Jumaat, 4 Mei 2012
ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa, penjaga jangan ambil mudah keselamatan anak
BELUM pun reda ingatan kita pada kes tragis Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang dilaporkan hilang dan kemudian dibunuh dengan kejam pada 1 Mac lalu, heboh pula kisah penculikan seorang pelajar keturunan Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, minggu lalu. Namun, nasib menyebelahi Nayati yang dibebaskan pagi kelmarin, 19 jam selepas ibu bapanya membayar sejumlah wang tebusan kepada penculiknya. Kita turut digemparkan dengan kes penculikan dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin pada 20 Ogos 2007 ketika berjalan bersendirian di pasar malam berdekatan rumahnya. Dirang juga diculik ketika berjalan kaki seorang diri untuk ke kedai. Dalam kes terbaru ini, Nayati diculik dalam perjalanannya ke sekolah di Mont Kiara, kira-kira 700 meter saja dari rumahnya. Berikutan kejadian itu, Kementerian Pelajaran dilaporkan akan mengeluarkan garis panduan baru bagi meningkatkan jaminan keselamatan pelajar di dalam dan luar waktu persekolahan.
Ketika mengumumkan langkah kementerian itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penculikan Nayati ketika dalam perjalanan ke sekolah menyedarkan beliau dan kementeriannya mengenai aspek keselamatan pelajar bukan saja perlu dititikberatkan dalam kawasan sekolah tetapi juga di luar sekolah. Kes penculikan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat memandangkan ia sudah kerap berlaku. Cara kejadian itu berlaku juga sepatutnya menyedarkan ibu bapa bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan anak seharusnya diutamakan mereka tidak kira di mana saja mereka berada.
Oleh sebab kita tidak boleh menjangka di mana penjenayah tidak berhati perut ini akan muncul, semua pihak patut mengambil langkah berhati-hati dalam penjagaan anak mereka, terutama yang masih kecil. Kita bersetuju dengan tindakan pantas Kementerian Pelajaran untuk mengeluarkan garis panduan baru bagi meningkatkan langkah keselamatan pelajar di dalam dan luar sekolah, namun tanggungjawab lebih besar terletak di tangan ibu bapa dan penjaga. Sudah tentunya juga dalam keadaan itu, kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat.
Kerjasama anggota masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak berkuasa tempatan amat diperlukan bagi membantu polis menangani gejala penculikan kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Berita mengenai kes kehilangan kanak-kanak itu seharusnya menjadi pengajaran kepada ibu bapa supaya tidak mengambil mudah soal keselamatan anak mereka.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan