Genre itu senjata budaya dan bahasa Melayu
PANTUN atau dalam bahasa Perancis pantoun, hadir dalam
sastera negara itu sejak sekian lama dan ia lebih mudah diterima pembaca
Perancis kerana dalam sastera negara itu tiada karya berangkap empat seperti
pantun sehingga pengkaji turut berminat membuat kajian serta terjemahan
terhadap genre terbabit.
Antara yang memberi tumpuan kepada pantun ialah novelis
Henri Fauconnier dan penyelidik Rene Francois Daillie, meskipun kajian tidak
dilakukan secara akademik, selain bekas Felo Ecole Normale Supérieure of Paris
dan mantan pensyarah sastera bandingan Universiti French West Indies and
Guyane, Dr Georges Voisset.
Bekas Pensyarah Sastera Bandingan Universiti French West
Indies and Guyane Kesungguhan Dr Voisset dapat dilihat sejak 1993 melalui 12
naskhah buku terjemahan dan kajian yang bukan hanya mengenai pantun, tetapi
puisi serta hikayat, dilakukan kerana asas kerja penterjemahan baginya
menyeronokkan, malahan teka-teki juga mendapat perhatian daripadanya.
“Pantun adalah khazanah kesusasteraan Melayu yang menarik.
Ia bukan sonata yang hadir dalam sastera Inggeris, tetapi memberi kesan besar.
Malah jika seseorang itu mahu belajar bahasa Melayu dan mengenali budaya bahasa
itu, mereka wajar bermula dengan pantun, apatah lagi dengan sifatnya yang mudah
dipelajari dan difahami,” katanya ketika membincangkan Dari Pesisir Dunia:
Sastera Bandingan Perancis dan Dunia Nusantara pada Seminar Penterjemahan:
Penterjemah dalam kesusasteraan Melayu.
Dalam dunia akademik sastera Melayu Malaysia, nama Dr
Voisset popular dan minatnya pada pantun menyaksikan beliau antara pakar
akademik di Perancis yang banyak menyelidik pantun sehingga buku terjemahan
pantun, Histoire du Genre Pantoun (History of the Pantun Genre) diterbitkan
pada 1998.
Beberapa lagi naskhah hasil kesungguhan penyelidikannya yang
diterbitkan ialah Pantouns malais (Malay Pantun, 1993), Pantouns malais (2009),
Le Chant à quatre mains (The Four - Hand Singing - Pantun and other Love Poems,
2011) dan tahun ini terjemahan Hikayat Sang Kancil susunannya (Contes Sauvages
– Les très curieuses histoires de Kancil le petit chevrotain, 2012)
diterbitkan.
Dalam mengkaji pantun, tiada ada penyelidik yang dapat lari
daripada perbahasan tentang hubungan pembayang dan maksud. Memetik kata
Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh selaku moderator majlis tentang Dr
Voisset, antara kaedah terjemahan yang dibuat Dr Voisset adalah menuliskan
pantun itu ke atas kertas menggunakan simbol grafik. Prinsip terjemahannya
daripada lisan kepada sesuatu yang dapat dilihat (visible).
Dr Voisset mengakui pantun membawa persoalan yang puitis,
tetapi dalam menterjemahnya ke dalam bahasa Perancis, ia bukan kerja mudah,
walaupun rima pantun bersifat ab, ab, tetapi dalam penterjemahan bukan mudah
untuk berbuat demikian.
“Kadangkala rimanya akan menjadi ab, ba. Ada juga masalah
lain apabila sesetengah perkataan dalam pantun sukar untuk dicari perkataan
yang seerti dengannya dalam bahasa Perancis. Misalnya pantun/ Orang berinai
berhitam kuku/ Mandi dijirus si air mawar/ Jikalau sampai hasrat hatiku/
Racunku minum jadi penawar.
“Perkataan penawar dan jadi sangat sukar diterjemah. Apatah
lagi perkataan jadi kerana apabila diterjemah bukan hanya menterjemahkan
perkataan, tetapi pergerakan perkataan itu. Lalu usaha itu mengambil masa. Ada
kalanya apabila gagal mencari perkataan yang tepat, perkataan asal dikekalkan,”
katanya pada Seminar Penterjemahan: Penterjemahan dalam Kesusasteraan Melayu di
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), baru-baru ini.
Contoh yang diberikan Dr Voisset berhubung perkara ini
ialah, /Banyak orang bergelang tangan/ sahaya seorang bergelang kaki/ dan
apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, ia jauh sekali menyimpang
daripada maksud asal / Baignant dans la fange du fleuve alangui/ Tu Savoures,
mon ange de la langue, kakis (...).
Namun, kesukaran menterjemahkan pantun tidak menyebabkan Dr
Voisset untuk berhenti separuh jalan kerana sejak jatuh cinta pada pantun dan
khazanah sastera Melayu Nusantara hampir 40 tahun lalu ketika berkhidmat di
Universiti Singapura, mendorongnya memperluaskan kajiannya kepada genre lain
dalam sastera.
“Selain pantun, saya turut menterjemah sajak penyair
Malaysia, namun tidak memfokus kepada karya bersifat Malaysia saja. Saya perlu
juga menterjemah karya penulis Malaysia yang bersumberkan dunia luar. Misalnya
sajak penulis Malaysia mengenai negara lain. Dari situ kita boleh melihat
bagaimana orang Malaysia memandang dunia luar,” katanya.
Sumber : http : //www,bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan