Selasa, 24 April 2012
ISU SOSIAL : Cabaran penuhi NKRA rasuah
Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my
BERDASARKAN kajian persepsi awam ke atas Program Transformasi Kerajaan (GTP) oleh firma perunding Frost & Sullivan menunjukkan ramai rakyat berpendapat usaha membanteras rasuah yang ditetapkan di bawah program tiga tahun kerajaan itu tidak berjalan seperti diharapkan.
Usaha tersebut dikatakan tidak berkesan walaupun angka-angka rasmi menunjukkan sebaliknya. Bagaimanapun, itu adalah hakikat dan cabaran mengurangkan rasuah.
Ia tidak semudah untuk membina ratusan kilometer jalan mahupun rumah-rumah mampu milik. Sifatnya yang abstrak menyebabkan hasilnya bukan sahaja sukar untuk dinilai tetapi terdedah kepada pelbagai persepsi.
Angka yang positif adakalanya dinilai sebagai negatif, manakala angka negatif yang sepatutnya menggambarkan kejayaan dilihat sebagai kegagalan.
Seperti ditegaskan Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, rasuah tidak boleh dinilai dengan statistik.
''Jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak tangkap orang, kita dikatakan tidak buat kerja sedangkan keadaan itu mungkin berlaku kerana gejala rasuah tidak ada atau sudah menurun.
''Manakala, jika tangkapan tinggi pula dilihat sebagai gejala rasuah semakin serius sedangkan pada masa sama ia boleh dinilai sebagai keberkesanan dan kecekapan anggota SPRM memerangi rasuah," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Hakikatnya rasuah tidak mudah dibanteras. Konflik dan cabaran bukan hanya pada persepsi tetapi ia merentasi semua perkara bermula daripada usaha mendapatkan tips-tips berlakunya rasuah, risikan, siasatan, proses mendapatkan bukti dan pendakwaan.
Malah dalam aspek teknikal perundangan, kes rasuah sangat rumit. Sebagai contoh kes jenayah membabitkan dadah, dadah tersebut boleh menjadi bukti kukuh bagi mensabitkan kesalahan jika berada dalam tangan tertuduh tetapi bagi kes rasuah, wang rasuah yang ada pada tertuduh tidak boleh dijadikan bukti kukuh mensabitkan berlaku kesalahan rasuah kerana banyak lagi aspek lain perlu diambil kira.
Itu belum diambil kira cara rasuah hari ini berlaku, bukan macam dahulu. Hari ini dengan menekan butang, wang sudah berpindah milik tanpa disedari. Menjejak perjalanan wang pula memerlukan kemahiran forensik tinggi.
Semua kesukaran itu bagaimanapun bukan alasan untuk mengalah, jauh sekali berdiam diri. Sebaliknya cara dan strategi baru dicari, kelemahan yang ada diperbaiki manakala peluang-peluang bagi membolehkan rasuah berlaku perlu sentiasa ditutup.
Menurut Hisham, persepsi negatif tidak seharusnya mempengaruhi semangat membanteras rasuah kerana apa yang lebih penting adalah untuk memastikan segala inisiatif dirancang dilaksanakan.
Dalam hal itu, selaku individu bertanggungjawab memastikan pelaksanaan NKRA Rasuah, beliau boleh berbangga kerana pada tahun pertama pelaksanaannya, NKRA Rasuah telah mencapai kadar pencapaian sebanyak 121 peratus dan meningkat kepada 131 peratus pada tahun kedua.
''Maknanya kita bukan sahaja berjaya melaksanakan semua pelan dirancang tetapi melebihi sasaran. Sebagai contoh, kita rancang buat 10 perkara, tetapi kita telah berjaya menyiapkan 13 perkara," katanya.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk memastikan perbicaraan kes rasuah boleh diselesaikan dalam tempoh setahun, mewujudkan parameter surat sokongan dan pangkalan data pesalah rasuah.
Selain itu pengenalan portal MyProcurement dan MyPartnership berjaya meningkatkan keberkesanan penyampaian kerajaan manakala pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membuktikan keseriusan kerajaan memerangi rasuah.
Turut berjaya dilaksanakan penubuhan dan pengukuhan unit pematuhan, sistem pusingan kerja, ganjaran dan pengiktirafan serta mengurangkan budi bicara melalui automosi.
Hisham berkata, penubuhan mahkamah khas rasuah juga disusuli dengan langkah melantik hakim yang berpengalaman 15 tahun ke atas bagi mengendalikan perbicaraan.
Katanya, inisiatif yang dijalankan telah menyediakan satu kerangka pencegahan rasuah yang berkesan. Inisiatif tersebut bukan sahaja mencetuskan kesan ketara tetapi sedikit sebanyak mengubah keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.
Berdasarkan tinjuan Transparency International (TI) mengenai Barometer Rasuah Malaysia menunjukkan peningkatan daripada 48 peratus pada 2010 kepada 49 peratus tahun lalu. Selain itu tahap keyakinan juga meningkat dan sentimen umum berubah menjadi bertambah baik.
Malah, berdasarkan Indeks Pemberi Rasuah TI menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-15, sebaris dengan Hong Kong yang dikenali sebagai antara negara paling tegas memerangi rasuah serta memiliki undang-undang rasuah paling komprehensif.
Kejayaan juga boleh diukur dengan perubahan yang berlaku di jabatan lain seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang pertama kali berjaya mengutip hasil melebihi RM30 bilion tahun lalu. Selain usaha gigih pegawai dan anggota jabatan itu, langkah- langkah memerangi rasuah yang dijalankan sejak tiga tahun lalu bagi menutup ruang bagi berlakunya rasuah turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Hisham berkata, tindakan ke atas syarikat dan membanteras rasuah besar termasuk membabitkan pembiayaan politik merupakan antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan di bawah fasa kedua pelaksanaan NKRA rasuah.
Turut diberikan keutamaan ialah pemurnian dan penambahbaikan ke atas Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Katanya, semua inisiatif tersebut dirancang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Kerajaan Kedua (GTP2) tahun depan dan untuk itu sesi perbincangan di bawah satu makmal khas membabitkan pegawai daripada pelbagai jabatan telah diadakan baru-baru ini.
''Sebelum ini, jika berlaku rasuah, hanya individu dikenakan tindakan manakala syarikat terlepas kerana di bawah Akta SPRM tidak menyatakan dengan jelas perkara ini.
''Sedangkan, kesalahan (rasuah) dilakukan untuk syarikat dan yang untung syarikat tetapi apabila kena, syarikat tidak mengaku dan mudah terlepas. Ini yang akan kita perbetulkan supaya syarikat atau sektor korporat juga mempunyai tanggungjawab," katanya.
Hisham menambah, bagi memerangi rasuah syarikat, pihaknya merancang menjadikan Akta Rasuah United Kingdom sebagai rujukan dan penanda aras.
Mengenai rasuah politik pula beliau berkata, perkara tersebut telah dimasukkan di bawah GTP1, namun pelaksanaannya kurang berkesan.
''Oleh itu kita berharap makmal kali ini akan membincangkan lebih mendalam mengenai hal itu dan mengenal pasti langkah- langkah yang boleh diambil bagi menjayakan inisiatif berkenaan," ujarnya.
Hisham berkata, penglibatan elemen rasuah dan pecah amanah dalam aktiviti penggubahan wang haram pula salah satu sebab mengapa AMLATFA perlu dilihat semula.
Katanya, bagi menambah baik akta tersebut pihaknya akan menjadikan Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) Amerika Syarikat sebagai rujukan dan penanda aras.
Sementara itu selari dengan pindaan ke atas Akta Penerbitan dan Percetakan, pihaknya juga akan meneliti tahap ketelusan yang boleh diberikan dalam kebebasan maklumat berkaitan penyenaraian aset individu-individu penting.
''Kita akan membandingkannya dengan undang-undang yang sama di seluruh dunia," katanya sambil menambah usaha memerangi rasuah tidak pernah berhenti walaupun persepsi terhadapnya kerap tidak memberansangkan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan