freedom with responsibility”.
Tuan Yang di-Pertua,
Jika ditinjau, senario antarabangsa sekalipun, peristiwa dan waktu menunjukkan untuk mencapai tahap demokrasi yang ada seperti hari ini, Amerika Syarikat dan United Kingdom mengambil tempoh berabad lamanya melalui proses perlembagaan, perang saudara, perundangan malah usaha tanpa henti oleh masyarakat sivilnya.
Lain halnya, kita bersyukur kepada Tuhan bahawa usaha evolusi demokrasi negara ini tidak melibatkan pertumpahan darah bahkan ia berkait rapat dengan evolusi sosioekonomi. Seperti diimbas lebih lima dekad yang lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaya pada ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak, dalam dewan yang mulia ini juga telah membentangkan rang undang-undang Keselamatan Dalam Negeri 1960 bagi menyediakan negara dengan perkakasan perundangan yang perlu bagi mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang pasca tamatnya era darurat.
Jadinya, hari ini amat bersejarah dalam menyisir susur galur demokrasi Malaysia. Pentadbiran kini yang sentiasa prihatin merasai denyut nadi rakyat, yang sentiasa mendengar keluh kesah mereka, dan sentiasa mendakap aspirasi massa telah mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA. Kita hakikatnya telah memasuki era demokrasi yang lebih matang di mana peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung agar mereka dapat menikmati hak-hak asasi yang sepatutnya.
Tuan Yang di-Pertua,
Tidak ada sesiapa pun mampu menafikan bahawa selama lebih setengah abad kewujudannya, ISA berperanan bagi melindungi cara hidup demokratik di negara tercinta ini.
Ironisnya, undang-undang yang dianggap draconian ini telah memastikan demokrasi, hak asasi manusia dan human dignity dilindungi di Malaysia berbanding alternatif lain jika negara ditadbir oleh sistem kediktatoran komunis.
Namun, masa telah beralih dan peranan ISA telah tiba ke penghujungnya. Kerajaan menyedari hakikat ini dan komited bagi memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif.
Hari ini sudah lebih dua dekad pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara berakhir. Ideologi komunisme sudah tidak lagi mendapat tempat sebagai asas pemerintahan negara-negara di dunia. Namun, berakhirnya ancaman ideologi ini tidaklah membawa era keamanan global yang diharapkan sebaliknya ia menyaksikan ancaman komunisme diganti oleh ancaman keganasan antarabangsa yang berteraskan ideologi ekstremisme.
Kedua-dua ideologi ini walaupun berbeza, namun mempunyai titik persamaan matlamat, iaitu kedua-duanya mahu merubah corak pemerintahan negara yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dengan menggunakan keganasan dan cara-cara tidak berperlembagaan. Soalnya, matlamat ini sama sekali tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kemajmukan.
Oleh yang demikian, menangani cabaran anti demokratik pasca komunisme yang lebih kompleks dan canggih, negara bukan sahaja memerlukan perisai iaitu kematangan politik rakyat tetapi juga pedang di dalam bentuk Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012. Rang undang-undang ini mewujudkan langkah-langkah khas diperlukan untuk menangani kes-kes keselamatan seperti yang terkandung dalam Bab Enam Kanun Keseksaan.
Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 digubal di bawah lembayung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Keluwesan diberi kepada kerajaan untuk menggubal perundangan yang tidak selaras dengan Perkara-Perkara 5 dalam hal kebebasan diri, Perkara 9 berkaitan larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, Perkara 10 berhubung kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan serta Perkara 13 tentang Hak terhadap harta.
Hendaklah diketahui bahawa, meskipun Rang Undang-Undang ini akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Rang Undang-Undang ini tidak akan menjejaskan penahanan orang yang sedang ditahan kecuali perintah itu dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri.
Di bawah pindaan undang-undang ini, aktiviti “menjejaskan demokrasi berparlimen” ditafsir sebagai suatu aktiviti yang dilakukan oleh seorang atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan Perlembagaan.
Secara mudahnya jika ada mana-mana rakyat Malaysia sama ada individu, kumpulan atau parti politik berhajat merubah teras asas pemerintahan negara iaitu Demokrasi Berparlimen kepada misalnya pemerintahan yang bersifat teokratik, mereka haruslah menggunakan cara-cara yang diabsahkan oleh Perlembagaan Persekutuan yakni melalui peti undi untuk mendapat sokongan majoriti rakyat. Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa rupa bentuk Kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat itu sendiri.
Tuan Yang di-Pertua,
Menyedari bahawa rang undang-undang ini digubal di bawah Perkara 149 dan ia membenarkan penahanan individu oleh pihak polis untuk tujuan siasatan yang luar dari norma kebiasaan tatacara jenayah dan undang-undang keterangan yang lazim, maka, kerajaan telah mengambil keputusan mengadakan beberapa lindung jamin atau “safeguards” seperti berikut;
Pertama melalui peruntukan Seksyen 4 Sub-Seksyen 3, “tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”. Ini membawa maksud perlindungan kepada penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi undang-undang melalui :-
(a) pernyataan pendapat atau pengambilan tindakan yang dibuat menurut rukun suatu parti politik yang pada masa yang berkaitan itu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang terbukti melalui -
(i) keanggotaan atau sumbangan kepada parti itu; atau
(ii) penyertaan terbuka dan aktif dalam hal ehwal parti itu;
(b) pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) pengambilan tindakan yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan.
Kedua, pemansuhan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu. Fasal 4 rang undang-undang baru ini menyentuh tentang kuasa penangkapan dan penahanan. Di bawah fasal ini, polis mempunyai kuasa khas untuk menangkap dan menahan mana-mana orang yang polis mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang itu terlibat dengan kesalahan keselamatan.
Perlu ditekankan disini bahawa, kuasa penangkapan dan penahanan ini adalah untuk tujuan penyiasatan semata-mata. Orang yang ditangkap dan ditahan di bawah fasal ini boleh ditahan untuk tempoh 24 jam bagi maksud penyiasatan. Walau bagaimanapun, polis boleh melanjutkan tempoh tahanan tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.
Selanjutnya, jika polis berpandangan bahawa, penahanan lanjut tidak diperlukan selepas 24 jam atau pada bila-bila masa selepas itu, maka, orang itu boleh dilepaskan tetapi boleh dipasang dengan peranti pengawasan bagi maksud penyiasatan bagi suatu tempoh masa yang tidak melebihi baki tempoh tahanan yang dibenarkan.
Mereka yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan. Ringkasnya, kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah bukan seperti peruntukan dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman kecuali dalam tatacara tahanan.
Berkaitan itu, ingin ditegaskan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa akan menghormati apapun keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Dalam erti kata lain, seseorang yang telah dilepaskan, tidak akan ditahan semula, atas siasatan kesalahan yang sama.
Ketiga, ialah “sunset clause” bagi tempoh tahanan 28 hari hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan, jika, apabila semakan dibuat, suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.
Tuan Yang di-Pertua,
Lindung jamin keempat ialah Fasal 5 memperuntukkan bahawa apabila seseorang ditangkap dan ditahan di bawah fasal 4, polis yang menjalankan penyiasatan hendaklah memberitahu waris kadim atau next-of-kin orang yang ditangkap dan ditahan itu sesegera mungkin mengenai penangkapan dan penahanannya. Pihak polis juga hendaklah memenuhi hak mengguami atau, dengan izin, right to attorney, si ditahan tidak lewat daripada 48 jam.
Lindung jamin kelima, dalam jangka masa yang tidak lebih daripada tamatnya tempoh tahanan, pegawai polis yang menjalankan siasatan itu perlu menghantar Kertas Siasatan kepada pendakwaraya di mana beliau hendaklah membuat keputusan sama ada mendakwa tertuduh di mahkamah atau membebaskannya. Ini bererti, tidak akan ada tahanan selepas tempoh 28 hari.
Lindung jamin keenam ialah apabila Akta ini berkuat kuasa, Kerajaan juga akan menubuhkan suatu Jawatankuasa secara pentadbiran untuk menyemak keseluruhan Akta ini dari masa ke semasa dan Jawatankuasa ini akan juga bertanggungjawab untuk meneliti pelaksanaan Akta tersebut dan mengemukakan syor untuk penambahbaikan. Jawatankuasa ini akan dianggotai bukan sahaja oleh agensi yang berkenaan tetapi juga Presiden Majlis Peguam dan SUHAKAM.
Lindung jamin terakhir dan terbesar adalah kuasa dan kehendak rakyat. Kita harus maklum bahawa, di tangan rakyatlah kuasa setiap lima tahun untuk mengamanahkan parti atau gabungan parti mana yang hendak diberi kuasa sebagai kerajaan. Itulah teras asas sistem demokrasi berparlimen.
Tuan Yang di-Pertua,
Bahagian V rang undang-undang ini pula memperkatakan perbicaraan kes kesalahan keselamatan. Di bawah Bahagian ini terdapat 2 fasal iaitu fasal 12 yang memperuntukkan bahawa kes yang melibatkan kesalahan keselamatan akan dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.
Dengan mengambil kira keseriusan kesalahan keselamatan, adalah dicadangkan supaya mahkamah khas diwujudkan secara pentadbiran untuk mendengar kes-kes keselamatan di bawah Rang Undang-Undang ini. Para Hakim yang berpengalaman akan diberi pendedahan kepada semua bentuk kesalahan keselamatan dan peruntukan undang-undang yang akan digunakan.
Tuan Yang di-Pertua,
Pembentangan rang-rang undang kesalahan keselamatan 2012 ini, tidak bermakna berakhirnya usaha yang telah dimulakan tujuh bulan lalu. Pastinya, kerajaan akan meneruskan usaha perubahan dan pembaharuan politik yang mulia ini. Untuk itu, suka saya mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan tanpa mengenepikan apa-apa opsyen.
Paling utama, tiga prinsip perlu kekal dalam sebarang evolusi kerangka perundangan baru ini adalah untuk menangani perbuatan dan perlakuan berikut yang :-
i) mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;
ii) mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau
iii) mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan juga akan menggubal rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Rang undang-undang baru ini akan mengekalkan janji kerajaan untuk menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan serta menubuhkan Majlis Media yang akan melaksanakan kawal-selia kendiri industri, atau dengan izin, self regulatory.
Sememangnya lagi, kita tidak takut dan gentar bagi bersaing dalam gelanggang demokrasi, kita tidak takut berbanding idea serta dasar dengan sesiapa pun. Kerajaan bersikap terbuka kerana kita percaya era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir, dan kita akur bahawa era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah melabuhkan tirainya.
Dari yang demikian, kita percaya kita telah melakukan yang terbaik demi rakyat Malaysia. Kita akan terus melaksanakan yang terulung untuk rakyat Malaysia. Memang ternyata, kerja kita masih belum selesai. Kita perlu berikhtiar dengan lebih keras bagi memastikan anak-anak Malaysia hidup dalam sebuah negara yang aman sejahtera, makmur lagi bebas daripada ketakutan, kegundahan dan kebimbangan.
Pokoknya, kita sedang mencipta sebuah negara di mana keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi payung kepada setiap individu, agar bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah, mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan.
Pendek kata, tidak ada sesiapa akan dihukum hanya-sanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
Akhir kalam, kita idam-idamkan sebuah Malaysia yang terbaik untuk warganya sebagai tanah tumpah darah mereka. Demi itu, Kerajaan Barisan Nasional akan tetap berdiri teguh, sesekali tidak akan berundur, bahkan berkobar-kobar meneruskan proses tajdid dan islah nasional, menyongsong nahdhoh keemasan demokrasi Malaysia. Insya-Allah.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang. Sekian, terima kasih.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan