Sabtu, 21 April 2012
ISU SOSIAL : Politik Malaysia semakin 'tidak ikut musim'
Oleh Abdul Latif Abu Bakar
Hampir semua isu jadi modal perbualan, kegemaran rakyat pada masa lapang
BANYAK isu di Malaysia menjadi isu bermusim. Isu 'mat rempit' atau kini dikenali sebagai 'samseng jalan raya' sudah tidak menjadi bahan perbualan utama, musim isu ini sudah berlalu. Apabila berlaku kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres, isu keselamatan dan kecekapan pemandu bas ekspres akan diperbahaskan setiap hari, termasuk oleh pihak berkuasa yang mengeluarkan pelbagai kenyataan, kemudian semuanya diam. Isu dera pembantu rumah pun sudah reda, begitu juga kes buang bayi. Bagaimanapun satu isu yang tidak pernah mengenal musim ialah politik.
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kini semakin hangat diperkatakan dan persediaan ke arah itu nampak sangat rancak. Walaupun tarikh sebenar pilihan raya belum diumumkan, tukang ramal sudah membuat telahan masing-masing dan parti politik pula semakin rancak mengadakan ceramah di sana-sini. Bendera parti politik pula ada di merata-rata. Ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu hujung minggu lalu, puncak pokok kelapa mati dipanah petir menjadi tempat memacakkan bendera parti. Tinggi sungguh, dan mereka yang memacak bendera parti di puncak pokok kelapa itu sangat taksub walaupun yang paling tinggi belum tentu akan menang.
Isu politik ini akan berterusan selagi pilihan raya belum selesai, tetapi isu politik ini bukannya isu bermusim. Selepas pilihan raya nanti isu politik akan berterusan dan kita semua akan bercakap dan mendengar mengenai politik. Nampaknya benar kata seorang teman: “Politik adalah kegemaran masa lapang rakyat Malaysia!”
Rasanya sepanjang lima tahun akan datang, selepas PRU-13 nanti, kita akan masih berpolitik dan apa yang berlaku sekarang akan berterusan untuk lima tahun lagi.
Politik bertukar seakan-akan menjadi ‘darah daging’ kita terutama selepas PRU-12 apabila buat kali pertama dalam sejarah negara, parti memerintah Barisan Nasional (BN sebelum ini Perikatan) gagal mengawal majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Beberapa negeri pula jatuh ke tangan pembangkang dan menjadi sejarah sangat pahit bagi BN.
Sejak itu permainan politik Malaysia menjadi sangat ‘tidak terkawal.’ Hampir semua isu dikaitkan dengan politik daripada kes bunuh kepada kes beli kondo; daripada pemberian baucar bantuan murid sekolah kepada bantuan mangsa banjir; daripada bantuan ihsan kepada rakyat Somalia kepada janji mempertahankan keselamatan negara Israel. Hampir tiada isu yang tidak akan dikaitkan dengan politik. Kenyataan oleh parti politik – sama ada mereka menang atau kalah – pada pilihan raya akan datang juga sebenarnya sudah ada. Sama seperti kes mahkamah, jika menang, mahkamah berwibawa, kalau kalah, kerajaan didakwa kawal mahkamah!
‘Undang-undang dan peraturan’ berpolitik nampaknya sudah tidak ada. Fatwa boleh berubah, hukum boleh bertukar, teras perjuangan parti boleh diketepikan gara-gara permainan politik. Dasar luar negara boleh berubah kerana kita (ahli politik) terlalu berpolitik dan mempolitikkan mengenai apa saja isu.
Bagi mereka yang bermain politik, walaupun mendapat setengah peluang sekali pun, mereka akan tetap menendang ke pintu gol. Oleh kerana itulah isu kilang Lynas menjadi bertambah panas, tiba-tiba mahu menolak PTPTN selepas memohon dan mengambil wang termasuk untuk membeli telefon bimbit model terbaru, manakala kontrak sosial diketepikan begitu saja.
Bayangkan, ketika Bill Clinton menjadi Presiden, Amerika Syarikat (AS) mengebom Benghazi, Libya, pada zaman George Bush, AS menyerang Iraq dan menjatuhkan Saddam Hussein yang hukuman mati ke atasnya diterima seada-adanya oleh Bush, zaman Barack Obama menyaksikan AS merestui serangan ke atas Libya dan sedang mempersiapkan kemungkinan menyerang Iran. Mereka berpolitik habis-habisan ketika memilih presiden tetapi presiden mana juga yang dipilih, dasar dan prinsip mereka tidak berubah, malah diperkukuhkan.
Bagaimana politik kita agaknya? Tanda-tanda sudah menunjukkan perubahan akan berlaku kerana ramai ahli politik kita seakan-akan sesumpah yang berubah warna apabila keadaan memerlukan. Mereka melihat khalayak terlebih dulu dan mula menggunakan nada yang mahu didengar oleh khalayak berkenaan. Khalayak berubah dan nada ucapan berubah sama.
Semoga permainan politik kita akan berhemah kerana kita tidak mahu melihat berlaku perubahan semata-mata atas dasar permainan politik. Memang wayang politik ini sedang hebat dipersembahkan misalnya, bantahan terhadap PTPTN dan Bantah Duduk yang akan diadakan nanti. Permainan politik ini ada di mana-mana saja daripada tadika sehingga di universiti. Hairannya yang ramai mengambil bahagian dalam permainan ini ialah orang Melayu, termasuk pelajar universiti. Terpinggir sangatkah mereka?
Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan