Isnin, 16 April 2012
ISU KESIHATAN : Tekanan berpunca daripada kecelaruan, kelemahan jiwa
Oleh Syed Abi Ghufran al-Idrus Syed Ahmad al-Idrus
bhagama@bharian.com.my
‘Kembali’ kepada Tuhan ubati segala resah dalam hati ummah
TEKANAN fitrah kehidupan kerana selagi bernama manusia dan dalam kehidupan moden serba mencabar ini, tekanan menjadi sebahagian makanan serta pakaian kita. Suka atau tidak, tiada satu hari pun yang berlalu tanpa perlu berdepan situasi boleh mencetuskan tekanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi Sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155).
Tekanan perasaan atau keluh kesah biasanya akan dialami oleh orang yang dalam dirinya ada sifat dengki, iri hati, cemburu, benci, berprasangka buruk pada orang lain, suka menjaga tepi kain orang, tidak pernah berasa puas dengan apa dimiliki.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang sudah berlaku kepada orang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah, ayat 214)
Allah SWT mengingatkan, dalam kehidupan kita tidak akan sunyi daripada ujian dan kesusahan. Ia bukan saja dilalui kita bahkan oleh umat terdahulu. Segala bentuk ujian dan kesusahan itu akan membentuk tekanan kepada manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’ad, ayat 28)
Tekanan kadang-kadang memberikan impak positif seperti membuatkan seseorang itu bekerja keras, membina daya kreativiti, lebih berkeyakinan diri atau membentuk peribadi mantap dan berdisiplin.
Tetapi jika tekanan itu tidak dihadapi dengan baik atau berlebihan maka, ia akan memberi kesan buruk terhadap individu berkenaan hingga mungkin mengganggu emosi dan fizikalnya.
Sejauh mana seseorang itu dapat menghadapi tekanan, itulah ganjaran pahala diperolehnya. Semakin besar tekanan dihadapi semakin besar nilai pahala di sisi Allah SWT. Iman juga akan bertambah serta berkurang dengan tekanan yang pergi dan datang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala dari apa yang mereka sudah kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)
Muslim yang cemerlang ialah Muslim yang berjaya menghadapi setiap tekanan dalam kehidupan sama ada membabitkan masalah kerja, kesihatan, keluarga, masyarakat dan negara. Kita tidak dapat lari ujian Allah SWT maka caranya sekarang ialah belajar menghadapi dan menangani tekanan.
Allah SWT sudah menamakan tujuh golongan yang terkecuali daripada mengalami penyakit keluh kesah, kesusahan jiwa dan tekanan iaitu mereka yang mengerjakan solat, bersedekah, meyakini hari pembalasan, menjaga faraj dan kehormatan diri, menjaga amanah dan janji, menjadi saksi yang adil dan jujur serta memelihara solat.
Islam tidak melihat punca tekanan dikaitkan dengan tekanan mental semata-mata. Tekanan sebenarnya berpunca daripada kecelaruan, kelemahan hati, roh, nafsu dan akal. Kelemahan hati menyebabkan rapuhnya hubungan individu dengan Allah SWT sehingga dirasakan hidup menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar bagi setiap inci masalah.
Islam menganjurkan beberapa cara untuk menangani tekanan antaranya tadabbur al-Quran, tafakur, banyakkan sedekah, taqarrub, berwuduk, bersangka baik terhadap Allah SWT, bijaksana dalam pengurusan masa dan tenaga, banyakkan berzikir, bersyukur, memberi kemaafan dan tawakal.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)
Lantaran itu, tekanan memang fitrah bagi manusia. Setiap dugaan yang datang adalah ujian daripada Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi-Nya. Hanya ‘kembali’ kepada Tuhan dapat mengubat segala gundah-gulana dalam hati manusia.
Hati manusia adalah milik Allah SWT. Mohonlah kepada pemilik hati itu untuk mendapat kebahagiaan, ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang bijak menangani tekanan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan