Isnin, 23 April 2012
ISU SOSIAL : Perangi pengamal rasuah
Oleh ROHAMI SHAFIE
SUMO diketahui umum, sejenis sukan tradisional yang paling diminati oleh rakyat Jepun. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam sukan ini akan mendapat keistimewaan tersendiri. Namun, pada tahun lalu, dunia digemparkan dengan skandal rasuah terbesar sukan sumo di Jepun. Skandal ini merosakkan reputasi dan imej sukan ini yang wujud sejak 2,000 tahun lalu.
Ini mengingatkan kita kembali skandal bolasepak Malaysia pada era 1990-an. Ketika itu, beratus-ratus pemain bolasepak dari yang berstatus pemain elit Malaysia sehinggakan pemain simpanan skuad negeri terlibat dengan rasuah. Kebanyakan mereka diharamkan seumur hidup bermain dalam bolasepak negara. Akibatnya, bolasepak negara mengalami era kegelapan paling teruk dalam sejarah.
Ranking bolasepak negara di pentas dunia jatuh menjunam berbanding zaman kegemilangan 1970-an dan awal 1980-an. Amat dahsyat sekali penangan skandal rasuah bolasepak negara! Rasuah tidak pernah memberi apa-apa kebaikan kepada negara. Rasuah hanya memudaratkan negara dan jika tidak diperangi secara holistik mampu meranapkan ekonomi negara.
Yang menyedihkan, saban minggu kita akan dihidangkan dengan berita-berita yang melibatkan skandal rasuah. Rasuah berlaku bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang amat besar sekali tetapi juga ada di antaranya sekadar melibatkan jumlah wang yang kecil sahaja.
Rasuah bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi diperluaskan dalam bentuk seks. Amat malang sekali, ketika negara menuju ke arah negara maju, rakyatnya mengamalkan rasuah.
Rasuah masalah rakyat. Rasuah tidak mengenal sesiapa dan ia berbentuk universal. Tidak merujuk mana-mana kaum, parti politik mahupun organisasi. Ia boleh berlaku merentasi negara.
Bahkan, terdapat kes rasuah melibatkan orang "baik-baik". Tiada siapa boleh mengatakan bahawa ia hanyalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menuding jari ke arah SPRM semata-mata tidak akan menyebabkan gejala rasuah dapat dibanteras secara holistik.
Setiap individu yang mengaku sebagai warganegara Malaysia bertanggungjawab memerangi rasuah. Ia bukan perang yang memerlukan senjata. Tetapi perang sebenar yang memerlukan kekuatan dan keberanian luar biasa. Ia merupakan perang terhadap pengamalnya!
Sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi, masyarakat kita masih lagi tidak berani ke hadapan untuk melaporkan kes-kes rasuah. Puncanya, dikhuatiri terkena diri sendiri. Paling dirisaukan melibatkan periuk nasi mereka. Dipulau, diturunkan jawatan dan paling teruk dipecat.
Natijahnya, banyak kes rasuah tidak dapat diselesaikan kerana saksi tidak berani tampil memberi bukti. Terdapat juga kes rasuah tertangguh atau tidak dapat diteruskan kerana saksi malu memberi keterangan.
Memerangi rasuah haruslah bermula dari para pemimpin. Barulah orang bawahan tidak berani melakukannya. Terdapat kajian menunjukkan kepimpinan memberi kesan besar kepada orang bawahan. Rosaknya pemimpin, rosaklah orang bawahan. Ada juga kes rasuah melibatkan ketua yang sering bercakap mengenai rasuah, menuding orang lain kononnya pengamal rasuah, menguar-uarkan dirinya cukup bersih, walhal diri sendiri kotor berlumuran dengan kegiatan rasuah. Pemimpin sebegini perlu ditolak kerana akhlaknya di tahap terendah! Amat malang sekali pemimpin memberi contoh tidak baik kepada orang bawahan.
Namun, sejak akhir-akhir ini terdapat sinar cahaya dalam memerangi rasuah. SPRM begitu aktif berkempen di kalangan rakyat supaya tidak sesekali memberi dan menerima rasuah. Pelbagai wacana digunakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai rasuah.
Tidak kurang juga ada yang memperkenalkan kod dan polisi dalam memerangi rasuah. Umpamanya, Petronas memperkenalkan polisi pemberi maklumat dalam Kod Kelakuan dan Etika Perniagaan (CoBE).
Polisi pemberi maklumat ini membolehkan pekerja dan orang awam tampil ke hadapan melaporkan kes rasuah dan penyelewengan jika terdapat kes seumpama ini di dalam syarikat dan organisasi. Menariknya, CoBE disokong sepenuhnya pihak atasan yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Inilah yang dikatakan sebagai kepimpinan melalui teladan. Apabila pemimpin tidak ragu-ragu memastikan pekerjanya beretika sepanjang masa, maka, orang bawahan akan mencontohi beliau. Lebih mudah lagi jika sekiranya pemimpin itu terlebih dahulu menjadi pemimpin beretika.
Organisasi lain perlu mencontohi langkah yang diambil Petronas. Tidak kiralah sama ada organisasi itu merupakan jabatan kerajaan, syarikat, parti politik, persatuan, kelab mahupun badan bukan kerajaan.
Jangan ragu-ragu memperkenalkan dan melaksanakan kod dan polisi seumpama CoBE. Memang benar, kesan positif dari pelaksanaannya mengambil masa, namun ia merupakan antara langkah terbaik dalam memerangi rasuah di kalangan pengamalnya.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan