TANGGAL 19 April 2012 merupakan tarikh yang bersejarah buat
kalangan aktivis mahasiswa di Malaysia. Hal ini disebabkan pada tarikh
berkenaan kerajaan melalui sidang Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang -
Undang Universiti dan Kolej Universiti (Auku) (Pindaan) 2012, yang mana
membenarkan penuntut universiti terbabit
dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di
luar kampus.
Pindaan ini telah membuktikan bahawa perjuangan mahasiswa
selama ini bukanlah perjuangan yang sia-sia, walaupun mengambil jangka masa
yang panjang. Hal ini selari dengan perjuangan meningkatkan mutu universiti
dengan erti kata sebenarnya meliputi roh universiti, budaya ilmu, kebebasan
akademik, melahirkan insan yang baik dan bukannya sekadar pekerja baik, serta
idealisme perjuangan dan penghakupayaan mahasiswa (Datuk Saifuddin Abdullah,
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi). Walaupun bagaimanapun tuntutan mahasiswa
untuk menghapus akta Auku secara total belum lagi berhasil, namun melalui
pindaan ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada gerakan mahasiswa
berpartisipasi secara serius dalam segenap isu kampus mahupun isu negara.
Namun, persoalannya adakah mahasiswa pada hari ini
benar-benar bebas seperti apa yang diperuntukkan di dalam pindaan Auku
berkenaan atau sekadar kosmetik semata-mata untuk menarik undi anak muda dalam
kalangan mahasiswa? Hal ini terbukti apabila suara mahasiswa masih lagi belum
mencapai nikmat kebebasan sebenar, apabila tiga teraju utama gerakan mahasiswa
ketika ini iaitu Muhammad Safwan Anang Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia,
Mohd Syahid Mohd Zaini (Pengerusi Malaysia Bangkit) dan Haziq Abdul Aziz yang
digantung pengajian selama satu semester
atas kesalahan memalukan nama universiti. Hal ini ekoran demonstrasi
yang diadakan di Dataran Merdeka pada 14 April yang lalu bagi menuntut
pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Melalui
tindakan penggantungan ini, penulis boleh katakan bahawa gerakan mahasiswa
ketika ini masih lagi belum mencapai kebebasan bersuara secara total, walaupun
kerajaan telah meminda Seksyen 15 Auku.
Dilema Gerakan Mahasiswa
Setelah teraju utama gerakan mahasiswa dikenakan tindakan
penggantungan selama satu dan tiga semester. Momentum gerakan mahasiswa bagai
dilanda ombak tsunami. Hal ini disebabkan tiada mana-mana pihak yang
benar-benar memprotes tindakan ini secara realiti, walaupun hukuman yang sama
pernah diterima oleh Adam Adli cuma jumlah semester sahaja yang berbeza. Jika
Adam Adli yang dikenakan tindakan tatatertib digantung selama tiga semester
disebabkan isu menurunkan bendera Perdana Menteri Datuk Seri Najib B Tun Razak,
semasa himpunan menuntut Kebebasan Akademik di PWTC menerima protes begitu
hebat dari kalangan mahasiswa, mengapa solidariti yang sama tidak diterima oleh
ketiga-tiga individu bernama Muhammad
Safwan Anang, Mohd Syahid Mohd Zaini dan Haziq Abdul Aziz. Adakah mahasiswa
telah penat mendepani isu-isu sedemikian sepanjang tahun ini atau adakah mereka
melihat isu pergantungan ini bukalah isu yang besar berbanding isu-isu yang
melanda negara sekarang?
Selain itu, penulis juga berpandangan bahawa momentum
gerakan mahasiswa Malaysia boleh dikatakan tidak begitu konsisten. Dalam erti
kata mudahnya terdapat graf turun dan naik dalam perjalanan gerakan mahasiswa
ketika ini. Dalam pandangan penulis kemungkinan besar gerakan mahasiswa di
Malaysia lebih cenderung dipengaruhi dengan isu-isu besar melanda negara atau
pun isu-isu kampus seluruh negara. Mungkin pandangan ini kebanyakan pembaca
tidak bersetuju. Namun, mutakhir ini dapat kita melihat bahawa fenomena gerakan
mahasiswa bagai melalui zon tidak menentu selepas isu PTPTN dan juga isu
tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap beberapa komponen utama gerakan
mahasiswa ketika ini iaitu Muhamad Safuwan Anang, Mohd Syahid Zaini, Haziq dan
juga Adam Adli.
Persoalan pokok yang ingin penulis ajukan kepada kita semua,
adakah gerakan mahasiswa ketika ini gagal dalam melahirkan pemimpin pelapis
yang berpotensi menjadi nakhoda sementara? Hal ini disebabkan kita tidak boleh hanya mengharapkan batang tubuh
tertentu sahaja dalam menyusuri gerakan mahasiswa. Analoginya imam yang baru
perlu menggantikan imam yang lama buat sementara waktu jika imam tersebut sakit atau sebagainya.
Justeru, dilema ini perlu ditangani dengan segera secara
bijaksana supaya gerakan mahasiswa Malaysia terus dipacu walaupun mendapat
tekanan dari segenap sudut. Hal ini penting untuk menjadikan gerakan mahasiswa
terus menjadi sandaran utama perjuangan mahasiswa Malaysia dalam mendepani
apa-apa jua isu dalam konteks kampus atau pun nasional.
Ditambah lagi, perkembangan semasa Solidariti Mahasiswa
Malaysia (SMM) yang berhasrat untuk meletakan calonnya di dalam Pilihan Raya
Umum akan datang merupakan satu perkembangan yang positif dalam gerakan mahasiswa
di Malaysia. Hal ini disebabkan dengan adanya perwakilan mahasiswa di Parlimen
Malaysia setidak-tidaknya golongan mahasiswa mempunyai proksi yang kukuh bagi
menyampai hasrat, idealisme mahasiswa
secara langsung tanpa melalui parti politik atau pun NGO-NGO tertentu. Perkara
ini selari dengan pindaan Auku 2012 yang membenarkan penuntut universiti
terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di
luar kampus.
Namun, memetik kenyataan setiausaha SMM yang menyatakan bahawa
SMM akan menurunkan wakil mereka dalam PRU13 sama ada sebagai calon Bebas
ataupun bertanding atas tiket mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat (PR).
Jika kita amati kenyataan di atas, penulis boleh meramalkan bahawa ramai dalam
kalangan mahasiswa tidak bersetuju dengan tindakan SMM bertanding menggunakan
tiket PR, jika benar perkara ini berlaku. Hal ini disebabkan jika SMM
benar-benar berhasrat ingin meletakan calonnya yang bakal bergelar “Yang Berhormat” berstatus
mahasiswa di Parlimen Malaysia, sebagai platform utama mahasiswa menyampaikan
idea, pandangan, masalah mahu pun
kritikan, SMM perlulah bertanding dalam ruang lingkup sebebas-bebasnya dan tidak melibatkan mana-mana parti politik
sekali pun, tidak kiralah parti politik bersifat kerajaan mahu pun pembangkang.
Hal ini disebabkan suara mahasiswa merupakan suara keramat
sebagai ejen periksa dan imbang kepada iklim politik, sosial, ekonomi, dan
kebajikan mahasiswa yang diwakilinya. Di
samping itu, dilema gerakan mahasiswa
hari ini sering dibayangi atau disamaertikan dengan ideologi perjuangan parti
pembangkang perlulah dikikis sewajarnya. Hal ini supaya gerakan mahasiswa
dilihat benar-benar murni dalam memperjuangkan nasib mahasiswa tanpa mempunyai
kepentingan-kepentingan tertentu.
Oleh yang demikian, secara peribadinya penulis dapat
menyatakan bahawa gerakan mahasiswa ketika ini perlu banyak melalui proses
penambahbaikan dari segi objektif, nilai, serta visi dan misi yang ingin diperjuangkan.
Semoga gerakan mahasiswa Malaysia dapat mengembalikan semua zaman kegemilangan
gerakan mahasiswa era 60-an dan 70-an suatu ketika dahulu.
MOHAMAD SHAFIQ ROHAIZAD BUYONG
Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan