Isnin, 7 Mei 2012
ISU PENDIDIKAN : 16,000 judul buku setahun
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
BERBEKALKAN statistik 16,000 judul buku setahun di negara ini pada dua tahun lalu, sasaran penerbitan buku sebanyak 26,000 judul setahun tidak mustahil untuk dicapai, sekali gus menepati piawaian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Bagaimanapun, agenda itu tidak boleh dilihat sebagai melepasi kuantiti yang ditetapkan saja tanpa mengambil kira jenis dan genre buku yang diterbitkan, meskipun UNESCO menetapkan negara maju perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 0.1 peratus judul baru daripada jumlah penduduknya.
Ingatan itu menjadi inti pada Syarahan Umum Menzahirkan 26,000 Judul Baru Setahun UNESCO yang disampaikan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Sasaran 16,000 judul buku setahun tidak hanya membabitkan karya kreatif, buku teks atau judul umum, sebaliknya kita perlu mempersoalkan buku bagaimana yang diperlukan. Ini kerana buku yang kurang kita temui di kedai buku adalah buku ilmu, intelektual dan pengetahuan, manakala karya sastera seperti novel memang sudah banyak,” katanya pada syarahan yang dipengerusikan Pensyarah Jabatan Pengajian Media UM, Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan.
Bagaimanapun, Prof Emeritus Abdullah mengingatkan penghasilan karya kreatif perlu diteruskan, tetapi sokongan dana dan tenaga sangat diperlukan dalam penerbitan buku ilmiah.
Beliau turut menarik perhatian lebih 100 peserta terhadap buku kanak-kanak awal remaja yang disifatkan lompang dalam pasaran sehingga menyebabkan pembaca pada usia berkenaan membaca buku yang ditujukan kepada pembaca remaja.
“Apabila kanak-kanak melangkah ke alam awal remaja, mereka tidak menemui bahan khusus yang bersesuaian dengan tahap pemikiran dan pengalaman mereka. Sebaliknya mereka membaca karya remaja yang ditulis untuk pembaca yang sudah bercinta dan merasai emosi itu seperti Ombak Rindu,” katanya.
Dalam budaya masyarakat Inggeris, Prof Emeritus Abdullah berkata, kelompok pembaca awal remaja itu mempunyai bahan bacaan seperti The Secret Seven karya Enid Blyton atau Harry Potter oleh JK Rowling.
“Justeru, tumpuan juga diperlukan untuk memperbanyakkan buku kanak-kanak dan awal remaja yang memerlukan perhatian khas terhadap mutu bahasa dan pembinaan isi kandungan. Meskipun kita tidak menolak karya terjemahan bagi kategori pembaca itu, kita tidak boleh mengambil sebarangan daripada buku yang ditulis berdasarkan budaya lain,” katanya.
Malah, kata Prof Emeritus Abdullah, buku kanak-kanak awal remaja juga perlu dilihat dalam konteks kesesuaian jantina pembaca kerana buku khas untuk pembaca lelaki pada usia itu juga sangat kurang.
“Mereka lebih gemar kepada novel kecil yang berunsurkan aksi, pengembaraan dan sains, selain cenderung kepada pembacaan komik.
“Kita juga perlu kepada komik dengan superhero dari latar budaya kita sendiri kerana sastera sebenarnya mempunyai etos bangsa seperti Superman sesuai dengan etos bangsa Amerika.
Beliau mengingatkan sasaran 26,000 judul setahun yang dianggap mudah dicapai ekoran masih banyak buku yang belum didaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) tidak bermakna sekiranya nisbah buku ilmu sangat sedikit.
“Kita memerlukan model berdasarkan negara yang memiliki jumlah penduduk yang hampir sama dengan kita seperti Taiwan.
“Begitu juga dengan Korea Selatan kerana rakyatnya sanggup menghabiskan wang sebanyak RM1,200 purata setahun untuk membeli buku sehingga tidak hairanlah industri bukunya sebesar RM9 bilion setahun,” katanya.
Justeru, Prof Emeritus Abdullah menyarankan perhatian diberikan untuk menerbitkan buku seperti sains dan teknologi, manakala tradisi penerbitan sedia ada diperkukuhkan dengan buku agama, falsafah, sastera dan perundangan.
“Golongan sarjana dan profesor pula perlu menerbitkan buku dalam bahasa Melayu kerana pensyarah Melayu sebenarnya lebih kreatif dalam menulis buku dalam bahasa ibunda mereka.
“Buku juga perlu diimport dari Indonesia dengan melakukan penyesuaian yang diperlukan, selain memperbanyakkan terjemahan buku daripada bahasa lain khususnya yang membabitkan kepakaran yang tidak kita miliki,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan