Isnin, 28 Mei 2012

ISU KEPENGGUNAAN : Cabaran pemakanan halal, mendidik pengguna bermaklumat



Oleh : Norkumala binti Awang

DALAM soal halal dan haram seperti mana yang disyariatkan oleh Allah SWT, manusia dapat meneroka sempadan kebaikan dan keburukan sebagai panduan asas untuk kepentingan kehidupan. Pembuktian saintifik melalui kajian dan penyelidikan menunjukkan bahawa setiap perkara halal mendatangkan manfaat manakala yang haram pasti akan wujud mudarat bersamanya.

Namun, bagaimana untuk memastikan sesuatu produk makanan atau barangan kegunaan itu mematuhi apa yang dikehendaki Islam? Sejauhmana keyakinan kita terhadap status halal makanan dan minuman serta barangan harian di negara ini? Sedarkah kita bahawa produk halal belum tentu berkualiti (toyyib)?

Halal bukan hanya terhad kepada bahan asas yang digunakan dalam menghasilkan produk akhir. Malah, ia mencakupi konsep yang lebih luas bermula daripada peringkat awal sehinggalah produk itu siap.

Lantaran pelbagai cabaran pemakanan halal yang mendepani masyarakat pada hari ini, memperlihatkan masyarakat semakin prihatin terhadap apa yang dimakan dan digunakan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud, “barang siapa yang berusaha mencari untuk keluarganya perkara yang halal, dia seperti seorang yang berjuang pada jalan Allah.

Dan barang siapa yang mencarinya dengan menjaga maruah dirinya, dia berada pada darjat para syuhada."- Riwayat at-Tabrani.

Mencari sesuatu yang halal itu dilihat sebagai seorang yang berjihad dan sudah pastilah mujahadah itu dirintangi dengan pelbagai cabaran. Ditambah dengan teknologi moden, maka makanan atau produk semakin kompleks penghasilannya.

Penentuan pemilihan makanan dari segi kualiti dan khasiat, halal dan haram, kebersihan dan penampilan makanan dipengaruhi oleh justifikasi yang diputuskan oleh seseorang individu. Justifikasi ini juga dikaitkan dengan beberapa faktor seperti agama, budaya, maklumat dan gaya hidup.

Terdapat kajian menunjukkan bahawa agama boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku secara keseluruhannya, tabiat pemakanan dan pemilihan makanan secara khususnya. Produk halal mendapat tempat di hati pengguna bukan Islam disebabkan oleh nilai kemanusiaan terhadap binatang semasa penyembelihan dan persepsi bahawa produk halal adalah sihat dan selamat.

Kebanyakan pengguna bukan Islam di Malaysia masih melihat produk yang dilabel halal dari perspektif agama. Masyarakat Cina dan India tidak terlalu mengambil berat sama ada produk yang diambil halal atau tidak. Namun, mereka masih menghargai nilai dan kelebihan yang mendasari produk halal termasuk proses kebersihan produk halal sebelum berada di pasaran.

Pengguna bukan Islam di Rusia membeli produk daripada peruncit Islam kerana percaya produknya adalah selamat, segar, bebas jangkitan penyakit dan percaya bahawa setiap Muslim terikat dengan kepercayaan mereka yang tidak menipu. Di Filipina, masyarakat bukan Islam juga cenderung membeli makanan yang mempunyai logo halal atas alasan kesihatan. Mereka mula beralih mencari produk halal kerana percaya ia adalah selamat, sihat dan baik untuk digunakan.

Justeru, makanan dan barangan kegunaan yang halal mendapat tempat di hati pengguna apatah lagi bagi yang beragama Islam. Sudah tentu halal menjadi perkara pokok dalam setiap pemilihan makanan dan produk kegunaan harian. Walau bagaimanapun, pelbagai isu yang timbul pada hari ini menyebabkan masyarakat sering keliru. Namun, isu yang menjadi dilema ini bukanlah penghalang untuk mencari yang halal malah ia menjadi satu loncatan agar masyarakat menjadi lebih berilmu dan bermaklumat.

Cabaran dalam bab halal pada hari ini bukanlah kecil tetapi memerlukan kesabaran. Apatah lagi kita menghadapi lambakan produk makanan dan barangan lain di pasaran menyebabkan kita mempunyai banyak alternatif namun perlu diteliti. Hakikatnya, mungkin berpada-pada atau berkadar dengan apa yang halal adalah lebih baik berbanding berkenyang-kenyangan dengan yang haram.

Penggunaan bahan tambah makanan adalah cabaran kepada umat Islam kerana proses penghasilan dan sumber bahan penambah itu sendiri mungkin menggunakan ramuan haram yang dimasukkan ke dalam produk makanan halal. Walaupun penggunaannya dibenarkan dalam aras yang ditentukan, yang menjadi persoalannya apakah ia bakal mengundang kemudaratan kepada kesihatan, jika terus digunakan dalam makanan setiap hari? Satu perkara lagi yang menimbulkan dilema ialah jika bahan tambah makanan itu berasal daripada haiwan yang diharamkan, sekali gus menjadikannya haram dimakan oleh umat Islam.

Bagaimana pula dalam situasi di mana kadangkala semasa proses pembuatan sesuatu bahan makanan atau minuman mungkin akan terhasil unsur-unsur yang diharamkan? Oleh itu, penglibatan penyelidik dalam mengkaji kesan jangkamasa pendek dan panjang sesuatu bahan tambah menyediakan cabaran besar yang akan memberi impak kepada kesihatan awam apatah lagi yang melibatkan unsur halal dan haram bahan tambah makanan tersebut.

Ketidaktelusan pengeluar dalam pelabelan makanan akan memberi impak buruk kepada pengguna mahupun pengeluar itu sendiri. Isu ini memberi cabaran besar kepada masyarakat pengguna dalam memilih makanan terbaik lebih-lebih lagi jika pelabelan makanan mengelirukan.

Kekeliruan yang timbul bukanlah perkara kecil kerana ia bakal memberi kesan kepada pemilihan makanan. Contohnya dalam isu kod E yang menjadi tanda tanya yang masih terbuku di hati masyarakat awam. Sesetengah pengguna yang prihatin dan teliti dengan sesuatu produk akan melihat kandungan makanan tersebut, namun ada juga yang tidak mengambil endah.

Dalam isu ini, satu langkah yang proaktif perlu dimainkan oleh pihak berwajib agar masyarakat tidak dibelit dengan kekeliruan. Contohnya, sampaikan maklumat dalam bentuk yang mudah dan istilah yang difahami oleh segenap lapisan masyarakat berbanding dengan istilah saintifik. Paling tidak masyarakat mengharapkan senarai atau maklumat dihebahkan secara saksama.

Dalam isu halal, pihak yang berautoriti perlu mempunyai saluran yang berkesan dalam memberikan informasi kepada pengguna contohnya melalui laman web, radio, televisyen dan juga talian bebas tol.

Dengan segala cabaran dalam dunia yang semakin maju, wajarlah setiap individu mencari ilmu dan maklumat mengikut saluran yang betul. Ilmu dan maklumat bakal menjadi solusi terbaik sekiranya kita menghadapi apa jua permasalahan berkaitan dengannya.

Umat Islam perlu berpaksikan kepada fakta dan kebenaran berasaskan syariat Islam dan berwaspada dalam apa jua tindakan yang melibatkan persoalan halal dan haram. Dan cabaran yang perlu dilalui oleh semua individu pada hari ini ialah berhati-hati dalam mencari dan memilih sesuatu makanan dan barang kegunaan agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan.

Selari dengan apa yang dirakamkan oleh ulama terkenal iaitu Abdullah Sahl al-Tusturi, “Sesiapa yang memakan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak."

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan